Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. ana doakan sahabat-sahabat dan pembaca blog ana sentiasa dalam rahmat dan kasih-sayang ALLAH s.w.t. Alhamdulillah, masih ada sedikit ruang untuk ana bersama-sama dengan laman sesawang ini walaupun sudah dua minggu kita menjengah ke tahun 2011. bersyukur juga ke hadrat ALLAH s.w.t kerana memberi ana ruang untuk meneruskan baki-baki hidup yang ada dengan kekuatan nikmat dari-NYA.
Sementara kita masih memiliki nikmat 5 perkara sebelum datang 5 perkara, maka gunakanlah sebaiknya. Sesungguhnya, 5 perkara yang baik yakni waktu muda, sihat, kaya, waktu lapang, dan waktu hidup sebelum 5 perkara sebaliknya, tidak dapat dilihat atau ditafsirkan dengan mudah sebagai nikmat ALLAH yang besar bagi seorang hamba ALLAH kecuali mereka yang telah kehilangan salah satu daripada 5 perkara ini. Orang kampung ana kata, bila dah tidak ada sesuatu baru terasa keberadaannya. Maaf kepada pembaca yang bertanya khabar tentang entry baru...atas kekangan masa dan ada perkara yang lebih utama membuatkan ana untuk tidak meng'update' laman sesawang ini.
jangan berasakan nikmat sibuk tiada waktu rehat
Sepanjang dua minggu memulakan kuliah untuk semester 1 sesi 2011, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Membuatkan ana berada dalam keadaan tidak menang tangan. Tambahan pula, diuji dengan nikmat sihat sehingga terpaksa meninggalkan kuliah kerana perlu diberikan rawatan lanjut. Di samping itu, ana juga perlu melaksanakan tanggungjawab ana sebagai seorang guru pelatih sem 7 untuk merancang kajian tindakan yang akan dilaksanakan pada fasa praktikum hujung bulan ini. Tanpa diduga juga, dari ana ‘berjalan’ mengikuti masa sehinggalah ana ‘berlari’ mengejar masa tanpa membiarkan sedikit pun ada yang tertinggal sia-sia. Dalam kesibukan menyelesaikan urusan-urusan yang ditaklifkan membuatkan ana berfikir tentang manisnya bila sibuk. Ana jadi suka dan Alhamdulillah merasakan kesibukan ini satu anugerah yang sangat-sangat berharga. Sehinggakan ana terlupa yang ana sudah ada 'roommate'. (^_^)
Memanglah urusan ini adalah urusan dunia tapi ini merupakan wasilah terbaik dalam urusan dakwah. Apa yang kita niatkan dalam setiap apa yang dilakukan akan memberi impaknya. Banyak perkara yang sia-sia dapat dijauhkan. Rasulullah SAW bersabda: "Dua nikmat yang sering menjadi kerugian kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan waktu lapang." Kebanyakan manusia tidak dapat menggunakan kesempatan ini melainkan sibuk dengan dunianya, terfitnah dengan nafsunya atau ditimpa sakit. Jadi, dengan kesibukkan taklifan yang dipertanggungjawabkan membuatkan diri yang lemah dan banyak kekurangan ini meletakkan keseluruhan pergantungan kepada Yang Maha Esa. Hanya mengharapkan keberkatan dariNya dengan setiap langkah dan gerak yang dilakukan.
Sheikh Ibnu 'Atoillah telah mengingatkan kita tentang nilai waktu menerusi kalam hikmahnya: "Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya." Mensia-siakan hak waktu bererti mensia-siakan umur yang begitu berharga kerana umur yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila kita membiarkan ia berlalu tanpa melakukan sebarang amal soleh, maka kita telah terlepas daripada kebaikan yang amat banyak. Para salafussoleh begitu berhati-hati dan tamak menjaga masa mereka sehinggakan Sayyiduna Ali RA pernah berpesan kepada isterinya Sayyidah Fatimah RA supaya melembutkan dan mencairkan masakan bagi mengurangkan masa mengunyah makanan yang mencuri masanya untuk bertasbih.
Kesibukan itu membuatkan masa itu dapat diuruskan dengan baik dan betul. Bergantung kepada diri masing-masing bagaimana untuk wujudkan keseronokan pada apa yang dilakukan, sibuk itu satu nikmat. Jika ditarik nikmat itu walaupun sekejap, mungkin kita kan lebih leka dan jauh dariNya. Cuba bayangkan jika terlalu banyak masa lapang yang kita ada, kemungkinan hanya berapa peratus sahaja masa yang digunakan untuk tujuan yang baik dan berfaedah khususnya sumbangan pada ISLAM itu sendiri. Persoalan yang juga menjadi muhasabah untuk diri yang selalu alpa ini, apa yang telah kita buat hari ini;apa sumbangan kita pada ISLAM, apa sumbangan kita sebagai PEMIMPIN yang dipilih dan orang yeng dipertanggungjawabkan, adakah ianya digelar `sumbangan` tatkala apa yang dikerjakan mempunyai unsur-unsur riak dan tidak ikhlas keranaNYA. Astagfirullah al azim, diri ini selalu saja alpa.
Kita tidak akan pernah merasai atau faham sesuatu keadaan apabila bukan kita yang melakukannya. Namun begitu, jika kita merasainya sendiri dan berusaha untuk menyelesaikannya akan membuatkan kita lebih menghargai dan mencuba sebaik mungkin. Analoginya mudah, jika kita sama-sama terlibat dalam usaha untuk membesarkan tanaman seperti sayur-sayuran sehingga subur menghijau, adakah berbaloi dengan perubahan yang berlaku dalam diri kita? Pada asalnya tidak tahu menahu selok belok menjaga tanaman, cara memegang cangkul bahkan menyiram sekali pun. Kini semua itu boleh diungkapkan sebagai 'alah bisa tegal biasa'. Kita telah menjadi mahasiswa yang berpengalaman memegang cangkul, menyiram, membaja, merumput dan menuai dengan merasai sendiri keadaannya.
Tidak ana nafikan sekiranya kesibukan itu mampu mengubah diri seseorang. Andai dahulunya kaki kita ringan melangkah ke surau, kini mungkin terasa berat. Andai dahulunya kita segan dan malu bercampur gaul dengan kawan-kawan, kesibukan juga meleburkan rasa segan dan malu itu hingga meruntuhkan akhlak diri. Andai dahulunya lidah terkaku tetapi hati mahu, kini mungkin juga hati mahu, lidah pun sudah lembut meluahkan kata-kata. Justeru, ayuh kita janakan kesibukan itu ke arah yang menginsafkan diri dengan menganggap kesibukan itu adalah ujian untuk diri kita yang akan dibayar dengan ganjaran yang tidak disangka-sangka. Apabila kita menilai sendiri kesibukan yang melanda, tanyalah diri adakah kita merasa manis dengan kesibukan itu atau pun sebaliknya. Manisnya kesibukan dapat dirasakan apabila usaha itu membuahkan hasil lalu menginsafkan diri untuk mendekatkan diri dengan ALLAH.
Syeikh Ibnu 'Atoillah RA berkata: "Perkara yang paling menyedihkan, setelah dikurangkan halangan kamu, kamu pula tidak mengadap-Nya." Semoga kita dapat mengambil iktibar. Orang yang hidup akan terasa sekiranya ditusuk dengan jarum. Tetapi orang yang mati tidak akan terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. Renungilah!!
iman's note : Manusia akan mencapai tahap keseronokan sebenar ketika bertungkus-lumus melakukan sesuatu usaha. Jihad bukanlah hiburan yang berlebihan tetapi menjadi tuntutan. Banyak cara dan wasilahnya.
**imannurbalqis**
betul, sibuk itu best. Hehe..
yes..being busy is the sweetest thing...we will be vry busy with 'adik-adik' later..looking forward to that..InsyaAllah...hehe..