.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

...permata MUHARRAM...

Pada 4 Muharram 1409 yang lalu lahirnya seorang puteri.
Tawanya seri kebahagiaan,
Tangisnya penawar duka,
Buat dua insan yang bergelar ayah dan mak.

Pada 4 Muharram 1433 berdirinya seorang puteri.
Tawanya tanda jiwa berbahasa,
Tangisnya buat kematangan berbicara,
Demi dua insan yang bergelar ayah dan arwah mak.

iman's note: moga diri ini bisa menjadi anak yang berbakti buat ayah dan arwah mak. Terima kasih ya Allah, moga diri ini mampu terus diinfakkan di jalan Mu sehingga akhir nafas.

**imannurbalqis**

Read more

...MOTIVASI : 1...


Saya sering diuji dengan apa yang saya tulis dan ucapkan. Acap kali apa yang saya tulis dalam buku, majalah atau blog mahupun sekadar coretan untuk teman-teman, terjadi pula pada diri saya dan keluarga. Justeru, pernah sampai ke tahap saya rasa takut untuk menulis… takut kalau-kalau apa yang saya tulis akan kembali menimpa dan ‘menguji’ diri saya.

Banyak yang saya tulis adalah apa yang saya telah lalui sendiri. Bukan hari ini, minggu ini bahkan puluhan tahun yang lalu. Ertinya, saya menulis daripada pengalaman sendiri – sama ada yang baik mahupun yang buruk. Tetapi ada juga yang saya tulis berdasarkan pengamatan pada hidup orang lain. Saya tidak melaluinya… tetapi saya selami dengan sikap simpati malah empati. Lantas saya garap kembali dengan fikrah Islami dan fitrah insani. Seadanya! Setakat secebis kemampuan ilmu yang ada.

Pada jurus yang kedua inilah saya sering diuji. Apa yang menimpa orang lain turut menimpa saya. Saya tercari-cari mengapa itu terjadi? Benarkah niat saya untuk berhenti menulis (kerana takut) itu adalah suatu yang tepat dan betul? Begitulah hati saya kerap bertanya-tanya.

Lama juga saya terperuk dalam kemelut rasa yang berbelah-bagi itu sehinggalah pada suatu ketika tiba-tiba saya diterjah oleh satu peringatan yang datang dari dalam diri sendiri. Lalu saya tuliskan dalam diari harian dengan kata:

“Bila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita diperkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia!”

Dengan kesimpulan itu saya teruskan menulis. Biarlah. Semoga saya juga terdidik dengan tulisan-tulisan sendiri. Saya sering merasakan kekadang seorang pendakwah menjadi ‘jambatan’ kepada orang lain untuk mendapat hidayah. Jadi apa salahnya ‘jambatan’ itu dilalui oleh dirinya sendiri.

Kekadang saya sendiri rasa pelik bila saya membaca kembali tulisan-tulisan dan buku-buku saya sendiri. Bukan untuk rujukan buat menulis atau mencari idea baru…. tetapi saya tatap pada waktu tersunyi dalam hidup untuk bermuhasabah dan ‘menghukum’ kealpaan diri. Ah, kiranya semua yang pernah saya tulis mampu saya amalkan, alangkah indahnya. Cuma saya terus berharap dan berdoa… kita tidak akan mengalah walaupun sering kalah.

Saya juga seperti saudara/i, ada kalanya kelelahan dengan ujian hidup yang bertali arus. Lepas satu, satu. Life is to solve problems, begitu kata bijak pandai. Namun Allah telah lama mengingatkan kita melalui Al Quran bahawa mati dan hidup dijadikan untuk menguji kita siapakah yang terbaik amalannya? Kembali surah Al Mulk mengingatkan kita.

Marilah kita berjanji pada diri, bahawa kita tidak akan menjadi ‘munafik’ sama ada dari segi lisan dan perbuatan. Kita tidak akan berpura-pura dalam mengharapkan yang baik dan makruf. Biarlah kita menuai iktibar, dari denai mujahadah ini. Saya ingin menjadi insan yang seadanya sahaja dalam menghulur tangan setulus mungkin buat bersama menyusuri jalan Ilahi ini. Mungkin tangan ini yang akan membimbing saudara/i, dan mungkin tangan saudara/i juga yang akan membimbing saya.

Di takah usia 50, saya berdoa untuk diberikan keteguhan hati. Come what may! Datanglah apa sahaja. Kan kita hadapi sebagai hamba-Nya. Jika kita benar dan berjaya… syukur. Jika kita tersalah, kita akur… kita ukir taubat dengan segera. Dosa kita menggunung tinggi, namun rahmat Allah melaut luasnya. Dengan berbekal takut (akan murkaNya) dan harap (ampunan-Nya), kita terus melangkah… patah sayap terbang jua. Jatuh tersungkur, bangkit semula walau terpaksa bertongkat dagu!

Semasa ditahan belasan tahun yang lalu, selain Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Syarah Kitab Al Hikam oleh Prof Muhibbudin Al Wali saya turut menekuni tulisan Dale Carnargie (waktu itu La Tahzan belum ada). Saya melihat ada ‘kesamaan dalam perbezaan’ antara yang ditulis olehnya dengan tulisan Usaz Dr. Aid Al Qarni – ya hikmah itulah milik Islam tidak kira dari Barat atau pun Timur.

Dari situlah saya hadapi hidup yang ketika itu ‘tidak menentu’ dengan satu ketentuan. Ketidak pastikan kekadang mengajar kita tentang kejituan. Ada kekuatan dan kebebasan yang saya alami ketika fizikal kita tertahan. Ada sumbu kekuatan rohani yang membara ketika kehendak bialogi dan fisiologi dipenuhi di tahap paling minima.

Sejuk angin bukit di tepi daerah terpecil di Kamunting, mahu pun sengatan bahang panas atap kem tahanan yang terpencil, kekadang menghadiahkan saat yang lebih indah berbanding ‘dikurung’ dalam hotel bertaraf lima bintang menghirup udara kebebasan dan kemewahan masa kini.

Lalu saya kembali berusaha mencari hati itu, kerana saya yakin hati yang remuk redam (tetapi tenang) kerana diuji Allah itu boleh kita temui di mana sahaja, tidak kira di penjara atau istana!

Semalam saya baca semula apa yang pernah saya tulis ini… marilah kita kongsi mungkin buat pertama kali, mungkin juga sudah berkali-kali. Mudah-mudahan yang kita imbau bukan kenangan, tetapi pengajaran yang terus hidup untuk menempuh kenyataan.

Saya masih ingat pada suatu saat genting, pernah saya berkata kepada diri, “ya Allah, kalau Kau izinkan aku sekadar dapat melihat mentari dan memijak rumput di bumi, aku akan bersyukur…”

Lalu ke mana perginya rasa hati itu ketika saya, anda dan kita semua sedang menikmati limpahan cahaya dan lautan nikmat kini? Saudaraku, marilah bersama ku menelusuri tulisan ini…

Maha suci Allah, yang misteri ketentuaan dan ditetapkan-Nya tidak dapat diduga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…”

Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita.Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Yang berkuasa tiba-tiba boleh dipenjara. Yang dibenci bertukar menjadi yang tersayang. Dan adakalanya dulunya terbilang tetapi entah kenapa tiba-tiba terbuang. Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Hidup yang gemerlapan, jadi malap secara tiba-tiba!

Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan rasa.Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya.

Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Jawabnya, jangan panjang angan-angan… Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.

Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini yang realiti.

Pengalaman hidup banyak mengajar kita bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi ‘over confident’. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.

Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan angan-angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam…. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.

Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.

Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok.

Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:

“Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.”

Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh peringatan Rasulullah S.A.W, jika berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang….

Matlamat dan pendekatan hidup mereka ‘simple’ dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempo (rentak) hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat.

Pernah satu malam Rasulullah S.A.W rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya kenapa? Baginda bersabda:

“Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”

Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.

Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir… dan begitu jugalah kehidupan akan terus berubah.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy….”

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik.

Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.

Seorang pakar psikologi – Robert Louis Stevenson berkata:

“Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.

Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your enemy?

sumber : genta rasa

iman's note: artikel ini benar-benar beri hati ini rasa agar terus merasai nikmatNya. Alhamdulillah.

**imannurbalqis**

Read more

...mutiara 1433H...


1433 Hijrah

Mulakan dengan Bismillah

Teguhkan dengan Laa ila haillallah

Jalinkan dengan Muhammadar Rasulullah

Rasai dengan Subhanallah

Akuinya dengan Allahuakbar

Syukuri dengan Alhamdulillah

Temaninya dengan Astaghfirullah

Moga perjalanannya dengan Barakatillah

iman's note: 1433H, moga cahayanya lebih indah.

**imannurbalqis**

Read more

...nota si penulis AR : AKHIR...

Salam alaik buat sahabat-sahabat yang sentiasa berpegang teguh dengan kalimah “TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH DAN NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH". Didoakan sahabat-sahabat dan pembaca blog ini sentiasa dalam rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t selalu. Alhamdulillah, hari ini tamatlah sudah Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) setelah tiga hari mengikutinya. KISSM kali ini juga merupakan kursus yang terakhir dijalankan untuk bakal-bakal penjawat awam kerana tahun hadapan akan diganti dengan kursus yang lain seumpama dengannya. Moga dipermudahkan pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan ana semasa menandanya dan seterusnya ana lulus dalam kursus ini. Allahumma Ameen.






Alhamdulillah, hari ini juga ana dapat menyelesaikan segala urusan penghantaran laporan kajian tindakan unit kepada unit penilaian, pusat sumber dan jabatan Sains. Bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dapat menyelesaikannya dengan baik setelah hampir setahun proses kajian tindakan. Bermula dari mencari rujukan, mereka perancangan dalam menyelesaikan masalah, menjalankan perancangannya ke atas murid-murid, mengumpul data dan menganalisisnya, menyediakan laporan, membentangkan laporan dalam seminar dan akhirnya membukukan laporan yang telah dibuat. Semua ini perlu dijalankan sebagai salah satu syarat untuk melayakkan mendapat Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Sains Pendidikan Rendah). Ana juga bersyukur kerana diberi penyelia pembimbing yang cukup berdedikasi, memahami dan memotivasikan diri ini. Thank you, Mr Ong.

Ana tahu sahabat-sahabat yang pernah mempunyai pengalaman menjalankan kajian tindakan memperolehi pelbagai manfaat sebagai pengkaji kajian tindakan. Tidak ketinggalan juga dengan ana. Ini merupakan pengalaman yang cukup berharga dan satu titik tolak untuk ana memperkembangkan lagi potensi diri ini. InsyaAllah. Salah satu tujuan kajian tindakan dijalankan ialah untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubah amalan-amalan tersebut. Dalam erti kata mudahnya memperbaiki amalan diri guru itu sendiri. Ana begitu tertarik dengan dengan tujuan ini. Hal ini kerana, perubahan yang diletakkan pada diri guru itu sendiri.

Kenapa ana tertarik? Mesti ada sebabnya. Jika magnet akan tertarik dengan kutub yang berbeza, apa tidak ana yang suka memandang dari sudut yang berbeza. Huraiannya mudah, kadang-kala insan yang bergelar guru ini sudah merasakan dirinya sudah lengkap sempurna dan meletakkan segala kelemahan dan kekurangan murid-murid atas dasar kecetekkan ilmu mereka sahaja. Bukan salah guru tapi salah murid yang belajar. Sepanjang ana menyelesaikan kajian tindakan ini, ana rasa tertampar dengan kata-kata seorang pensyarah ana. Beliau menyatakan, "Banyak senarai masalah murid-murid kamu. Diri kamu tak ada masalah ke? Dah bagus ke cara kamu mengajar sebelum ini? Ingat, murid-murid dihantar belajar kerana mereka tidak tahu dan guru di sekolah perlu memberitahu. Selidik dahalu penerimaan diri kita pada mereka." Di waktu itu, ana benar-benar mencari di mana yang dikatakan kualiti amalan guru. Membaiki laporan sehingga empat kali. Selepas seminar, dikehendaki menukar tajuk kajian. Seterusnya, dikehendaki menghantar laporan penuh sebelum dijilidkan untuk dilihat semula. Sememangnya saat yang cukup pahit waktu itu tapi manis dikenang kini. Alhamdulillah.



Seharusnya sebagai seorang bakal guru, ana mesti mempertingkatkan potensi dan kualiti diri dari semasa ke semasa untuk membantu kualiti pengajaran dan pembelajaran ana nanti. Perkara yang paling utama untuk seorang bakal guru ialah menuntut ilmu. Dalam menuntut ilmu seharusnya dipastikan niat untuk menuntut ilmu. Imam Ghazali dalam tulisannya "Pedoman Orang Taqwa" ada menyatakan bahawa orang yang menuntut ilmu itu terbahagi kepada 3 golongan iaitu :

1. Orang yang mencari ilmu kerana hendak buat bekal pulang ke akhirat. Niatnya hanya untuk mencapai keredhaan Allah dan kepuasan hari akhirat semata-mata. Mereka ini adalah golongan yang akan terselamat dan berjaya.

2. Orang yang mencari ilmu untuk persiapan menghadapi kehidupannya dalam dunia yang fana ini, di samping niat hendak mencapai kekuasaan, kemuliaan, pengaruh, kemegahan dan harta benda. Sedang ia mengetahui niat yang demikian itu adalah salah dan ia sedar betapa hasratnya itu sama sekali tidak bernilai dan tidak dihargai.

Mereka ini amat berbahaya dan membimbangkan, kerana jika sewaktu-waktu ajalnya sampai, pada hal ia belum sempat bertaubat, maka sangat dikhuatiri ia mati dalam keadaan "Su-ul-khatimah" - kesudahan hidupnya yang buruk. Terserahlah kepada Allah tentang nasibnya kelak. Namun, jika ia sempat bertaubat sebelum tiba ajalnya, kemudian ia cepat-cepat menyesuaikan ilmunya dengan amal, serta memperbaiki segala kerusakan yang pernah dilakukannya di masa-masa lalu, maka ia akan kembali termasuk ke dalam golongan orang-orang yang terselamat dan berjaya di sisi Allah. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw: "Orang yang bertaubat daripada dosanya adalah seperti orang yang tidak pernah berbuat dosa."

3. Orang yang mencari ilmu kerana dipengaruhi oleh syaitan, ia mempergunakan ilmunya sebagai alat untuk tujuan menambah kekayaannya, meluaskan pengaruhnya, membanggakan kemegahannya dan menyombongkan diri bahawa dialah yang ramai pengikutnya.

Ia menyangka bahawa ia telah mempunyai kedudukan yang tinggi pada sisi Allah, kerana pada zahirnya, ia telah menyerupai para ulama' dalam berpakaian dan ucapannya. Akan tetapi zahir dan batinnya sangat mencintai dan tamakkan dunia. Ia tidak dapat digolongkan ke dalam golongan orang yang berilmu, kerana ia telah digelapkan oleh tipu daya syaitan. Orang yang seperti ini akan rosak binasa di dalam kebodohannya dan mudah diperdayakan.



Moga kita sentiasa berada dalam golongan pertama dalam menuntut ilmu dan ilmu yang diperolehi dapat kita manfaatkan ke arah kebaikan. Akhir kalam, untuk entry terakhir NOTA SI PENULIS AR iaitu yang ke 20 ini ana ucapkan jazakallah khairan khathira buat insan-insan yang menyokong ana dan memberi tunjuk ajar dalam menyiapkan laporan kajian tindakan ini dengan jayanya. Moga setiap pertolongan, sokongan dan motivasi yang diberikan dikira sebagai ibadah oleh Allah s.w.t dalam mendalami ilmu-Nya ini. Ali bin Abu Talib pernah berkata: "Ikatlah ilmu dengan menulisnya". Moga laporan kajian tindakan ini memberi manfaat kepada pembacanya.

iman's note: Moga-moga penyelia untuk Sarjana nanti sama seperti Mr Ong Chwee Kong. Betul-betul rasa terubat di saat genting ketika beliau melafazkan kata-kata ini, "sabar, jangan risau, just do what u can and i am sure u can do it.". Thank you, sir.

**imannurbalqis**

Read more

...nota si penulis AR : 19.0...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera buat semua sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Segala pujian bagi ALLAH s.w.t, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarganya, para sahabat serta tabiin sekalian. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk terus mengetik aksara-aksara dalam meninggalkan sedikit perkongsian di laman ini. Ana akui sememangnya ilham yang ada dalam melakar bait-bait indah ini adalah dengan izin ALLAH jua hendakNya.

Bersyukur ana ke atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kerana ana telah pun selesai menduduki peperiksaan semester akhir setelah lima tahun setengah mengembara ilmu di bumi IPG KPM ini. Mohon maaf kepada pembaca laman sesawang ini kerana ana tidak mampu untuk mengemaskini laman ini dengan entri-entri baharu dengan konsisten. Entah mengapa, minat menulis laman sesawang yang suam-suam kuku sejak akhir-akhir ini membuatkan ana untuk lebih banyak koreksi diri. Namun, ana juga ingin bersama-sama dengan kalian untuk berkongsi rasa dalam kehidupan kurniaan Allah s.w.t yang cukup besar anugerahnya ini.


Perjalanan sebagai seorang pelatih guru masih lagi diteruskan dengan menghitung hari dan melakar saat-saat manis di kampus sebelum menamatkannya. Menyelesaikan urusan-urusan yang masih berbaki kadang-kadang membuatkan diri ini lelah. Alhamdulillah, diberi peluang untuk bersama-sama dalam perkongsian maghrib isyak di Balai Islam Saidatina Aisyah (BISA) tadi. Berbekalkan bait-bait tulisan Dr. 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni, ada kalam yang dikongsi bersama. Moga ada manfaatnya buat yang mendengar dan yang menyampaikan. InsyaAllah. Telusurilah kebahagian dengan adanya kesedihan di sampingnya kerana di situ ada kenikmatan yang dicipta. Allahu Rabbi.

Sejak akhir-akhir ini hati begitu mudah terusik dengan senyum adik-adik junior, teguran khabar sahabat-sahabat dan sikap rakan-rakan. Mungkin di sini segalanya bermula membuatkan ana rasa sayu dengan suasananya. Namun, mana mungkin ana harus terus berada di sini selamanya. Langkah perlu diteruskan. Semalam adalah kenangan yang tidak dapat dijual beli. Biar manis, pahit, kelat, masam dan masin perisanya kerana ia perencah pada keenakkan rasanya. Malam ini membuatkan ana terfikir, segala yang telah berlaku adalah yang terbaik Allah hadirkan untuk ana. Alhamdulillah. Biar bagaimana pun permulaannya namun ciptalah pengakhiran yang tidak sia-sia. Seharusnya kita berusaha untuk mendapatkannya.

Sesungguhnya kini, masa untuk bermimpi sudah tamat. Saat ini, masa untuk bertindak. Detik ini, masa untuk melakukan. Minit ini, masa untuk merealisasikan impian. Kini masa untuk mengecapi apa yang dimahukan. Masa untuk ke hadapan. Masa untuk berdiri dalam dunia realiti. Masa untuk memimpin perubahan. Masa untuk menyampaikan mesej pencerahan. Masanya telah tiba untuk membuat anjakan paradigma. Perubahan yang lebih baik yang mana bermula dari diri sendiri. Seharusnya ana perlu keluar dari zon selesa itu dan menyukai apa yang telah ditaklifkan kepada ana sebagai khalifah Allah. Perjalannya masih panjang. Dakwat hitamnya belum kering, penanya masih tajam, lembaran kertasnya masih banyak yang kosong. Coretkan yang indah-indah.

Jangan dibiarkan hari-hari yang ada berlalu tanpa manfaat dan jangan tanamkan harta yang diperolehi pada sesuatu yang tidak berfaedah. Ketahuilah, usia itu terlalu singkat untuk disia-siakan dan harta itu terlalu sedikit untuk disimpan dalam hal-hal yang tidak berguna. Alangkah ruginya jika yang berakal menghabiskan waktunya dalam hal-hal yang tidak boleh diambil manfaat dan kebaikannya dan membelanjakan hartadalam hal-hal yang tidak menghasilkan pahala dan ganjaran.


Nabi Isa a.s pernah berkata: "Kebaikan itu ada tiga iaitu dalam Ucapan, Penglihatan dan Diam. Sesiapa yang ucapannya selain zikir maka dia sudah melakukan perkara yang sia-sia. Sesiapa yang pandangannya tidak untuk mengambil pengajaran pada perkara yang telah terjadi maka sesungguhnya dia sudah lupa. Sesiapa pula yang diamnya bukan untuk berfikir tentang kebenaran maka dia sudah tenggelam dalam kesia-siaan."

iman's note: Alhamdulillah. Moga urusan KISSM dan SPP dipermudahkan Allah. Ameen.

**imannurbalqis**

Read more

...nota si penulis AR : 18.0...

Sesungguhnya anak-anak akan lebih terkesan dengan apa yang dia lihat dari tingkah laku ayahnya berbanding nasihat dan teguran ayah dalam mendidik. Kita sering mengajar anak kita supaya bertanggungjawab namun kita seringkali juga meringan-ringankan menunaikan janji kita terhadapnya yang selalu kita ukir untuk minta pertolongannya atau melepas diri dari 'gangguannya'. Kita mahu anak kita sentiasa mengambil berat pesanan dan nasihat kita tetapi dalam masa yang lain apabila ada sesuatu yang ingin dia sampaikan kepada kita, kita mendengarnya sambil membaca surat khabar dan sebagainya.


Berikut ini adalah tulisan Syed Qutb untuk Ayahnya yang menggambarkan kesan tingkahlaku seorang ayah dalam melahirkan anak yang soleh.

Kepada jiwamu, ayahandaku, karya ini ku persembahkan. Ketika aku masih kecil, engkau telah bangkitkan rasa takutku terhadap Hari Qiamat. Memang, engkau tidak pernah memberiku nasihat atau berusaha menakut-nakuti. Tapi aku saksikan sendiri, betapa Hari Akhirat selalu menjadi perhitungan dalam hidupmu. Hari Akhirat adalah buah bibir dan buah hatimu. Engkau sentiasa memandang keras dan sungguh-sungguh terhadap kewajibanmu tapi sebaliknya, engkau begitu bertolak ansur dalam memenuhi hakmu sendiri. itu kerana engkau takut pada Hari Akhirat. Engkau selalu memaafkan perbuatan jahat orang lain padamu, padahal engkau mampu membalasnya agar dapat menjadi tebusan di Akhirat. Kadangkala engkau dermakan pula sesuatu yang menjadi keperluanmu dengan harapan kelak memperolehi kemudahan di hari itu.

Engkau selalu dalam bayanganku, apalagi pada saat-saat kita selesai makan malam, lalu engkau membaca Al fatihah dan mempersembahkannya kepada arwah kedua orang tuamu sementara kami anak-anakmu yang masih kecil bersama-sama mengikuti bacaanmu ayat demi ayat, kerana belum mampu menghafalnya dengan sempurna.

Semoga jiwamu, ayahandaku, karya ini ku persembahkan. Semoga engkau dapat menerimanya dan Allah juga berkenan. Hanya Allah yang memberi petunjuk kepada yang baik dan benar.

iman's note: Pelihara dan perbaiki akhlak kita. Moga tindak-tanduk kita sama berbakti pada Islam.

**imannurbalqis**

Read more

...iklan 7...

Dengan ilmu, manusia bisa menakluki dunia,
Dengan ilmu, manusia bisa mentadbir negara,
Dengan ilmu, manusia bisa petah berbicara,
Dengan ilmu, manusia bisa jadi kaya,
Dengan ilmu, manusia bisa terangkat jadi mulia.

Tetapi, ketahuilah...

Dengan ilmu tanpa iman di dada,
manusia bisa merosak dunia.

Dengan ilmu tanpa hidayah di hati,
manusia bisa goyah pentadbirannya.

Dengan ilmu tanpa rahmat memayungi,
manusia bisa berbicara penuh sandiwara.

Dengan ilmu tanpa amal sentiasa,
manusia bisa jadi papa kedana.

Dengan ilmu tanpa agama tunjangnya,
manusia bila-bila bisa jadi hina.


iman's note: Betapa dangkalnya ilmu yang ada. Moga ilmu yang diperolehi selama ini diberkati oleh Allah s.w.t dan boleh dimanfaatkan untuk ummah. Allahumma Ameen.

**imannurbalqis**

Read more

...penanda BUKU : 1...


Di sudut hati seorang ayah pasti ada rasa bangga atas kejayaan anaknya. Walaupun bukan dia yang berada di pentas dan menerima skrol tapi "itu anak saya".


Kita menuntut ilmu sebenarnya adalah kerana Allah dan RasulNya. Allah dan RasulNya-lah yang telah menyuruh kita menuntut ilmu. Menuntut ilmu satu ibadah kerana ilmu yang akan mendasari kehidupan seharian kita.


Tuntutlah ilmu dengan memahaminya bukan sekadar menghafalnya, tuntutlah ilmu untuk kegunaan dan kebaikan kita dan tuntutlah ilmu untuk menjadi insan berguna, berjasa dan dapat memberikan sesuatu sumbangan kepada agama, masyarakat dan negara. Ketahuilah antara pahala yang akan berterusan walaupun kita sudah tiada esok ialah ilmu bermanfaat yang disampaikan kepada orang lain dan diamalkan.


Ali bin Abu Talib pernah berkata: "Ikatlah ilmu dengan menulisnya".


Di sebalik kejayaan seseorang itu pasti ada penyokong dan pergantungan di belakangnya. Namun, apa yang pasti ialah segalanya berlaku dengan izin Allah s.w.t hendaknya.


Tahniah, dik. Ketahuilah ini baru permulaannya. Teruskan perancanganmu dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan tawakkal disandarkan kepada Allah s.w.t. Akak pasti arwah mak bangga dengan kejayaan yang kamu cipta.

iman's note: Menanti konvokesyen bagi pemegang ijazah kejuteraan mekanikal kelas pertama. Buktikan.

**imannurbalqis**

Read more

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails