.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

...tudung saji Ramadhan : 1...

Assalamualaikum w.b.t buat semua sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Segala puji dan puja kita tujukan hanya untuk Allah s.w.t, Rabb dan Ilah yang berhak dan wajib disembah. Di dalam kekuasaanNya terletak segala daya dan upaya. Tidak ada kekuatan selain dari kekuatanNya. Hanya kepadaNya kita memohon dan bergantung harap. Hanya dengan keizinan dan perkenanNya jua kita masih dipertemukan. Ana doakan antum semua sihat walafiat. syukur ana panjatkan pada ALLAH s.w.t dengan nikmat yang diberikan kerana ana dapat merasai nilai sebenar nikmat anugerah dari ALLAH.


Alhamdulillah, dengan kekuasaan Maha Pencipta juga kita dapat berada dalam bulan yang sangat dirindui dan diberkati ini. Ramadhan. Satu bulan yang serinya penuh pahala dan ganjaran kebaikan sehingga tidak boleh dibandingkan kelebihannya dan keistimewaannya. Dalam sedar atau tidak, kita sudah masuk hari kedua berpuasa. Tinggal lagi 28 hari untuk menyempurnakan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Ana bersyukur kerana bulan Ramadhan tahun ini Allah s.w.t berikan kelainan untuk ana menyempurnakannya. Sekiranya hati berasa hiba sudah masuk tahun keenam ana tidak lagi dapat menikmati bukan Ramadhan dengan insan yang bergelar ibu, kini Allah s.w.t anugerahkan ana untuk berpuasa bersama dengan insan yang sentiasa ada di hati iaitu zauji yang dicintai. Alhamdulillah, begitu banyak kelainan dan bezanya. InsyaAllah abang, ina akan terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Sehari sebelum Ramadhan zauji ada hantar mesej menyatakan betapa rindunya dia pada Ramadhan. Hal ini buat ana terdetik di hati. Allahu Rabbi, betapa istimewanya nilai Ramadhan bagi zauji sehingga menyatakan hasrat Ramadhannya pada ana. InsyaAllah, selagi ada daya ana sentiasa doakan agar zauji diberikan kekuatan untuk menyempurnakan hasratnya. Banyak juga perkongsian yang dikongsikan tentang Ramadhan. Sehinggakan pesanan Tuan Guru nya juga disampaikan pada ana. Katanya, Ustaz Mutalib pesan dalam setahun sekurang-kurangynya 2 kali kita khatam Al-quran. Sekali dalam tempoh Syawal sehingga Syaaban dan sekali lagi dalam sebulan Ramadhan. Ramadhan bulan Al-Quran. Alu-alukan kehadirannya dengan membaca Al-Quran. Paling suka dengar bacaan Al-Quran zauji. Ada tenang di situ.

Bercerita tentang Ramadhan, ramai ada pandangan dan cara tersendiri untuk memeriahkannya. Ada yang mengambil peluang untuk bersahur dan berbuka bersama keluarga, ada yang menghabiskan sehari satu juzuk Al-Quran, ada yang cuba untuk berterawih dengan 20 rakaat di 30 tempat yang berbeza, ada juga yang menjalankan tahajud dan qiamulail saban hari dan ada juga yang menyempurnakan segala ibadah sunat setelah istiqomah dalam ibadah fardhu. Namun, masih ada juga menjadikan Ramadhan sebagai bulan 'side-income', ada juga yang menjadikan alasan penat untuk tidak berpuasa, ada juga yang gantung periuk dan kuali kerana mengimarahkan bazaar Ramadhan. Masing-masing punya cara untuk menghadapi Ramadhan. Ramadhan masih sama. Bulan yang 'wajib' untuk ditempuhi walau suka atau tidak. Antara pemikiran yang ditanam sehingga menjadi pegangan generasi. Allahu Rabbi.


Kualitinya Ramadhan ada pada diri kita sendiri. Ketahuilah, setiap apa yang dilakukan pasti akan dinilai pada pandangan mata Allah s.w.t. Analogi mudah, jika kita beli barangan tak kira mahal atau murah pasti kualitinya yang kita akan perhatikan sebelum dibayar di kaunter. Begitunya dengan puasa. Allah s.w.t akan menilai kualiti puasa kita sebelum diberikan cop sirim yang menyatakan puasa kita berkualiti bukan hanya berkuantiti. Orang miskin atau kaya yang berpuasa penilaiannya bukan pada mahal atau banyaknya makanan berbuka tapi sejauh mana 'puasa'nya dijalankan. Puasa nafsunya, puasa sifat-sifat mazmumahnya, puasa pandangannya, puasa pendengarannya, puasa penglihatannya. Bukan sekadar puasa lapar dan dahaga yang dituntut dari segi istilah semata-mata. Kadang-kadang dengan megah kita mengaku kita berpuasa. Namun, masih lagi mengumpat, melihat perkara-perkara yang tidak bermanfaat, melangkah ke tempat maksiat atau melakukan perkara lagha seperti hari-hari biasa. Tiada istimewa baginya Ramadhan ini.

Ibrah Ramadhan yang jarang disedari oleh kita. Allah s.w.t ajarkan kita untuk berpuasa selama sebulan adalah untuk mengajar mereka yang mengerjakannya mengenal erti kesusahan dan keperitan manusia lain yang tidak makan dan tidak minum saban hari. Jika sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran kita akan penderitaan mereka, jadi melalui puasa kita akan muhasabah diri kita untuk banyak bersabar di samping mendekatkan diri kepada Maha Pencipta bagi memanjatkan kesyukuran. Manusia sentiasa alpa tentang orang di sekeliling mereka. Kebanyakkan daripada kita suka membandingkan diri dengan orang yang mendapat lebih nikmat dari memandang orang yang lebih susah daripada kita. Hal yang ingin dididik dalam diri kita ialah erti SYUKUR. Banyak dari kita yang tersungkur dari bersyukur. Mula untuk menyalahkan rezeki atau nasib bila ditimpa musibah. Sedangkan ada orang yang lebih susah daripada kita.

Islam tidak mensyariatkan sesuatu selain pasti mengandungi hikmah. Dalam ibadah puasa terdapat sejumlah hikmah yang perlu dicari dan difahami. Ketahuilah, berpuasa menjadi tazkiyatun nafs (pembersih jiwa) apabila kita mematuhi perintah Allah s.w.t., menjauhi segala laranganNya dan melatih diri untuk menyempurnakan ibadah kepada Allah s.w.t semata. Di samping, menyihatkan badan berpuasa dapat mengangkat aspek kejiwaan dalam diri kita. Puasa merupakan pembinaan atau tarbiyah bagi kehendak nafsu, jihad bagi jiwa dan pembentukkan bagi kesabaran. Lebih besar lagi, hikmah berpuasa dapat mengangkat darjat taqwa seseorang. Firman Allah s.w.t dalam sebuah hadith Qudsi, " Sekiranya hamba-Ku mengetahui apa yang tersembunyi dalam bulan Ramadhan, pastilah mereka mengharapkan setahun penuh itu adalah bulan Ramadhan."


Masih ada lagi masa untuk mengubah suasana Ramadhan kita ke arah yang lebih baik dari tahun-tahun dulu. Jangan biarkan Ramadhan kita berlalu tanpa makna kerana adakah Ramadhan tahun akan datang masih untuk kita? Rebutlah peluang yang ada di hadapan mata. Di saat kita mensia-siakan nikmat yang diberi percuma pasti kita akan menyesal di saat kita kehilangannya sekelip mata. Sambutlah pemberian Allah s.w.t ini untuk mendapatkan keredhaan dariNya. Muhasabahlah, Allah s.w.t menjanjikan keampunan kepada hamba-Nya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh.

"Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani. Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di taman Ramadhan-Mu. Agar dapat kami jadikan jambangan untuk bekalan kami menuju ke Syurga-Mu kelak. Ameen Ya Rabbal A'lamin."

iman's note: Kalau dulu di kampus pasti merancang hari ini nak beli menu apa. Bila dah berkeluarga, menu apa pula nak masakkan untuk zauji. Ada kenikmatan bila melihat orang yang tersayang makan makanan yang dimasak dengan berseleranya. (^_^)

**imannurbalqis**

Read more

...menjejak sunnah Siti Khadijah & Ummu Sulaim...

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua insan yang membaca entry ini. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan mulia Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassalam. Moga redha Allah sentiasa bersama kita mengiringi hari-hari mendatang untuk menuju negara yang lebih abadi iaitu Akhirat. Ameen ya Rabb. Alhamdulillah masih dikurniakan usia untuk terus berbakti dengan cara sendiri buat agama yang di cintai. Hidup ini hanya seketika dan sampai masanya kita semua akan kembali kepadaNya bawa dosa bawa pahala. Ini bermakna kita bukanlah siapa-siapa di dunia yang fana ini. Hanya nilaian "TAQWA" yang akan membezakan siapa kita disisi Allah.

Lama sungguh tidak meninggalkan jejak di laman sesawang ini. Bukan dah lupakan namum kealpaan diri dalam menghadapi kesibukkan dunia buat terleka dengan masa senggang yang ada. Alhamdulillah, hari Sabtu yang indah ini diberi peluang untuk meninggalkan pesan buat diri sementara menunggu zauji selesai berkursus. Maaf pada adik-adik yang bertanya, rakan-rakan yang menyatakan hasrat untuk membaca entry baharu setelah bergelar isteri. Sememangnya banyak yang ingin dikongsi. Namun, pernikahan yang baru menjengah sebulan lebih ini hanya seperti bayi yang baharu dilahirkan. Pengalamannya tidaklah seperti orang yang sudah 30 tahun pernikahan mereka ataupun yang sudah mempunyai 5 orang anak. Orang kata semuanya masih manis-manis belaka. Namun, apa jua pandangan dan pemikiran senior-senior dan otai-otai yang telah bernikah, ana juga mengalami transisi perubahan suasana dalam kehidupan. Paling mudah ana boleh kata, siapa yang dah bernikah tahulah keadaannya.


Alhamdulillah, dianugerahkan seorang suami yang sangat memahami memberi peluang pada ana untuk memperbaiki diri dari hari ke hari. Perkenalan selepas pernikahan buat hati lebih tenang untuk menjiwai sikap seorang lelaki. Bak kata Ustaz Azhar Idrus, semua yang dibuat berpahala. Jadi, lebih tenang untuk menghadapinya. Pernikahan Jarak Jauh yang Allah aturkan ini buat kami sama-sama untuk menyokong antara satu sama lain dalam menghadapi tarbiyyah dari Illahi. Belum rasa bolehlah cakap macam-macam, dah rasa tak tahu nak cakap apa. ^_^ Zauji selalu pesan hidup perlukan keberkatan untuk dapat keredhaaNya. Jadi, dalam apa jua keadaan yang dihadapi kita perlu redha menerimanya. Apa pun, ana tak nafikan peribahasa, "Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri." Namun, ketahuilah bahawa sabar tak pernah ada hadnya.

Untuk entry pertama bulan Julai ini ana nak berkongsi pengalaman tentang satu perkataan yang sering didendangkan di telinga ana sehingga saat ini apabila ana bertemu dengan kenalan atau orang yang baharu di kenali. Di saat mereka bertanyakan sudahkah ana bernikah, pasti pesanan ini akan ditinggalkan selepas ana menjawab Ya. Ramai yang kata ana bernikah di usia muda. Mungkin ini pesanan yang sangat-sangat berharga buat ana yang mengenal pernikahan di usia 'muda'. Rasanya ada lagi yang bernikah muda. Isteri Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Sabariah bernikah di usia 14 tahun. Lagi muda. Nak tahu ke pesanan apa yang sering disebut-sebut kepada ana. Dua kata berharga iaitu MENTAATI SUAMI. Inilah antara pesanan yang paling banyak ana terima setelah bergelar isteri.


Taat kepada suami, ana dah tahu perkara ini sewaktu belum bernikah lagi. Tapi kenapa ketaataan isteri jatuh pada suami ana dapat setelah bernikah. Betapa tingginya kedudukan suami sehingga isteri perlu mentaatinya. Kenapa ini perlu? Kerana ini adalah perintah yang turun dari Allah s.w.t sendiri. Allah s.w.t memerintahkan para isteri agar mentaati dan melayan suaminya dengan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Kalau boleh aku menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain, nescaya aku menyuruh isteri supaya sujud kepada suaminya." (Riwayat Tirmidzi) Allahu Rabbi. Mentaati dan melayani suami merupakan salah satu ibadah yang mana para isteri mendapat ganjaran di dunia, sementara di akhirat pula mendapat pahala. Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya: "Jika seorang isteri menunaikan sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, menjaga kesucian dirinya, dan taat kepada suaminya, dia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki. Begitu besarnya ganjaran yang Allah s.w.t bagi pada isteri yang mentaati suami."

Menjejak sirah Ummul Mukminin, Siti Khadijah isteri kesayangan Rasullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang hidup bersama Rasulullah selama 24 tahun. Sepanjang menjadi isteri baginda, beliau menjadi suri rumah tangga dan kekal menjadi satu-satunya isteri baginda sehinggalah beliau meninggal dunia. Beliau juga telah melahirkan enam orang anak. Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah untuk pergi ke Gua Hira kerana ingin bertafakur dan bermunajat kepada Allah seorang diri. Setiap kali baginda ke sana, baginda akan membawa sedikit bekalan yang disediakan oleh isterinya, Siti Khadijah. Apabila makanan sudah habis, baginda turun semula ke Mekah dan tawaf di Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian barulah kembali menemui isteri tercinta. Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, berulang alik dalam tempoh masa lebih kurang lima tahun di Gua Hira. Sungguhpun demikian, Siti Khadijah tidak pernah berasa kecil hati terhadap Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam. Malah, beliau berusaha agar baginda lebih memperoleh ketenangan dalam bermunajat kepada Allah. Oleh yang demikian, apabila Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam pulang ke rumah, beliau tidak pernah bersungut apatah lagi bermasam muka. Beliau melayan suaminya dengan baik, penuh hormat dan kasih sayang. Begitulah tanggungjawab sebagai seorang isteri yang taat dan setia kepada suami sehinggalah beliau meninggal dunia dalam usia 64 tahun dan enam bulan. Semenjak pemergian Siti Khadijah, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam sangat sedih dan murung kerana begitu terasa kehilangan seorang kawan, teman, isteri, pembantu dan pembela ketika baginda menjalankan seruan Allah.


Lelaki adalah pemimpin kepada wanita, khususnya suami terhadap isteri. Ini memamng ana tak nafikan kebenarannya. Firman Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud : Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita. Oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.(Al-Nisa :34) Firman Allah lagi maksudnya : Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajiban mereka menurut cara yang baik akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan atas isterinya. (Al-Baqarah : 228) Bukan ana nak kata isteri tiada langsung ruang atau peluang untuk membuka suara. Namun, hikmah suami ketua keluarga lebih besar dan banyak kelebihannya.

Setiap wanita ingin dikasihi, mendapat pembelaan dan perlindungan daripada seorang suami tetapi bukan kesemuanya bernasib baik. Masih ramai lagi yang tidak berpeluang bersuami walaupun dalam kalangan mereka itu ada yang berjawatan tinggi, cantik dan berharta. Maka bagi wanita yang bertuah dan bernasib baik kerana telah bersuami ini, apakah ada cara lain untuk melahirkan rasa syukur dan tanda terima kasih selain daripada mentaati dan melayani suami dengan sebaik-baiknya? Kenanglah jasa dan kebaikan suami, pasti akan lahir rasa tanggungjawab untuk mentaati dan melayaninya dengan sebaiknya. Kewajipan isteri melayan dan memuliakan suaminya terlalu besar dan membawa erti yang besar kepada wanita. Sayidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: "Wahai kaum wanita! seandainya kamu mengerti kewajiban terhadap suamimu, tentu seorang isteri daripada kamu bertindak akan menyapu debu dari telapak kaki suaminya dengan sebahagian mukanya." Mentaati suami merupakan persoalan penting kepada isteri selapas mentaati Allah dan Rasul. Ia adalah saluran menuju taqwa kerana disitulah peluang untuknya bermujahadah, melawan segala perasaan letih, jemu, geram, marah, kecewa dan sedih ketika berlaku pertembungan di antara kehendak suami dan kehendak isteri. Seorang isteri yang solehah akan merasa bahagia apabila dapat mentaati, melayan suami dan menimbulkan kegembirannya hingga suami terhibur. Kerana baginya menghiburkan hati suami bererti membangunkan syurga di akhirat. Oleh itu dia merasa amat beruntung kerana peluang itu Allah kurniakan buatnya. Lantas suami tidak hanya diberi layanan yang istimewa sewaktu baru melangkah ke gerbang pernikahan atau di saat cinta masih segar dan hangat atau ketika suami masih berupaya dari segi rupa, harta, pengaruh atau tenaga sahaja.


Insan-insan yang bergelar isteri, jangan sekali-kali memandang jijik hingga sanggup mengatakan wanita yang mentaati suami sebagai hamba suami dan tunggangan nafsu suami. Sebaliknya, tugas itu dianggap sebagai hadiah dari Allah untuk dirinya yang tidak kesemua wanita berpeluang mendapatnya. Jika disingkap kisah Ummu Sulaim yang menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri tatkala saat itu kehilangan anak yang disayangi. Pasti, akan diketahui betapa tingginya ketaatan seorang isteri yang beriman. Tugas mentaati suami tidak mungkin dapat dilakukan dengan baik tanpa dorongan iman dan taqwa. Hanya wanita beriman saja yang dapat mencintai suaminya dengan cinta fitrah (bukan cinta nafsu). Iaitu cinta fitrah yang tidak dikaitkan dengan apa-apa kepentingan yang membuatkan seseorang rela memberi kebahagian kepada orang yang dikasihi hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata. Bak kata Ustaz Kazim Elias, syurga untuk wanita yang mentaati suami. Wallahualam. Pesanan buat diri yang serba kekurangan.

iman's note: terngiang-ngiang suara zauji nasyid lagu "Saat Lafaz Sakinah". Moga Allah berkati kita. Allahumma Amin. "Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

**imannurbalqis**

Read more

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails