.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

...nota si penulis AR : 11.0...

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamu’alaikum w.b.t dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca laman ini. Segala puji bagi Allah SWT Pencipta sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah, kita masih lagi bernafas di muka bumi Allah dengan nikmat iman dan Islam. Tiada lafaz yang lebih mulia melainkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikecapi dalam sedar mahupun tidak. Tiada juga kegembiraan yang terungkap melainkan diri ini dapat melakukan yang terbaik demi Islam tercinta. InsyaALLAH. Masa terus menginjak tanpa menunggu sesiapa. Malam ini sudah masuk bulan Zulkaedah, Syawal 1432H terus menjadi memori semalam.

Rasa syukur yang tidak terhingga ana panjat kepada ALLAH s.w.t kerana memberi peluang untuk ana terus mengetik aksara di papan kekunci ini dalam menyusun bait-bait untuk kita sama-sama koreksi diri. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini rasa untuk menulis entry suam-suam kuku. Kadang-kadang terus beku. Moga diberi kekuatan untuk terus bertinta. Allahu Allah. Sekarang ana dan sahabat-sahabat di kampus sibuk dengan persediaan untuk pembentangan seminar bagi kajian tindakan yang telah dijalankan di sekolah. Macam-macam halangan dan rintangan yang dihadapi oleh rakan-rakan seangkatan ana untuk menyelesaikan tugasan ini. Sampai satu tahap dah tak tahan nak dengar orang sebut 'Takut', 'Risau', 'Berdebar', terkeluarlah 'statement', "anggap pembentangan kajian yang dijalankan adalah salah satu cara untuk memperkembangkan potensi diri. Tidak perlu takut untuk dinilai kerana di situ ada ruang untuk kita perbaiki diri kita. Paling penting 'think +'. Ingat, kita adalah apa yang kita fikirkan" Masih menunggu ketibaan hari itu. Moga dipermudahkan urusan dan diberi kelancaran pengendaliannya.


Itu cerita rencah hidup sebagai seorang guru pelatih tahun akhir. Ini pula cerita di sebalik tangisan Zinnirah, srikandi Islam Hamba Umar. Siapa Zinnirah? Ana kenal srikandi nama Zinnirah ini waktu di sekolah menengah dulu. Melalui lagu Zinnirah nyanyian kumpulan UNIC. Nampaknya, muzik turut membantu dalam penyebaran sirah Islam. Alhamdullillah. Baiklah, kali ini ana nak cerita tentang Zinnirah.

Zinnirah adalah seorang gadis yang berasal dari Rom. Kehidupan keluarganya sangat miskin dan dalam keadaan serba kekurangan. Ketika berlaku satu peperangan besar di Rome ,Zinnirah terpisah daripada keluarganya lalu menjadi tawanan perang. Sejak itu, dia dijual sebagai hamba dan sering bertukar tangan. Sepanjang menjadi hamba abdi, Zinnirah dilayan dengan kasar dan adakalanya diperlakukan seperti binatang oleh tuannya. Suatu hari Zinnirah berkenalan dengan seorang hamba yang senasib dengannya. Perkenalan itu akhirnya membawa Nur Islam dalam diri Zinnirah kerana hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah. Penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk Islam. Namun, dia terpaksa melakukan ibadat secara rahsia kerana tuannya memusuhi Islam.

Nasibnya lebih malang apabila dia bertukar tangan kepada bangsawan Quraisy yang sangat berpengaruh masa itu, Umar Al-Khattab. Ketika itu, Umar belum memeluk Islam dan juga tidak mengetahui keIslaman Zinnirah. Umar yang sangat memusuhi Rasulullah terkenal dengan bengis dan kasarnya sehingga digeruni, baik lawan maupun kawan. Akhirnya, Umar mengetahui mengenai keIslaman Zinnirah apabila suatu hari dia mendengar gadis itu membaca al-Quran. Ini menimbulkan kemarahan Umar yang mahu menghukumnya dengan siksaan berat.

“Tahukah kamu apa hukuman yang layak untukmu?” Tanya Umar keras dengan wajah bak singa sambil mengheret Zinnirah ke tengah padang pasir. Di situ, Umar mengikat kaki dan tangan Zinnirah dan menjemurnya di tengah panas terik. “Inilah caranya supaya kamu insaf,” katanya lalu meninggalkan Zinnirah di situ.

Walaupun mukanya perit dipanah matahari dan kehausan, Zinnirah tabah menghadapi penderitaan itu sambil mulutnya tidak berhenti membisikkan Allah...Allah...Apabila melihat hamba abdinya belum insaf, Umar menyeretnya ke pinggir kota dan mengikatnya di tiang. Dia menyuruh orang mengorek mata Zinnirah sehingga buta. Walaupun darah bercucuran daripada matanya dan dia diejek oleh orang kafir Quraisy yang percaya dia dilaknat tuhan Lattadan Uzza, iman Zinnirah tidak luntur malah mampu berkata, “Sekalipun aku dibunuh, kepercayaanku masih tetap pada Allah yang Esa."

Penderitaannya itu akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq yang membeli Zinnirah dengan harga tinggi. Sejak itu, dia tekun beribadat dan dengan kurnia Allah, kedua-dua matanya yang buta itu bercahaya semula. Peristiwa yang mengagumkan ini menyebabkan ramai orang Quraisy memeluk Islam.

Di sebalik hina dan siksa dari tuan yang bengis, ada keteguhan pengharapan pada penciptaNya dalam bisikan seorang hawa. Di sebalik keperitan dirobek matanya, ada sinar cahaya buat Islam untuk terus berkembang. Di sebalik tangisan kehambaan Zinnirah, ada kegagahan iman dalam jasad seorang wanita Islam. Zinnirah, hamba tawanan yang begitu cekal menyebut nama Mu saat nyawanya diratah Umar. Namun, musuh tak selamanya musuh. Akhirnya, kembali menjadi hamba bertuhankan ALLAH. Zinnirah, seorang wanita biasa, yang mungkin tidak dikenali, yang tidak punya harta atau ijazah tetapi mendapat pujian daripada Allah. Para malaikat mendoakan kesejahteraannya. Mata kasarnya buta tapi mata hatinya celik, disinari dengan cahaya keimanan serta keyakinan kepada Allah.


Kesabaran seseorang muslimah dalam mempertahankan akidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan akidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah adalah harta yang tiada ternilai bagi setiap individu muslim. Ia merupakan cahaya yang menyinari hidup insan dan menjadi penyelamat dalam mengharungi kesengsaraan kacau-bilau hari pembalasan kelak. Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam mempertahankan akidah mereka yang telah terpahat kukuh dalam hati sanubari mereka. Keimanan yang jitu dan kesanggupan mereka mengharungi keperitan hidup telah membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam. Hingga ke hari ini Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa umat Islam. Subhanallah. Allahuakbar. Alhamdulillah.

iman's note : mencari Zinnirah yang seterusnya. Moga semangatnya ada dalam diri yang serba kekurangan ini.

**imannurbalqis**

Read more

...nota si penulis AR : 10.0...

Memang aku bukan Abu Bakar,
Yang bersama ar-Rasul di waktu sukar,
Yang menahan bisa kerana cinta,
Yang mengorbankan segala di jalan Yang Esa,
Kerana yakin dan percaya pada janji Rasul-Nya,
Yang pertama menjadi khalifah,
Selepas perginya si Habibullah,
Yang berkeras terhadap golongan riddah,
Yang menghapus gerakan Thulaiha dan Musailamah,
Yang mampu berkata dengan megahnya,
"Apakah kan runtuh agama,
Sedang aku masih bernyawa?";


Memang aku bukan Umar al-Khattab,
Peribadi perkasa beriman mantap,
Yang dulunya musuh yang digeruni,
Kemudiannya menjadi pembela sejati,
Yang pertama bergelar Amirul Mu'minin,
Yang giat meluaskan empayar Muslimin,
Yang menumbangkan Kerajaan Parsi,
Yang menggegarkan Kerajaan Romawi,
Namun tawadhu'nya tinggi sekali,
Sekalipun dia yang membuka tanah Al-Quds,
Datangnya menuntun unta tunggangan,
Kaosnya pula jubah bertampal,
Bahkan pernah beliau berkata,
"Aku hanya seorang Umar,
Mulianya aku kerana Islam."

Tapi aku tetap aku,
Satu entiti di alaf baru,
Yang berusaha menggapai mardhatillah,
Dengan berjuang di jalan dakwah,
Menyampaikan madah iman dan kalam tarbiah,
Untuk merealisasikan impian khilafah,
Mungkin aku insan biasa,
Yang tak dikenali di mata dunia,
Tapi aku punya cita,
Untuk merubah sejarah kita.


"Ya ALLAH, berikanlah kepadaku manfaat atas segala yang Engkau ajarkan, dan ajarkanlah kepadaKu apa yang memberi manfaat dan tambahkanlah ilmuku, syukur kepada-Mu atas segala perkara, aku memohon perlndungan-Mu daripada keadaan ahli neraka." (Riwayat Al-Tarmizi)

iman's note : terus melakar di kanvas kehidupan dengan warna-warni pelangi. Moga indahnya dirasai bersama.

**imannurbalqis**

Read more

...nota si penulis AR : 9.0...

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi dan langit. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul. Bersyukur juga ke hadrat ILLAHI kerana diberi ruang dan kekuatan untuk mencoret sesuatu di laman ini sebgaai permulaan untuk bulan September ini. Moga ada perkara yang boleh dikongsi bersama dan ini akan menjadi antara sumber untuk menambah timbangan pahala di akhirat kelak. InsyaALLAH. Alhamdulillah hari ini sudah 11 Syawal. Tahniah kepada sahabat-sahabat yang sudah menghabiskan puasa 6 yang disunatkan selepas Aidilfitri dan yang baharu untuk memulakan ibadah sunat ini didoakan kalian diberi kekuatan untuk meneruskannya.


Namun begitu, ana masih lagi tidak dapat menjalankan misi Syawal yang memang ingin ditunaikan ini. Setelah pulang ke kampus, terus diberikan nikmat sakit sehingga hari ini. Minggu ini merupakan minggu kuiz untuk subjek EDU 3108 & EDU 3109. Di samping itu, tugasan kerja kursus pendek yang perlu diselesaikan dengan kadar yang segera membuatkan sistem biologi ana makin tidak teratur. Mana tidaknya sudah 5 hari demam + selsema + batuk + sakit tekak. Bermula dengan sakit-sakit badan dan demam sehingga tidak dapat tidur malam akibat panas dan kepala yang berdenyut-denyut, hari ketiga diuji dengan sakit tekak dan suara yang menyebabkan tidak selera untuk makan. Rasanya waktu itu mahu dikeluarkan anak tekak dan dibasuh dengan dettol, biar cepat sembuh. Hari keempat pula disusuli dengan batuk yang tidak henti-henti sehingga menyebabkan terasa sakit seluruh badan ketika batuk. Waktu itu, cara menyelesaikannya hanyalah minum ubat batuk dan tidur. Itu sahaja yang termampu. Ubat pula hanya akan dimakan selepas waktu kuliah kerana takut menganggu sesi P&P dan kuiz yang dijalankan. Siangnya hanya rehat dan malam pula mula menyelesaikan tugasan dan membuat ulangkaji hingga ke pagi bertemankan sweater, air panas dan sekotak tisu. Pergi ke klinik untuk rawatan, dapatkan ubat lain di farmasi (first time makan ubat batuk perisa chocolate vanilla), mencuba petua ayah (makan buah laici untuk hilangkan sakit tekak & elokkan suara), sebelum tidur makan madu asli yang diberi oleh ustazah dan kuarantin ais + makanan berminyak semuanya telah dilakukan demi dapatkan nikmat sihat.

5 hari yang cukup menguji kesabaran, kekuatan fizikal dan mental malah banyak memberi sentuhan pada hati untuk terus koreksi kelemahan diri ini sehingga menahan sakit dengan air mata. Walau bagaimanapun, tidak ALLAH jadikan sesuatu itu sia-sia. Rasulullah pun melarang untuk mencela penyakit. Ketika Ummu Saib sakit demam dan mencela penyakit yang menimpanya, Nabi bersabda. “Janganlah kamu mencela demam. Kerana sesungguhnya demam itu mengikis kesalahan anak cucu Adam sebagaimana bara api mengikis karatnya besi.” (HR. Muslim). Macam-macam perkara yang ana nilai dan cuba untuk mencari sesuatu yang dapat dipelajari dari nikmat sakit ini. Mana tidaknya waktu ini merupakan waktu genting tatkala kerja kian bertambah, deadline kian hampir, semuanya minta dihadap dan dipenuhi. Benarlah apa yang dikata oleh sahabat ana yang datang melawat ana di bilik, bila ALLAH menduga kita itu tandanya ALLAH sayang dan ingat pada kita. Alhamdulillah, terima kasih atas nikmat ini ya ALLAH kerana banyak ibrah yang didapati secara percuma.

Rasulullah pernah bersabda, “Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menjalankannya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula.” (HR Muslim)
Dalam hadith ini Rasulullah menjelaskan dua keadaan yang ada dalam diri manusia iaitu kesenangan dan kesedihan. Dua keadaan itu dapat membezakan mana yang termasuk orang mukmin dan orang yang tidak beriman . Mukmin selalu bersyukur ketika mendapatkan kesenangan dan selalu bersabar ketika mendapatkan musibah.

Dalam masa ana sakit dan dihimpit dengan kesibukkan yang bertimpa-timpa, banyak hikmah yang ana pelajari. Sakit yang dianugerahkan ini dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”
(HR. Bukhari-Muslim)

Sangat indah pengajaran yang ALLAH bagi, subhanallah. Dalam sebuah buku yang berjudul Yasalunaka fi al-Dinwa al-Hayat dan dikutip dalam Tabloid Syiar, Dr. Ahmad al-Syurbasi, beliau menulis lima hikmah sakit yang dialami manusia.


Pertama, sakit adalah ruang untuk manusia berehat. Ketika sakit, memang kita tidak dapat berbuat apa-apa. Terlantar sahaja. Namun hikmahnya, organ-organ yang membantu kita berkerja selama ini cuba untuk mendapatkan rehat yang cukup. Umpama enjin yang terlalu lama hidup akan jadi panas. Ia perlu diberhentikan sekejap untuk sejuk dan kemudian dihidupkan kembali. Biarkan badan dan emosi kita haknya, iaitu rehat yang cukup.

Kedua, sakit merupakan pendidikan. Ketika seseorang mengalami sakit parah, dia akan menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan. Biar apapun, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia bisa kembali pulih seperti biasa, menjalani kehidupan normalnya.

Ketiga, sakit merupakan teguran dari Allah s.w.t. Barangkali kita alpa dengan sesuatu dan asyik dengan sesuatu sehinggakan terabai dalam menjaga hubungan kita dengan Dia. Ketika sihat, seolah-olah tidak beringat dengan kesakitan. Ketika kaya, seolah-olah lupa pada yang kurang upaya. Ketika terlalu seronok, tidak endah pada kesengsaraan orang lain. Ketika berkuasa, seolah-olah dialah yang paling gagah perkasa. Manusia mudah lupa! Saat ini kita merasai apa yang mereka rasa. Ingatlah lima perkara sebelum lima perkara. Kita diuji dengan apa yang kita cakapkan dan kita diuji dengan apa yang kita lakukan.

Keempat, sakit memberikan kesempatan untuk bertaubat dan menghapus dosa. Ruang ini selalu menjadikan manusia berfikir kembali dan bermuhasabah dengan tindak-tanduknya sendiri. Jarang sekali kita dapat bermuhasabah tatkala hati dilonjak gembira. Jadi, inilah masa yang ideal agar dapat kita toleh kembali kesilapan dan seterusnya bertaubatlah pada yang Khaliq. Mohonlah sesungguhnya agar segala dosa kita diampun Tuhan. Dan merayulah pada-Nya agar kita dimudahkan segala urusan yang membelitkan, diberi kesenangan dan kesihatan tubuh badan. Dalam hadis ada diterangkan,

“Tidaklah seorang muslim tertimpa keletihan, sakit, kebingungan, kesedihan dan kekusutan hidup, atau bahkan tertusuk duri, kecuali Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Muttafaq Alaih).

Kelima, sakit juga memberikan kesempatan untuk memperbaiki hubungan keluarga dan sosial. Ketika seseorang itu sakit, maka akan ada kerabat dekat akan semakin dekat, kerabat jauh akan menjadi dekat dan yang kenal akan semakin akrab. Ketika si anak kurang sihat, ibu dan ayahnya yang menjaga dan memelihara kesihatan anaknya. Pun begitu, sekiranya ayah atau ibu kurang sihat, si anak akan kembali kepada orang tuanya dan memberikan keprihatinan yang optimum untuk membalas kembali jasa mereka. Di samping itu, ana belajar erti kasih-sayang kerana ana cukup terjaga di waktu ini. Thanks to my dear Dad yang akan call ikut waktu makan ubat untuk pastikan ana makan ubat, my siblings (usop, acik & ikah) yang hari-hari call tanya perkembangan, my roommate (hanis) yang selalu ingatkan makan ubat, bacakan ayat suci al-quran, temankan pergi farmasi, my neighbbours (aminatul&ima) yang hari-hari datang urutkan kepala dan bagi ubat, my friends yang datang melawat dan bagi sokongan, my juniors yang send message ingatkan jaga kesihatan, ustazah yang berkongsi amalan makan madu. I love you all! Thanks for other’s support! (^_^)


Alangkah Besarnya dan Mulianya ALLAH S.W.T yang menjadikan begitu banyak hikmah sakit daripada hanya satu sakit. Akan tetapi jarang sekali kita fikir-fikir dan renungkan. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kita tidak tahu. Ketahuilah, ujian ALLAH datang dalam pelbagai bentuk. Sakit, kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang dan kegagalan dalam peperiksaan. Dahulu ana melihat orang lain sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Sebenarnya, itu tanda ALLAH sayang pada kita. ALLAH mahu menguji hambaNya supaya kita bersabar dan bertawakkal kepada Nya. Namun, kebanyakkan dari kita tidak mengenal ALLAH dan memahami hikmah di sebaliknya, meskipun demikian ALLAH tetap menyayangi kita tanpa mengurangkan hatta seinci pun nikmat harian yang biasa kita kecapi dalam kehidupan seharian kita. Allahuakbar. Malunya rasa. Moga ibrahnya kita ambil bersama.

iman's note : Takziah buat sahabat yang dikuarantinkan kerana demam denggi dan junior yang terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari program PDK. Moga kalian cepat sembuh.

**imannurbalqis**

Read more

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails