...JALINAN UKHUWAH...
Showing posts with label coretan. Show all posts
Showing posts with label coretan. Show all posts
.::1/14: opening 2014::.
1 comments
IMANNURBALQIS
-
ya ALLAH,
moga setiap nafas yang ku nikmati,
setiap kerdipan mataku
setiap langkah kakiku,
setiap degup qalbuku,
semakin dekat aku padaMU...
-Ya Allah,berikanku yang terbaik disisiMu-
اللّهُمَّ لا سَهْلا إِلا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلا وَأَنْتَتَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِيئْتَ سَهْلا
“Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah. Dan Engkau dapat jadikan susah itu mudah, apabila Engkau menghendakinya”
ummu maryam: is listening MENJEMPUT BIDADARI...
**imannurbalqis**
...4/13 : KOPIAH atau TUDUNG?...
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat dan pembaca blog Kak Ina. Didoakan agar sahabat-sahabat dan pembaca semua berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dalam rahmat serta maghfirah ALLAH SWT. Selawat dan salam tidak lupa juga diucapkan buat Baginda Nabi Muhammad s.a.w yang berjuang bersama para sahabat menaikkan syiar Islam dan meyebarkan risalah membawa kita dari alam kegelapan (Jahiliyyah) hinggalah ke alam yang kita rasakan sekarang. Syukur dipanjatkan kepadaNYA kerana masih lagi ada hati-hati yang mencintai jalan ISLAM yang suci lagi benar. Semoga kita tidak leka dengan hidangan dan kesibukkan dunia yang boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan. Mudah-mudahan cuti seminggu persekolahan ini pasti memberi ruang dan peluang untuk anak-anak yang belajar rehat seketika. Almaklumlah, 5 hari seminggu ke sekolah. Dari pagi hingga ke petang.
Alhamdulillah, hari ini Kak Ina masih lagi diberi peluang untuk menconteng laman ini sebelum bercuti lamo-lamo. Dah berdebu rasanya. Nak masuk April dah. Hari ini 28 Mac, ada cerita di sebaliknya yang nak dikongsi bersamo. (^_^) Sapo nak jadi Montori Bosa Noghori Sembilan? Moh doreh angkat tangan. Ngeh3. Sebagai rakyat Noghori Semilan, Kak Ina raso tak berapo nak raso juga keadaan noghori kerajaan sementaro ni. Sobab eh, dari tahun lopeh laie wakil rakyat kawasan Kak Ina nie dah tak do. Raso tak sobar nak mengundi nie. Esok bilo dah ado wakil rakyat, bondo pertamo Kak Ina nak minta line talepon. Dah masuk era transformasi dah kato eh tapi kek ghumah Kak Ina tak do juga line talepon. Agak-agak eh kawasan corok manolah Kak Ina duduk.
Kali ini yang mungkin entri terakhir untuk bulan Mac, Kak Ina nak bawa pembaca semua sama-sama merasai kehebatan dan kekuasaan Pencipta kita. Esok, Jumaat, 29 Mac 2013. Kalau ikutkan esok tarikh due date Kak Ina delivery baby. Dah 40 minggu rupanya baby teman Kak Ina ke hulu ke hilir. Tapi apa yang akan berlaku esok kita tetap tak tahu. Alhamdulillah, ALLAH SWT bagi peluang Kak Ina bertemankan Encik M dalam menunggu kelahiran permata hati tapi masih lagi tak ada tanda-tanda baby nak keluar. Hanya doa dititipkan dan tawakkal diserahkan pada ALLAH SWT. DIsebalik rahsia kelahiran disembunyikan oleh ALLAH SWT, rupanya banyak perkara yang dipelajari tanpa disedari. Kalau boleh ditempah-tempah tarikh kelahiran pasti huru-hara rasanya insan-insan yang bakal bergelar ibu dan ayah ini. Mana tidaknya, berebut nak tarikh istimewalah, sentiasa berasa selamat dan yang paling minta dijauhkan berasa diri lebih berkuasa tanpa memohon pada yang Esa. Apabila berkongsi cerita dari insan-insan yang dah berpengalaman, ada kelahiran yang awal ada juga kelahiran yang lewat dari jangkaan. Namun, apa yang pasti akan terkeluar dari mulu-mulut insan ini, "Tak kisahlah keluar bila. Yang penting baby dan maknya selamat. Banyak-banyak minta pada ALLAH." Allahu Rabbi, bila pengharapan diserahkan pada ALLAH SWT sepenuhnya, rasa diri tidak pernah berkeseorangan.
Dalam pada berkongsi kegembiraan dengan kelahiran anak rakan-rakan dan teman-teman. Terlintas juga rasa, bilalah pula tiba masa kita. Bagaimana perasaan tatkala itu, rasanya, keadaannya. Allahu Rabbi. Rahsia yang cukup disimpan elok dan akan diketahui tatkala harinya tiba. Seperti firman Allah, Surah Luqman ayat 34, "Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya." Penantian itu menjadi cukup-cukup bahagia. Mana tidaknya, suami akan selalu bertanya tentang keadaan isteri. Isteri pun akan sentiasa merasa diri dihargai. Kasih-sayang yang ALLAH SWT ciptakan ini memberi peluang untuk suami isteri menjadi lebih bersedia untuk menerima insan yang sangat mereka kasihani.
Apabila kita meletakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH SWT, tanpa disangka-sangka keadaan yang akan diterima sungguh manis dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Mana tidaknya, kita akan lebih dekat dan sentiasa bersama denganNya. Hal ini kerana kita tahu dan sedar ALLAH SWT berkuasa atas kehendaknya. Tiada upaya dan kuasa untuk kita menghalanginya. "dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." At-Talaq, ayat 3. Subhanallah, sungguh hebat ALLAH SWT dan akuilah bahawa kita adalah hambaNya selama-lamanya. Kejarlah redhaNya dalam apa jua keadaan kita. Dan semoga Allah mengira setiap amalan kita sebagai ahsanu a’mala, amalan terbaik yang bakal kita persembahkan padaNya di akhirat kelak.
bismillah hi tawakkal tu `alallah
la haulawala kuwwata illa billah
la haulawala kuwwata illa billah
iman's corner : Ramai yang bertanya baby boy atau girl. Kami pun tak tahu lagi nak beli kopiah atau tudung. Kalau boleh nak beli dua-dua. (^_^) Indahkan rahsia ALLAH SWT itu. Hari ini berdua, esok dah bertiga. Subhanallah. Doakan kami yea~
**imannurbalqis**
...last words : 31 December 2012...
Hidup ini adalah nikmat yang paling indah...
Hanya bila kita tahu menghargainya...
Biarpun laluannya susah, payah, berliku dan memeritkan...
Apa yang pasti, hikmahnya membuahkan syukur yang tidak terhingga...
It's doesn't matter if you win or lose, it's how you play the game...
Ketahuilah Allah s.w.t sentiasa ada bersama kita...
Siru A'la Barakatillah...
iman's note : Moga Allah memberkati hari-hari yang telah dan akan ku lalui... Allahumma Ameen...
**imannurbalqis**
...nenek TUA tapi bukan hati BUTA...
Terdengar perbualan seorang nenek dan seorang mak cik sepanjang perjalanan pulang dalam bas petang tadi buat air mata ini mengalir tanpa henti. Kagum dengan jiwa 'ibu' nenek itu.
Mak cik: Dari mana ini?
Nenek: Dari hospital. Check, ambil ubat.
Mak cik: Sorang jea ke?
Nenek: Tak dengan kawan (sambil tunjuk kawannya yang juga seorang nenek di belakang)
Mak cik: Suami tak datang ambil?
Nenek: Dah lama dah meninggal. 20 tahun dulu.
Mak cik: Owh. Habis tu macamana nak jalan balik nanti? Kaki bengkak tu.
Nenek: Jalanlah sikit-sikit. Kalau ada orang nak tumpangkan sampai rumah nanti. Alhamdulillah.
Mak cik: Anak tak hantar ke?
Nenek: Anak ada kerja.
Mak cik: Berapa orang anak?
Nenek: 6 orang. 2 lelaki 4 perempuan.
Mak cik: Anak-anak tak balik rumah ke?
Nenek: Tak. Waktu raya jea balik. Rasa hati ini nak pergi rumah anak-anak tapi tak diberi. Suruh duduk kampung.
Mak cik: Anak-anak kerja apa?
Nenek: Yang kat KL tu peguam, Yang kat Seremban jururawat, Yang kat Linggi jaga sekolah, Yang kat Taiping Johor dengan suami, Yang kat Selangor juru ukur.
Mak cik: Bagus anak-anaknya. Kenapalah mak sorang tak boleh nak jaga? Betullah kan kata orang seorang mak boleh jaga 10 orang anak. Anak ramai pun tak mampu nak seorang mak.
Nenek: Tu lah. Tapi tak pelah, orang tua siapa yang nak. Menyusahkan dia jea kan.
Mak cik: Esok mereka akan tua juga. Anak lelaki tak datang jenguk ke?
Nenek: Lagi tak nak. Dia dah pesan kalau sakit hantar kat rumah orang tua-tua. Jangan bawa jumpa dia.
Mak cik: Astagfirullah al'adzhim. Kenapalah sampai macam tu sekali? Bukannya mak angkat atau mak tiri. Ini mak kandung sendiri.
Nenek: Entahlah, tak tahu salahnya kat mana. Tapi tak pelah, asalkan mereka bahagia, bahagia dah hati saya ini.
Mak cik: Dapat duit bantuan tak?
Nenek: Dapat, RM300 sebulan.
Mak cik: Oklah tu, dapat juga buat duit ubat diri.
Nenek: Kalau sorang nie lepaslah. Ini ada cucu kat rumah tu 3 orang. Mak ayah dia kerja. Iyealah katanya belanja jaga anak pun dah mahal. Tu yang duduk kampung. Bukan dia yang bagi kita duit, kita balik yang tanggung cucu-cucu tu.
Turun dari bas, ana turun sekali dengan nenek & kawannya yang pangkat nenek juga.
Kawan nenek: Anak nak balik mana?
Ana: C.....
Kawan nenek: Balik kerja ke?
Kawan nenek: Balik kerja ke?
Ana: Iye.
Kawan nenek: Cikgu yea?
Ana: Iye.
Nenek: Owh, anak siapa ini?
Ana: Anak K... Uwan nak balik mana ni?
Nenek: I...
Ana: Jauh tu nak jalan kaki.
Nenek: Tumpang kereta ke motor anak boleh tak?
Ana: Maaflah wan, saya pun jalan kaki. Nanti saya tahankan kereta atau motor yea.
Kawan nenek: Susah orang sekarang nie nak tumpangkan kalau tak kenal.
Ana: Tak pe wan, kita cuba yea.
Kawan nenek: Tolong lintaskan wan jalan. Kita tunggu kat sana. (sambil tunjuk arah pokok)
Ana: Boleh-boleh. Jom.
Setelah selesai menumpangkan mereka dengan motor orang yang mereka kenali. Sebelum bergerak balik:
Nenek: Terima kasih yea. Kirim salam kat mak. Baguslah anak dia.
Ana: InsyaAllah.
Dalam hati ana, cukuplah nenek hadiahkan al-fatihah buat mak saya. Bukan saya yang bagus tapi arwah mak saya yang bagus. Sepanjang perjalanan, ana mengharapkan ana dapat berbakti pada arwah mak ana. Kasihan nenek itu. Walau macamana pun didikan dia pada anak-anaknya, nenek itu tetap mak. Ana tahu jauh di sudut hati nenek itu, ada naluri rindukan anak-anaknya. Biarpun senyuman yang dilemparkan tapi betapa tergurisnya hati dia hanya Allah yang tahu. Ketahuilah, redha Allah sentiasa bersama redha mak dan ayah. Sama-sama kita muhasabah diri.
iman's note: bukan nak ceritakan aib, keburukan atau kebaikan yang dilakukan tapi nak berkongsi agar kita saling mengingatkan. Seorang peguam tak dapat membela walaupun berjaya menjadi pembela paling terkenal. Seorang jururawat takkan dapat merawat walaupun merawat 1000 orang pesakit di hospital. Seorang jaga sekolah takkan dapat jadi jaga yang bertanggungjawab walaupun sekolahnya terjaga siang dan malam. Seorang juru ukur takkan pandai mengukur walaupun naik pangkat tiap tahun dan seorang isteri takkan dapat jadi isteri solehah walaupun membahagiakan suami. Andai tak dapat nak bela emak yang seorang, andai tak dapat nak merawat mak yang menjaga siang & malam, andai tak dapat nak jaga mama yang menyusukan, andai tak dapat nak mengukur umur ummi yang mengandungkan dan andai tak dapat nak mendoakan ibu yang melahirkan. Walau apa jua pangkat, pekerjaan, kedudukan kita yang berbakti pada bangsa, negara takkan menjanjikan bakti kita pada seorang ibu dan agama.(T_T)
**imannurbalqis**
...cerita 4 bulan...
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Segala puji bagi ALlah s.w.t yang menampakkan nilai-nilai keagungan-Nya kepada para kekasih-NYa, menyinari hati mereka dan memperkenalkan mereka dengan nikmat dan kurnia-NYa sehingga mereka mengetahui bahawa Dia yang Maha Esa. Sehingga kita merasainya saat ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul. Alhamdulillah, hari ini dapat jua meninggalkan jejak di laman yang semakin bertambah sawangnya ini. Hujung minggu yang agak 'penat' dengan urusan kerjaya dan pengurusan diri. Walau apa pun jua alasannya, seharusnya ana perlu meningkatkan cara pengurusan masa agar lebih teratur dan kerja yang disenaraikan siap seperti yang dijadualkan. Rutin hujung masih sama macam orang lain. Cumanya hujung minggu baru nak merasa rumah yang dimop lantainya, cermin tinggap yang dilap dan juga halaman rumah yang bersapu. Bukan nak kata hari-hari lain tak buat tapi ada 'sedikit' kekangan di situ. (^_^)
Alhamdulillah, ana bersyukur sangat masuk bulan ini dah tiga bulan ana bergelar Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah a.k.a guru. Waktu bulan pertama ana di pra sekolah, anak-anak kecil itu panggil ana 'cikgu', masuk bulan kedua ana dah mengajar aliran perdana tahap satu. Sampai sekarang murid-murid tahap 1 panggil ana 'teacher'. Tapi, bila ana mengantikan seorang ustazah untuk kem bestari solat, habis semua murid tahap dua panggil ana 'ustazah' sampailah sekarang. Paling ana tak boleh lupa, ana ditemu bual sendiri oleh mak kepada seorang murid yang confius pada status gelaran ana di sekolah. Oleh kerana, pelajar tahap 2 itu segan mak dia pula yang disuruhnya bertanya. Macam nak merisik pula rasanya. Kelakar. Aish, macam-macam hal. Tinggal tak ada orang nak panggil ana 'lousher' jea. He3 Walau apa pun juga panggil, tugasnya tetap tak berubah. Harus diselesaikan dengan sebaiknya. Iyealah, membina INSAN. Bukan nak kata tapi nak tulis, budak zaman sekarang lain dengan zaman dulu. Jadi, seharusnya ana mengkaji murid-murid ana. Iyealah, mana nak sama macam ana dulu. Kalau dulu nampak cikgu tunduk jea tapi sekarang langgar cikgu tak pandang pun. Cakap 'sorry' lagi. Bukan tak boleh tapi bagi ana kurang manis dengan perkataan 'sorry'. Sorry, sorry naik lori lah. He3 Cuba kata, maaf cikgu. Kan sedap bunyinya. Adab perlu dididik dari kecil. Bahkan hal ini telah diingatkan oleh Saidina Ali; “Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka dan bukan zaman kamu dilahirkan”.
Dalam masa sudah menjengah 4 bulan dalam tahun ini, macam-macam perkara yang berlaku.
Alhamdulillah, Allah s.w.t sentiasa beri peluang pada ana untuk terus perbaiki diri dari hari ke hari. Ana sedar atas kekurangan yang dimiliki. Dalam masa ana difahami, ana juga perlu belajar untuk memahami. Seharusnya kita perlu berada lebih baik dari semalam sekiranya ingin menjadi orang beruntung kan. Kalau dulu berada di suasana yang boleh dikatan zon selamat tapi kita berada di medan realitinya. Allahu Akbar, suasananya tak sama. Orang di sekeling tak sama. Matlamat mereka tak sama. Arah mereka jua tak sama. Sangat perlu untuk ana mencipta suasananya agar ana tidak ketinggalan dari orang lain yang sama-sama dulu bersama ana. Adakah kita yang mencipta suasana atau suasana yang mempengaruhi kita? Sebagai seorang mukmin seharusnya kita yang mencipta suasana, mencoraknya dengan meletakkan setiap pandangan Allah adalah pandangan utama. Sebaliknya jangan sekali-kali kita terpengaruh dengan suasana yang meletakkan nafsu di hadapan setiap pertimbangan kita. Sememangnya sukar untuk mencipta suasana tetapi penting untuk menciptanya. Ciptalah suasana untuk Islam itu sentiasa dalam hati, pertuturan dan tindak tanduk kita. Kita juga perlu dan mesti peka juga dengan suasana yang dicipta oleh musuh kita. Dalam hari-hari ana lalui, ada satu perkara yang ana sentiasa ingatkan pada diri. Ana adalah duta pada Islam yang Allah s.w.t akan nilai adakah syurga atau neraka yang ana dapat. Nauzubillahiminzalik, tidak mahu hamba ini tidak sanggup berada di neraka-Mu. Sesungguhnya, hamba-Mu ini mendambakan dan mengharapkan syurga-Mu. Tempatkanlah hamba-Mu ini di sana, ya Allah.
Alhamdulillah, Allah s.w.t sentiasa beri peluang pada ana untuk terus perbaiki diri dari hari ke hari. Ana sedar atas kekurangan yang dimiliki. Dalam masa ana difahami, ana juga perlu belajar untuk memahami. Seharusnya kita perlu berada lebih baik dari semalam sekiranya ingin menjadi orang beruntung kan. Kalau dulu berada di suasana yang boleh dikatan zon selamat tapi kita berada di medan realitinya. Allahu Akbar, suasananya tak sama. Orang di sekeling tak sama. Matlamat mereka tak sama. Arah mereka jua tak sama. Sangat perlu untuk ana mencipta suasananya agar ana tidak ketinggalan dari orang lain yang sama-sama dulu bersama ana. Adakah kita yang mencipta suasana atau suasana yang mempengaruhi kita? Sebagai seorang mukmin seharusnya kita yang mencipta suasana, mencoraknya dengan meletakkan setiap pandangan Allah adalah pandangan utama. Sebaliknya jangan sekali-kali kita terpengaruh dengan suasana yang meletakkan nafsu di hadapan setiap pertimbangan kita. Sememangnya sukar untuk mencipta suasana tetapi penting untuk menciptanya. Ciptalah suasana untuk Islam itu sentiasa dalam hati, pertuturan dan tindak tanduk kita. Kita juga perlu dan mesti peka juga dengan suasana yang dicipta oleh musuh kita. Dalam hari-hari ana lalui, ada satu perkara yang ana sentiasa ingatkan pada diri. Ana adalah duta pada Islam yang Allah s.w.t akan nilai adakah syurga atau neraka yang ana dapat. Nauzubillahiminzalik, tidak mahu hamba ini tidak sanggup berada di neraka-Mu. Sesungguhnya, hamba-Mu ini mendambakan dan mengharapkan syurga-Mu. Tempatkanlah hamba-Mu ini di sana, ya Allah.
Baru-baru ini ana berkesempatan untuk mendengar luahan seorang yang telah kehilangan insan yang disayanginya. Kisahnya benar-benar buat ana rasa terpempam. Walaupun, ana yang pernah mengalaminya kejadiaan 'kehilangan' insan yang tersayang ini tapi kisah beliau benar-benar buat ana rasa yang betapa kerdilnya diri ini. Masa kita atau orang lain tamat di dunia tidak akan diketahui hatta sesaat pun sebelum dipanggil oleh Illahi. Bayangkan apabila seorang isteri memandang suaminya yang sedang tidur di sebelahnya, tiba-tiba tidak sebarang reaksi dari suaminya. Tiada lagi gerak dada, tiada lagi nafas yang berbunyi. Allahu rabbi, bukan ana yang selayaknya menhadapi ujian segetir itu. Hatta kita di berada dan menjaganya sepanjang masa belum tentu dapat mengetahui masanya dipanggil Illahi. Betapa Allah itu Maha Kuasa lagi Maha Agung, segala yang ada di alam ini penuh dengan rahsiaNya. Hanya orang yang sedar akan rahsianya sahaja akan sentiasa mendekati Allah s.w.t. Di hatinya penuh rasa tawadduk, bibirnya sentiasa melafaz zikir. Sangat perlu dalam setiap saat kita sentiasa bertaubat atas kesilapan yang telah dilakukan dan tidak mengulanginya. Allah s.w.t sentiasa membuka pintu taubat untuk hamba-hamba-Nya. Ana ada terbaca, ada yang kata “Jangan terpedaya dengan dunia, dunia dah tua, orang tua biasa nyanyuk, orang nyanyuk tak payah layan sangat..banyak bohong ja tu”. Betul, memang dunia telah tua tetapi kenapa kita selalu melayan kerenahnya? Mungkin kerana nafsu kita berjaya mencorak dunia. Nafsu..oh nafsu. Islam telah menetapkan gaya hidup kita. Gaya hidup yang mudah tetapi signifikan. Pilihan ada di tangan kita sendiri kan?
Kehidupan ini indah. Rencahnya buat rasanya makin enak. Ana doakan agar kita semua sentiasa berada dalam pandangan Allah s.w.t. Jangan biarkan sesaat pun kita hidup dengan pilihan kita tanpa berlandaskan Islam. Sesaat itu mampu memberi impak untuk berjuta tahun di akhirat kelak. Kehidupan adalah ujian amal. "Tidaklah sama orang-orang beriman yang duduk (tidak pergi jihad) tanpa memiliki uzur (alasan yang benar), dibanding dengan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya. Allah mengutamakan satu darjat bagi orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya di atas orang-orang yang duduk sahaja. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang besar." (Surah An Nisaa' : 95)
iman's note: Garapan rasa setelah 4 bulan di tahun 2012. Alhamdulillah.
**imannurbalqis**
...SPONTANEOUS saturday # 1...
Kita selalu mahukan yang terbaik. Mahu terbang tinggi. Biar bisa menggapai bintang di dada langit. Mahu pantas berlari. Biar sampai bisa menyaingi yang lain. Namun hakikatnya, terkadang kita tidak bergerak ke arah itu. Bahkan, duduk membisu merenung langit. Apa yang difikir, hidayah itu akan datang tanpa kita berusaha? Kalau hanya duduk berteleku, sampai bila pun hati tetap akan beku. Langsung, hanya duduk di sudut memerhatikan mereka yang terus terbang tinggi. Terus jauh berlari meninggalkan yang masih tercegat berdiri.
Allahu Rabbi, ajarkan aku untuk terbang tinggi. Pimpinlah aku untuk gerak berlari. Mahu setanding mereka dijalan ini. Bukan mengharapkan agar mereka memandang tetapi ingin berada dalam pandangan-Mu. Penciptaku yang Maha Esa. Sesungguhnya, aku mahu itu. Sungguh! Apabila bertemu jiwa-jiwa hebat, aku jadi malu sendiri. Layakkah aku ini? Bertanya diri. Sepi.

Mendongak ke langit.
Bulan tidak ditemani bintang.
Langit tidak ditemani awan.
Cerah cahaya bagi yang sedar.
**imannurbalqis**
...14 Mac 2012: termetrai sudah...
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi dan langit. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul. Alhamdulilah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usiaku, dan mengizinkanku merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah. Jika dilihat pada analisa 'update' laman sesawang ini makin lama makin merosot nampaknya. Allahu rabbi. Hati ini meronta-ronta nak mengimarahkan laman ini namun apakan daya ada perkara yang lebih penting perlu diutamakan. Setelah dua bulan bergelar "teacher" banyak perkara yang perlu dimuhasabah semula. InsyaAllah, surah Al-Hadid ayat 4 menjadi pegangan.

~cover holder yang cantik~
Alhamdulillah, dua minggu lalu sudah dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian Sains Pendidikan Rendah kelas dua bahagian atas. Asasnya, pesta konvokesyen yang diadakan bertujuan untuk meraikan graduan-graduan yang berjaya mendapatkan ijazah hasil kerja keras sepanjang proses pengajian dan pengalaman pencerahan ilmu di medan latihan ini. Seharusnya, untuk setiap kejayaan itu, perlu ada keraian sebagai perangsang untuk terus maju pada masa hadapan serta merintis jalan untuk melebarluaskan jalur intelek dan etika dalam masyarakat secara amnya. Namun, makna konvokesyen itu berbeza bagi setiap orang yang merasainya. InsyaAllah, ini Ijazah pertama dan pemula yang diterima. Biiznillah, ana akan teruskan lagi untuk ke tangga yang seterusnya. Bukan sekadar menempah giliran untuk berada di pentas sarjana dan Doktor falsafah menjadi tujuan utama tetapi nilaian ilmu yang dituntut menjadi hasrat di hati agar dapat disebarkan luaskan lagi untuk dimanfaatkan. InsyaAllah.

~Timbalan Menteri Pelajaran II yang menyampaikan~
Perjalanan 5 tahun setengah punya banyak cerita dan kenangannya. Benarlah kata-kata hikmah yang mana guru adalah pengalaman yang terbaik. Kita perlu belajar dari pengalaman yang ada. Sekiranya dulu selepas UPSR, ingin merasai lagi saat-saat kanak-kanak. Kemudian setelah SPM, merindui saat bergelar sebagai pelajar sekolah. Dan kini, merindui alam kampus yang menjadi gelanggang latihan yang membentuk jiwa ini. Allahu rabbi, manisnya rasa walaupun ada macam-macam cabaran yang dihadapi. Banyak hikmah yang Allah s.w.t aturkan untuk ana apabila dimuhasabah semula. Terlalu banyak. Sejauh mana kebergantungan ana kepada Allah? Di manakah tahap kebergantungan ana kepada Allah? Hanya diri sendiri yang mampu menjawabnya. Didikan yang cukup-cukup bermakna. Sewaktu dalam perjalanan ke PICC, Putrajaya 14hb Mac yang lalu, ayah ada menyatakan syukurnya yang membuatkan ana benar-benar terusik "Alhamdulillah, kak. Allah dah tentukan tempat terbaik untuk akak. Walaupun dulu sampai merajuk-merajuk tak nak keluar dari IIUM." Ana hanya mampu lemparkan senyuman dan katakan "Alhamdulillah, tempat terbaik Allah bagi ayah. Terima kasih ayah, sanggup layan rajuk akak. Minta maaf kalau ada salah-silap." (^_^) Kejayaan tidak akan dirasai oleh kita sahaja bahkan orang disekeliling kita turut sama-sama meraikannya. Alhamdulillah, ayah tersenyum lebar ketika di PICC. Mungkin kegembiraannya tidak dapat digambar.

~Ayah cukup adil dengan anak-anaknya.
Saat Usop menjadi graduan, tiada bunga yang dibeli.
Sama juga di PICC, tiada bunga yang dibeli.
Ayah kata selagi bernyawa, doa ayah takkan layu untuk anak-anaknya.~
Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: ”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.” Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah s.a.w berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah s.w.t. Hakikatnya, kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah s.w.t, dan Allah s.w.t menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya. Bersangka baik dengan Allah s.w.t, takkan rugi sebab siapa kita nak bersangka buruk dengan Pencipta kita sendiri Yang Maha Agung.
Saat pulang dari PICC, ana belek beberapa kali Ijazah yang diterima sepanjang perjalanan. Hanya sehelai kertas, namun menjadi ukuran di mata manusia. Di mata Maha Pencipta pula adalah proses keberhasilan dan kejayaan dicipta menjadi aspek penilaiannya. Mudah-mudahan Allah s.w.t berkati segala usaha sebelum ini untuk memudahkan lagi perjalanan seterusnya. Belajar takkan pernah tamat dan tidak mengenal siapa gurunya. Hatta sampai mati pun, ilmu takkan pernah habis dicari. Itulah yang dapat ana simpulkan selama 23 tahun hidup ini. Dalam mendapatkan ilmu, sumbernya perlu sahih dan bertepatan dengan apa yang telah digariskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kesungguhan mendapatkan ilmu takkan pernah rugi, namun niat di hati perlulah suci. Sebar luaskan ilmu yang diperolehi agar usahanya terus diberkati Illahi. Wallahualam~
iman's note: Ada dah yang mempelawa untuk bersama-sama ke peringkat Sarjana hujung tahun ini. Namun, diri ini punya matlamat tersendiri. Biiznillah, bila tiba masanya akan bergelar "mahasiswa" semula.
**imannurbalqis**
...warkah buat PUTERIKU...
Puteriku,
Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang isteri dan seterusnya bergelar seorang ibu. Usahlah engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu adalah untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau mengidamkan bakal suamimu sehebat Sayidina Ali r.a., jadilah dirimu semulia Fatimah al-Zahra'. Aku nukilkan kata-kata Asma' binti Kharizah r.ha. diriyawatkan bahawa dia telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya:
"Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suamimu. Jadilah engkau tanah bagi suamimu (dengan mentaati perintahnya)dan ia akan menjadi langit bagimu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebaninya dengan pelbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan dia meninggalkanmu. Kalau dia mendekatimu, dekatilah dia dan jika dia menjauhimu maka mauhilah dia dengan baik. Peliharalah bebar-benar suamimu itu akan hidungnya, telinganya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula dia mendengar melainkan yang enak dan janganlah dia melihat melainkan yang indah sahaja daripada dirimu."
Kehidupan berumah tangga adalah amanah sebenarnya. Bukan sekadar perkongsian kebahagian semata-mata, malah berkongsi segala-galanya sehinggalah manusia menyedari tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri. Taatilah suamimu dalam takwamu terhadap Allah. Janganlah sesekali engkau menderhakai suamimu.
Ingatlah wahai puteriku,
Sesungguhnya Baginda Rasullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita."
Rasullah s.a.w ditanya, "Mengapa demikian wahai Rasullah?" Jawab Baginda s.a.w, "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."
Usahlah engkau berasa pilu dengan pengkhabaran-pengkhabaran tadi. Persiapkanlah dirimu kerana walaupun kebanyakan penghuni neraka adalah dalam kalangan wanita lantaran mereka daripada golongan wanita-wanita yang jahat. Namun masih ada ruang untuk wanita mendapat syurga. Jadilah wanita yang baik. Jadilah wanita yang mentaati perintah Allah dan suaminya. Jadilah wanita yang menjadi ibu yang baik.
(petikan cerpen Warkah Buat Puteriku, penulis: Ustaz Ahmad Tarmizi Ismail. Sumber: Majalah Fardhu Ain, Edisi 9)

iman's note: Dengan izin-Mu, Ya Allah, bimbinglah daku menuju ke syurga-Mu. 8 sudah~
**imannurbalqis**
...esok yang INDAH...



iman's note: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”
**imannurbalqis**
...wordless wednesday # 5...

iman's note: Rabu sudah. Menanti Isnin di SK Puteri, Seremban untuk penyerahan surat penempatan sekolah. Berdebar.
**imannurbalqis**
...SAYA yang menurut perintah...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera pada semua pembaca. Segala puji dan puja hanya bagi Allah s.w.t yang memberikan kita pelbagai nikmat dan anugerah kurniaan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, Junjungan Mulia yang telah menggerakkan suatu perubahan yang besar dalam sejarah peradaban manusia dengan risalah agung daripada Ilahi. Dengan demikian, kita haruslah berterima kasih kepada Rasullah s.a.w, kerana jasa bagindalah, maka kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira. Dalam masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memasukkan ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru. Ayat 3 hingga 5 surah al-`Alaq sudah cukup terang dan jelas mengenai perkara ini.

Nabi dan rasul diutuskan oleh Allah s.w.t sebagai guru untuk mengajar manusia dengan ilmu yang benar, iaitu ilmu yang Allah wahyukan kepada mereka. Mereka mengajar ilmu tentang ketuhanan, tentang perkara yang baik dan buruk, mereka mengajak manusia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk. Mereka mengajar manusia supaya ingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja. Semua akan mati dan kemudian akan dihidupkan semula untuk diberi balasan terhadap perbuatan mereka semasa hidup di dunia. Guru-guru pun demikian juga. Mereka mengajar manusia supaya pandai membaca dan menulis. Mengenal Tuhan, faham maksud adanya semua benda yang dapat dilihat, faham tingkah laku yang baik dan yang buruk. Mengajar manusia supaya mereka dapat menjalani hidup dengan kerjaya masing-masing dan mendapat keredaan Allah s.w.t. Mengajar manusia supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Melihat kepada aspek-aspek inilah dikatakan guru mewarisi tugas para nabi.
Alhamdulillah, debaran menunggu kini sudah dapat jawapannya. NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS. Negeri pertama yang akan ana curahkan khidmat sebagai seorang pendidik. Bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat di tanah tumpah darah ana sendiri. Walaupun tidak mendapat peluang untuk merantau dan merasai suasana baru seperti rakan-rakan yang lain, ana anggap ini adalah pemberian yang terbaik daripada kabel ana, Allah s.w.t. Sememangnya ayah mengharapkan ana berada di Negeri Sembilan agar ana dapat membantu uruskan adik-adik ana. Tak pe, ayah. InsyaAllah, selagi termampu akak akan cuba bagi yang terbaik.
Tahniah buat rakan-rakan PISMP Sains ambilan Januari 2008, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. InsyaAllah, tempat yang kita dapat adalah tempat yang terbaik untuk kita. E akan berada di Pahang. Amie, Naem, Haizah, Shida, Ika dan my x-roomate, anis akan berkhidmat di Selangor. Ejad, Sue, Dilla dan Warid akan mengajar di Johor. Tak lupa juga, Ti di Terengganu, Kak Wa di Johor dan Fifi di Selangor. Tahniah, kalian dapat senegeri dengan suami. Rahmah dan Sarah pula akan berbakti di negeri sendiri, Perak manakala Asmeda akan terus berada di Johor. Kak syafa pula akan akan terus berada di Melaka. Sementelahan, Farina akan menemani ibunya di Pulau Pinang. Buat Eni, Azi, Teha, Zatul dan Syera yang akan terbang ke Sarawak, kalian adalah insan terpilih untuk berkhidmat di sana. Buat semua guru-guru keluaran IPG KPM, kita perlu sedia walau di mana kita berada. Buat semua produk-produk guru IPGM ambilan Januari 2008, kita adalah duta IPGM setelah 5 tahun setengah berada di sana. Walau di mana jua kita ditempatkan, redha dan terimalah kerana itu yang sebaiknya.
Masihkah kalian ingat kata-kata ini, "Saya sedia berkhidmat di mana sahaja saya ditempatkan." Kalau kat letter head IPG dulu, mesti ada kalimah ini, "SAYA YANG MENURUT PERINTAH." Walaupun tak nak ikut perintah pentadbiran pun, ikutlah perintah Allah s.w.t yang menyuruh kita agar memanfaatkan diri kita pada orang di sekeliling kita. Bersyukurlah kita kerana kita menyambung tugas para nabi, para rasul dan alim ulama' iaitu TABLIGH - menyampaikan. Allahuakbar, tugas besar sangat rakan-rakan. Pembangunan modal insan seharusnya bermula daripada peringkat akar umbi lagi. Justeru, dalam usaha ‘melentur buluh dari rebungnya’, tidak dapat dinafikan bahawa profesion kita memainkan peranan yang amat penting. Mengajar kanak-kanak yang tidak berdosa daripada tak tahu kepada tahu. Yang dah tahu menambah lagi untuk mengambil tahu. MasyaAllah. Sekiranya kita betul-betul tanamkan niat untuk mendidik generasi pewaris negara ini sebaik-baiknya natijahnya nanti bawa hingga kita ke alam kubur esok. Allahuakbar. Ketahuilah, karisma seorang guru sememangnya mampu memberikan impak yang besar kepada pembangunan integriti anak didiknya.

Guru-guru sekalian, kanak-kanak kecil itu sedang menanti kita. Pandangannya penuh rasa dahagakan ilmu. Warga sekolah sangat-sangat meraikan kehadiran kita. Senyumannya penuh kemesraan berpasukan. Masyarakat sedang menghulurkan tangan untuk kita sambut. Huluran mereka penuh pengharapan bantuan kita. Pandanglah pada mereka, senyumlah pada mereka dan sambutlah huluran mereka. Sedialah untuk memberi. Mereka perlukan ana. Mereka perlukan kalian. Pasti. Mereka semua perlukan kita. Sebaiknya kita manfaatkan sisa masa yang kita ada untuk tanam pahala akhirat. InsyaAllah, Allah s.w.t akan permudahkan urusan kita. Jangan pernah putus untuk berdoa.(^_^)
Yang Menurut Perintah,
~SAYA~
iman's note: Negeri Sembilan ada 7 daerah, manakah daerah yang sudi menerima kehadiran diri ini?
**imannurbalqis**
...2011: the END...
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Segala puji-pujian diberikan kepada Allah SWT yang masih lagi meletakkan nikmat Islam dan Iman kepada kita. Sekarang, terpulang bagaimana kita memanfaatkan nikmat tersebut. Dan juga diutuskan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang selalu menekankan bahawa, nikmat Islam dan Iman merupakan nikmat yang paling besar kita perolehi dan perlu dihargai sebaiknya.
Alhamdulillah, tahun baharu masihi bakal menjelma. Pelbagai iklan tawaran untuk tahun baharu dipersembahkan. Tidak terkira juga pelbagai santapan tahunbaharu yang akan diadakan pada malam tahun baru. Ramai yang bertanyakan apa azam tahun baru ana. Ana dah sambut tahun baru awal lagi dah. Dah masuk bulan safar dah sekarang nie kalau ikut tahun Hijriyah tapi kalau Masihi esok baru masuk 2012. Jadi, biarlah ana dan Allah saja yang tahu apa pembaharuan yang ingin dilakukan. Oleh kerana lambat sangat tanya, tak dapatlah ana nak kongsikan bersama. (^_^) Baiklah, kebiasaannya bila masuk tahun baru semua orang berkata nak buat azam baru. Tidak ketinggalan juga dengan merasakan ingin memiliki sesuatu yang baharu.
Kereta baharu.

Rumah baharu.

Gadget baharu.

Kerjaya baharu.

Status baru.

Semualah nak baru. Sampai tak terlist dalam senarai. Akhirnya yang baharu hanya harinya sahaja. Hari-hari baru hanya dilalui tanpa ada perubahan. Nekad dan azam hanya disemat di dalam hati dan di lembaran diari semata. Hanya terus diperbaharui saban tahun tanpa menunaikannya. Maka, jadilah kita orang lama yang berkata-kata perkataan baharu. Alangkah ruginya. Perhatikan pesanan Saidina Ali KWJ yang bermaksud: 'Apa yang paling aku bimbangi terhadap kamu adalah mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan, kerana mengikut hawa nafsu itu ditolak oleh kebenaran dan panjang angan-angan itu akan melupakan kamu kepada akhirat'.
Dalam koreksi diri, suka ana mengingatkan diri ana untuk jadi orang baru setiap hari. Walau tak mampu untuk bersedekah harta benda, sedekahlah al-fatihah ketika melalui di perkuburan. Sekiranya tidak mampu untuk menyampaikan sesuatu perkara secara bersemuka, sampaikanlah dengan bait-bait kata yang boleh orang baca. Jika tahu diri tidak semaksum junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, lakukanlah perubahan diri untuk ke arahnya. Dalam kehidupan di dunia, tiada yang dimahukan melainkan keberkatan dan keredhaan Allah dalam menghadapi ujian dan tarbiyah baharu di hari-hari yang dijalani. Kita tiada kuasa untuk kembali ke masa lampau memperbaiki kesalahan yang lalu. Namun, kita masih diberi peluang untuk menentukan masa hadapan yang lebih baik dari dulu. Hari-hari yang baru adalah peluang untuk menjadi orang yang baru. Moga kita jadi orang yang lebih celik Islam.
iman's note: Muhasabah bukan hanya di akhir tahun atau di awal tahun tetapi harus dilakukan setiap masa.
**imannurbalqis**
...SUNDAY words...
Ku lihat tiada kekuatan yang lebih besar melebihi semangat juang,
Tidak ada dasar semangat yang lebih teguh melebihi keyakinan
kepada Allah,
Tidak ada pelindung kepada keyakinan yang lebih baik melainkan niat yang tulus dan suci kepada-Nya.
~pengemis cinta Illahi~



iman's note: Disember meniti fasa penghujungnya. Moga ada rahmat di setiap hari-harinya. Permudahkanlah ya Allah urusan seterusnya.
**imannurbalqis**
...mutiara 1433H...

1433 Hijrah
Mulakan dengan Bismillah
Teguhkan dengan Laa ila haillallah
Jalinkan dengan Muhammadar Rasulullah
Rasai dengan Subhanallah
Akuinya dengan Allahuakbar
Syukuri dengan Alhamdulillah
Temaninya dengan Astaghfirullah
Moga perjalanannya dengan Barakatillah
iman's note: 1433H, moga cahayanya lebih indah.
**imannurbalqis**
...nota si penulis AR : 19.0...
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera buat semua sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Segala pujian bagi ALLAH s.w.t, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarganya, para sahabat serta tabiin sekalian. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk terus mengetik aksara-aksara dalam meninggalkan sedikit perkongsian di laman ini. Ana akui sememangnya ilham yang ada dalam melakar bait-bait indah ini adalah dengan izin ALLAH jua hendakNya.
Bersyukur ana ke atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kerana ana telah pun selesai menduduki peperiksaan semester akhir setelah lima tahun setengah mengembara ilmu di bumi IPG KPM ini. Mohon maaf kepada pembaca laman sesawang ini kerana ana tidak mampu untuk mengemaskini laman ini dengan entri-entri baharu dengan konsisten. Entah mengapa, minat menulis laman sesawang yang suam-suam kuku sejak akhir-akhir ini membuatkan ana untuk lebih banyak koreksi diri. Namun, ana juga ingin bersama-sama dengan kalian untuk berkongsi rasa dalam kehidupan kurniaan Allah s.w.t yang cukup besar anugerahnya ini.
Perjalanan sebagai seorang pelatih guru masih lagi diteruskan dengan menghitung hari dan melakar saat-saat manis di kampus sebelum menamatkannya. Menyelesaikan urusan-urusan yang masih berbaki kadang-kadang membuatkan diri ini lelah. Alhamdulillah, diberi peluang untuk bersama-sama dalam perkongsian maghrib isyak di Balai Islam Saidatina Aisyah (BISA) tadi. Berbekalkan bait-bait tulisan Dr. 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni, ada kalam yang dikongsi bersama. Moga ada manfaatnya buat yang mendengar dan yang menyampaikan. InsyaAllah. Telusurilah kebahagian dengan adanya kesedihan di sampingnya kerana di situ ada kenikmatan yang dicipta. Allahu Rabbi.
Sejak akhir-akhir ini hati begitu mudah terusik dengan senyum adik-adik junior, teguran khabar sahabat-sahabat dan sikap rakan-rakan. Mungkin di sini segalanya bermula membuatkan ana rasa sayu dengan suasananya. Namun, mana mungkin ana harus terus berada di sini selamanya. Langkah perlu diteruskan. Semalam adalah kenangan yang tidak dapat dijual beli. Biar manis, pahit, kelat, masam dan masin perisanya kerana ia perencah pada keenakkan rasanya. Malam ini membuatkan ana terfikir, segala yang telah berlaku adalah yang terbaik Allah hadirkan untuk ana. Alhamdulillah. Biar bagaimana pun permulaannya namun ciptalah pengakhiran yang tidak sia-sia. Seharusnya kita berusaha untuk mendapatkannya.
Sesungguhnya kini, masa untuk bermimpi sudah tamat. Saat ini, masa untuk bertindak. Detik ini, masa untuk melakukan. Minit ini, masa untuk merealisasikan impian. Kini masa untuk mengecapi apa yang dimahukan. Masa untuk ke hadapan. Masa untuk berdiri dalam dunia realiti. Masa untuk memimpin perubahan. Masa untuk menyampaikan mesej pencerahan. Masanya telah tiba untuk membuat anjakan paradigma. Perubahan yang lebih baik yang mana bermula dari diri sendiri. Seharusnya ana perlu keluar dari zon selesa itu dan menyukai apa yang telah ditaklifkan kepada ana sebagai khalifah Allah. Perjalannya masih panjang. Dakwat hitamnya belum kering, penanya masih tajam, lembaran kertasnya masih banyak yang kosong. Coretkan yang indah-indah.
Jangan dibiarkan hari-hari yang ada berlalu tanpa manfaat dan jangan tanamkan harta yang diperolehi pada sesuatu yang tidak berfaedah. Ketahuilah, usia itu terlalu singkat untuk disia-siakan dan harta itu terlalu sedikit untuk disimpan dalam hal-hal yang tidak berguna. Alangkah ruginya jika yang berakal menghabiskan waktunya dalam hal-hal yang tidak boleh diambil manfaat dan kebaikannya dan membelanjakan hartadalam hal-hal yang tidak menghasilkan pahala dan ganjaran.
Nabi Isa a.s pernah berkata: "Kebaikan itu ada tiga iaitu dalam Ucapan, Penglihatan dan Diam. Sesiapa yang ucapannya selain zikir maka dia sudah melakukan perkara yang sia-sia. Sesiapa yang pandangannya tidak untuk mengambil pengajaran pada perkara yang telah terjadi maka sesungguhnya dia sudah lupa. Sesiapa pula yang diamnya bukan untuk berfikir tentang kebenaran maka dia sudah tenggelam dalam kesia-siaan."
iman's note: Alhamdulillah. Moga urusan KISSM dan SPP dipermudahkan Allah. Ameen.
**imannurbalqis**
...nota si penulis AR : 13.0...
...Lindungi kesedihan dengan senyuman...
...Biarpun di hati mu penuh kedukaan...
...Kerana tabah menghadapi dugaan...
...Menunjukkan engkau mempunyai IMAN...

~La Tahzan, Innallah Ama'ana~
iman's note : Awal Kepahitan Pasti Adanya Kemanisan Di Penghujungnya. Itu pasti.
**imannurbalqis**
...nota si penulis AR : 9.0...
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi dan langit. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul. Bersyukur juga ke hadrat ILLAHI kerana diberi ruang dan kekuatan untuk mencoret sesuatu di laman ini sebgaai permulaan untuk bulan September ini. Moga ada perkara yang boleh dikongsi bersama dan ini akan menjadi antara sumber untuk menambah timbangan pahala di akhirat kelak. InsyaALLAH. Alhamdulillah hari ini sudah 11 Syawal. Tahniah kepada sahabat-sahabat yang sudah menghabiskan puasa 6 yang disunatkan selepas Aidilfitri dan yang baharu untuk memulakan ibadah sunat ini didoakan kalian diberi kekuatan untuk meneruskannya.

Namun begitu, ana masih lagi tidak dapat menjalankan misi Syawal yang memang ingin ditunaikan ini. Setelah pulang ke kampus, terus diberikan nikmat sakit sehingga hari ini. Minggu ini merupakan minggu kuiz untuk subjek EDU 3108 & EDU 3109. Di samping itu, tugasan kerja kursus pendek yang perlu diselesaikan dengan kadar yang segera membuatkan sistem biologi ana makin tidak teratur. Mana tidaknya sudah 5 hari demam + selsema + batuk + sakit tekak. Bermula dengan sakit-sakit badan dan demam sehingga tidak dapat tidur malam akibat panas dan kepala yang berdenyut-denyut, hari ketiga diuji dengan sakit tekak dan suara yang menyebabkan tidak selera untuk makan. Rasanya waktu itu mahu dikeluarkan anak tekak dan dibasuh dengan dettol, biar cepat sembuh. Hari keempat pula disusuli dengan batuk yang tidak henti-henti sehingga menyebabkan terasa sakit seluruh badan ketika batuk. Waktu itu, cara menyelesaikannya hanyalah minum ubat batuk dan tidur. Itu sahaja yang termampu. Ubat pula hanya akan dimakan selepas waktu kuliah kerana takut menganggu sesi P&P dan kuiz yang dijalankan. Siangnya hanya rehat dan malam pula mula menyelesaikan tugasan dan membuat ulangkaji hingga ke pagi bertemankan sweater, air panas dan sekotak tisu. Pergi ke klinik untuk rawatan, dapatkan ubat lain di farmasi (first time makan ubat batuk perisa chocolate vanilla), mencuba petua ayah (makan buah laici untuk hilangkan sakit tekak & elokkan suara), sebelum tidur makan madu asli yang diberi oleh ustazah dan kuarantin ais + makanan berminyak semuanya telah dilakukan demi dapatkan nikmat sihat.
5 hari yang cukup menguji kesabaran, kekuatan fizikal dan mental malah banyak memberi sentuhan pada hati untuk terus koreksi kelemahan diri ini sehingga menahan sakit dengan air mata. Walau bagaimanapun, tidak ALLAH jadikan sesuatu itu sia-sia. Rasulullah pun melarang untuk mencela penyakit. Ketika Ummu Saib sakit demam dan mencela penyakit yang menimpanya, Nabi bersabda. “Janganlah kamu mencela demam. Kerana sesungguhnya demam itu mengikis kesalahan anak cucu Adam sebagaimana bara api mengikis karatnya besi.” (HR. Muslim). Macam-macam perkara yang ana nilai dan cuba untuk mencari sesuatu yang dapat dipelajari dari nikmat sakit ini. Mana tidaknya waktu ini merupakan waktu genting tatkala kerja kian bertambah, deadline kian hampir, semuanya minta dihadap dan dipenuhi. Benarlah apa yang dikata oleh sahabat ana yang datang melawat ana di bilik, bila ALLAH menduga kita itu tandanya ALLAH sayang dan ingat pada kita. Alhamdulillah, terima kasih atas nikmat ini ya ALLAH kerana banyak ibrah yang didapati secara percuma.
Rasulullah pernah bersabda, “Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menjalankannya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula.” (HR Muslim)
Dalam hadith ini Rasulullah menjelaskan dua keadaan yang ada dalam diri manusia iaitu kesenangan dan kesedihan. Dua keadaan itu dapat membezakan mana yang termasuk orang mukmin dan orang yang tidak beriman . Mukmin selalu bersyukur ketika mendapatkan kesenangan dan selalu bersabar ketika mendapatkan musibah.
Dalam masa ana sakit dan dihimpit dengan kesibukkan yang bertimpa-timpa, banyak hikmah yang ana pelajari. Sakit yang dianugerahkan ini dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.
“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”
(HR. Bukhari-Muslim)
Sangat indah pengajaran yang ALLAH bagi, subhanallah. Dalam sebuah buku yang berjudul Yasalunaka fi al-Dinwa al-Hayat dan dikutip dalam Tabloid Syiar, Dr. Ahmad al-Syurbasi, beliau menulis lima hikmah sakit yang dialami manusia.

Pertama, sakit adalah ruang untuk manusia berehat. Ketika sakit, memang kita tidak dapat berbuat apa-apa. Terlantar sahaja. Namun hikmahnya, organ-organ yang membantu kita berkerja selama ini cuba untuk mendapatkan rehat yang cukup. Umpama enjin yang terlalu lama hidup akan jadi panas. Ia perlu diberhentikan sekejap untuk sejuk dan kemudian dihidupkan kembali. Biarkan badan dan emosi kita haknya, iaitu rehat yang cukup.
Kedua, sakit merupakan pendidikan. Ketika seseorang mengalami sakit parah, dia akan menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan. Biar apapun, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia bisa kembali pulih seperti biasa, menjalani kehidupan normalnya.
Ketiga, sakit merupakan teguran dari Allah s.w.t. Barangkali kita alpa dengan sesuatu dan asyik dengan sesuatu sehinggakan terabai dalam menjaga hubungan kita dengan Dia. Ketika sihat, seolah-olah tidak beringat dengan kesakitan. Ketika kaya, seolah-olah lupa pada yang kurang upaya. Ketika terlalu seronok, tidak endah pada kesengsaraan orang lain. Ketika berkuasa, seolah-olah dialah yang paling gagah perkasa. Manusia mudah lupa! Saat ini kita merasai apa yang mereka rasa. Ingatlah lima perkara sebelum lima perkara. Kita diuji dengan apa yang kita cakapkan dan kita diuji dengan apa yang kita lakukan.
Keempat, sakit memberikan kesempatan untuk bertaubat dan menghapus dosa. Ruang ini selalu menjadikan manusia berfikir kembali dan bermuhasabah dengan tindak-tanduknya sendiri. Jarang sekali kita dapat bermuhasabah tatkala hati dilonjak gembira. Jadi, inilah masa yang ideal agar dapat kita toleh kembali kesilapan dan seterusnya bertaubatlah pada yang Khaliq. Mohonlah sesungguhnya agar segala dosa kita diampun Tuhan. Dan merayulah pada-Nya agar kita dimudahkan segala urusan yang membelitkan, diberi kesenangan dan kesihatan tubuh badan. Dalam hadis ada diterangkan,
“Tidaklah seorang muslim tertimpa keletihan, sakit, kebingungan, kesedihan dan kekusutan hidup, atau bahkan tertusuk duri, kecuali Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Muttafaq Alaih).
Kelima, sakit juga memberikan kesempatan untuk memperbaiki hubungan keluarga dan sosial. Ketika seseorang itu sakit, maka akan ada kerabat dekat akan semakin dekat, kerabat jauh akan menjadi dekat dan yang kenal akan semakin akrab. Ketika si anak kurang sihat, ibu dan ayahnya yang menjaga dan memelihara kesihatan anaknya. Pun begitu, sekiranya ayah atau ibu kurang sihat, si anak akan kembali kepada orang tuanya dan memberikan keprihatinan yang optimum untuk membalas kembali jasa mereka. Di samping itu, ana belajar erti kasih-sayang kerana ana cukup terjaga di waktu ini. Thanks to my dear Dad yang akan call ikut waktu makan ubat untuk pastikan ana makan ubat, my siblings (usop, acik & ikah) yang hari-hari call tanya perkembangan, my roommate (hanis) yang selalu ingatkan makan ubat, bacakan ayat suci al-quran, temankan pergi farmasi, my neighbbours (aminatul&ima) yang hari-hari datang urutkan kepala dan bagi ubat, my friends yang datang melawat dan bagi sokongan, my juniors yang send message ingatkan jaga kesihatan, ustazah yang berkongsi amalan makan madu. I love you all! Thanks for other’s support! (^_^)

Alangkah Besarnya dan Mulianya ALLAH S.W.T yang menjadikan begitu banyak hikmah sakit daripada hanya satu sakit. Akan tetapi jarang sekali kita fikir-fikir dan renungkan. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kita tidak tahu. Ketahuilah, ujian ALLAH datang dalam pelbagai bentuk. Sakit, kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang dan kegagalan dalam peperiksaan. Dahulu ana melihat orang lain sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Sebenarnya, itu tanda ALLAH sayang pada kita. ALLAH mahu menguji hambaNya supaya kita bersabar dan bertawakkal kepada Nya. Namun, kebanyakkan dari kita tidak mengenal ALLAH dan memahami hikmah di sebaliknya, meskipun demikian ALLAH tetap menyayangi kita tanpa mengurangkan hatta seinci pun nikmat harian yang biasa kita kecapi dalam kehidupan seharian kita. Allahuakbar. Malunya rasa. Moga ibrahnya kita ambil bersama.
iman's note : Takziah buat sahabat yang dikuarantinkan kerana demam denggi dan junior yang terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari program PDK. Moga kalian cepat sembuh.
**imannurbalqis**
...USRATI...
...MAN ANA...
...PETI SURAT...
...MASA...
...TAWARIKH...
...MUTIARA KATA...
...AHLAN WASAHLAN...
...INTERAKSI MAYA...
...INTELLECTUAL CALIPH...
...LAMAN INFORMASI...
...SMKA SHAMS,N9...
-
Student Mummy9 years ago
...INTRA IPGKPM...
-
`madam`11 years ago
...PRODUK IPGM...
-
Penyesalan8 years ago
-
assalamualaik zainal anbiya- lirik qasidah11 years ago
-
2014 : 22 days before ramadhan..12 years ago
-
Jiddiyah si Pemuda Rabbani12 years ago
-
Adakah Lagi Pengampunan12 years ago
-
-
mac 201313 years ago
-
Meting Sekolah 27-12-1213 years ago
-
Kembali Menemui Rab...13 years ago
-
Bahaya Khurafat sepanjang Euro 201214 years ago
-
Gerhana Bulan : Bukti Kebesaran Allah14 years ago
-
Kan ku Cuba...14 years ago
-
Dahsyatnya Tenaga DOA14 years ago
-
Aktivis Muslimah Harapan Rasulullah15 years ago
-
-
-
-
...BICARA MAYA...
Powered by Blogger.





















