.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers
Showing posts with label IPGM. Show all posts
Showing posts with label IPGM. Show all posts

...14 Mac 2012: termetrai sudah...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi dan langit. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul. Alhamdulilah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usiaku, dan mengizinkanku merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah. Jika dilihat pada analisa 'update' laman sesawang ini makin lama makin merosot nampaknya. Allahu rabbi. Hati ini meronta-ronta nak mengimarahkan laman ini namun apakan daya ada perkara yang lebih penting perlu diutamakan. Setelah dua bulan bergelar "teacher" banyak perkara yang perlu dimuhasabah semula. InsyaAllah, surah Al-Hadid ayat 4 menjadi pegangan.


~cover holder yang cantik~

Alhamdulillah, dua minggu lalu sudah dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian Sains Pendidikan Rendah kelas dua bahagian atas. Asasnya, pesta konvokesyen yang diadakan bertujuan untuk meraikan graduan-graduan yang berjaya mendapatkan ijazah hasil kerja keras sepanjang proses pengajian dan pengalaman pencerahan ilmu di medan latihan ini. Seharusnya, untuk setiap kejayaan itu, perlu ada keraian sebagai perangsang untuk terus maju pada masa hadapan serta merintis jalan untuk melebarluaskan jalur intelek dan etika dalam masyarakat secara amnya. Namun, makna konvokesyen itu berbeza bagi setiap orang yang merasainya. InsyaAllah, ini Ijazah pertama dan pemula yang diterima. Biiznillah, ana akan teruskan lagi untuk ke tangga yang seterusnya. Bukan sekadar menempah giliran untuk berada di pentas sarjana dan Doktor falsafah menjadi tujuan utama tetapi nilaian ilmu yang dituntut menjadi hasrat di hati agar dapat disebarkan luaskan lagi untuk dimanfaatkan. InsyaAllah.


~Timbalan Menteri Pelajaran II yang menyampaikan~

Perjalanan 5 tahun setengah punya banyak cerita dan kenangannya. Benarlah kata-kata hikmah yang mana guru adalah pengalaman yang terbaik. Kita perlu belajar dari pengalaman yang ada. Sekiranya dulu selepas UPSR, ingin merasai lagi saat-saat kanak-kanak. Kemudian setelah SPM, merindui saat bergelar sebagai pelajar sekolah. Dan kini, merindui alam kampus yang menjadi gelanggang latihan yang membentuk jiwa ini. Allahu rabbi, manisnya rasa walaupun ada macam-macam cabaran yang dihadapi. Banyak hikmah yang Allah s.w.t aturkan untuk ana apabila dimuhasabah semula. Terlalu banyak. Sejauh mana kebergantungan ana kepada Allah? Di manakah tahap kebergantungan ana kepada Allah? Hanya diri sendiri yang mampu menjawabnya. Didikan yang cukup-cukup bermakna. Sewaktu dalam perjalanan ke PICC, Putrajaya 14hb Mac yang lalu, ayah ada menyatakan syukurnya yang membuatkan ana benar-benar terusik "Alhamdulillah, kak. Allah dah tentukan tempat terbaik untuk akak. Walaupun dulu sampai merajuk-merajuk tak nak keluar dari IIUM." Ana hanya mampu lemparkan senyuman dan katakan "Alhamdulillah, tempat terbaik Allah bagi ayah. Terima kasih ayah, sanggup layan rajuk akak. Minta maaf kalau ada salah-silap." (^_^) Kejayaan tidak akan dirasai oleh kita sahaja bahkan orang disekeliling kita turut sama-sama meraikannya. Alhamdulillah, ayah tersenyum lebar ketika di PICC. Mungkin kegembiraannya tidak dapat digambar.


~Ayah cukup adil dengan anak-anaknya.
Saat Usop menjadi graduan, tiada bunga yang dibeli.
Sama juga di PICC, tiada bunga yang dibeli.
Ayah kata selagi bernyawa, doa ayah takkan layu untuk anak-anaknya.~

Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: ”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.” Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah s.a.w berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah s.w.t. Hakikatnya, kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah s.w.t, dan Allah s.w.t menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya. Bersangka baik dengan Allah s.w.t, takkan rugi sebab siapa kita nak bersangka buruk dengan Pencipta kita sendiri Yang Maha Agung.

Saat pulang dari PICC, ana belek beberapa kali Ijazah yang diterima sepanjang perjalanan. Hanya sehelai kertas, namun menjadi ukuran di mata manusia. Di mata Maha Pencipta pula adalah proses keberhasilan dan kejayaan dicipta menjadi aspek penilaiannya. Mudah-mudahan Allah s.w.t berkati segala usaha sebelum ini untuk memudahkan lagi perjalanan seterusnya. Belajar takkan pernah tamat dan tidak mengenal siapa gurunya. Hatta sampai mati pun, ilmu takkan pernah habis dicari. Itulah yang dapat ana simpulkan selama 23 tahun hidup ini. Dalam mendapatkan ilmu, sumbernya perlu sahih dan bertepatan dengan apa yang telah digariskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kesungguhan mendapatkan ilmu takkan pernah rugi, namun niat di hati perlulah suci. Sebar luaskan ilmu yang diperolehi agar usahanya terus diberkati Illahi. Wallahualam~


iman's note: Ada dah yang mempelawa untuk bersama-sama ke peringkat Sarjana hujung tahun ini. Namun, diri ini punya matlamat tersendiri. Biiznillah, bila tiba masanya akan bergelar "mahasiswa" semula.

**imannurbalqis**

Read more

...teaser KONVO IPGM 2012...

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua insan yang membaca entry ini. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan mulia Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassalam. Moga redha Allah sentiasa bersama kita mengiringi hari-hari mendatang untuk menuju negara yang lebih abadi iaitu Akhirat. Ameen ya Rabb. Alhamdulillah masih dikurniakan usia untuk terus berbakti dengan cara sendiri buat agama yang di cintai. Hidup ini hanya seketika dan sampai masanya kita semua akan kembali kepadaNya bawa dosa bawa pahala. Ini bermakna kita bukanlah siapa-siapa di dunia yang fana ini. Hanya nilaian "TAQWA" yang akan membezakan siapa kita disisi Allah.



Alhamdulillah hari ini berkesempatan untuk menghadiri sesi pendaftaran Majlis Konvokesyen PISMP IPG KPM Kali ke-2. Bukan sekadar mendaftar, mendengar taklimat dan melihat demonstrasi penerimaan ijazah tetapi majlis ini menjadi majlis pertemuan dengan rakan-rakan unit, kampus, JPP dan warga pensyarah. Berjumpa semula dengan rakan-rakan yang pernah menyertai program kemerdekaan di Miri, Sarawak, rakan-rakan yang terlibat dalam proses pertukaran soalan latihan, rakan-rakan facebook serta blog dan tidak di sangka berjumpa dengan guru sekolah sewaktu praktikum semester7 & internship yang menemani anak mereka. Mereka masih kenal dengan insan ini. (^_^) Melihat senyuman mereka, kesibukkan menyelesaikan pendaftaran, gurau-senda dan perkongsian pengalaman yang tidak sudah-sudah walaupun dua hari masanya buat ana rasa rindu dengan suasana kampus. Dengan ditemani ayah dan adik, kali pertama menjejak kaki ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Ya, pastinya ana teruja kerana ini pertama kali ana menerima penganugerahan ijazah selepas lima tahun setengah 'bersilat' di kampus. Alhamdulillah.


Dalam pada masa ana mengisi ruang yang ada sementara menunggu suka ana untuk melihat gelagat guru permulaan ini. Belajar dari pengalaman kalian yang berbeza latar belakang, agama dan bangsa buat diri lebih sedar yang Islam itu indah. Terima kasih Ya Allah atas kurniaan yang sangat besar ini. Kurniaan ini hebat dan Kau Maha Hebat. Ana doakan semoga kita semua dapat menjadi pendidik yang kenal PENCIPTA, yang sedar bahawa ilmu yang kita ada saat ini adalah pinjaman sahaja daripada Allah s.w.t dan akan tiba masa ianya kita kembalikan kepada Dia yang memberi pinjaman.



Ijazah bukanlah nilaian hebatnya kita di mata masyarakat namun kezuhudan dan kenalnya kita kepada Pencipta itulah anugerah terbesar dalam hidup yang seketika ini. Kita bukan siapa-siapa di hadapanNya. Hanyalah insan kerdil yang datangnya kosong dan pulangnya dengan dosa pahala. Maka sedarlah diri bahawa apa yg diperolehi adalah untuk membeli akhirat dan bukan untuk membanggakan diri. Maafkan bicara ini jika ianya menyinggung hati dan perasaan namun biarlah diri yang lemah ini menyatakan kebenaran kerana jika kita tersilap kejayaan hari ini bakal menghumban kita ke nerakaNya. Walau bagaimanapun, berdoalah agar usaha yang kita taburkan selama ini diredhai dan diberkati Allah hendaknya. Ameen, insyaAllah.


Segulung ijazah hanyalah sejumlah tulisan yang ditulis di atas kertas. Tulisan yang tidak membawa apa-apa makna jika ilmu di sebaliknya tidak diamalkan. Selamat berkonvokesyen graduan PISMP ambilan Januari 2008 IPGM.

iman's note: Sidang ketiga, 14 Mac 2012, 8.00am, PICC.

**imannurbalqis**

Read more

...pesanan buat ADIK...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Alhamdulillah syukur dan sujud kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat lagi kita bernafas di muka bumiNya. Selawat dan salam diutuskan buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukurlah kita kerana dapat merasai nikmat Iman dan Islam dalam diri di saat ini.

Alhamdulillah, semalam sudah bermula sesi persekolahan bagi tahun 2012. Tahun ini, tinggal seorang lagi adik ana yang bersekolah. Muhamad Sharul Nizam sudah naik tingkatan 1. Yang lain sudah menamatkan zaman persekolahan ini. Menunggu untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti pula. Mudah-mudahan urusan adik-adik yang ana sayang ini dipermudahkan. Tidak dilupakan juga sesi kulian semester 1 / 2012 bagi pelatih-pelatih guru di IPGM. Tahun 2012, gelaran pelatih guru sudah tiada, menunggu gelaran guru pula. InsyaAllah. Ana masih lagi memegang gelaran penganggur sepenuh masa. Hanya berada di rumah sahaja buat masa ini. Yang pasti, jadi penganggur pun tidak sempat untuk goyang kaki. Hampir dua bulan sudah meninggalkan bumi IPG KPM. Banyak kenangan yang tidak sempat dicatatkan di laman ini. Terlalu banyak. Ana bersyukur kerana ana diberi peluang untuk berada di satu-satunya institusi latihan perguruan yang hanya dihuni oleh perempuan melayu Islam. Bersyukur kepada Allah kerana ana dipertemukan dengan kakak, sahabat, rakan, kawan, teman, dan adik-adik yang baik-baik belaka di sini.


Malam semalam ana ada terima mesej daripada salah seorang adik junior. Beliau mohon untuk ana menitipkan pesanan kepadanya untuk meneruskan lagi perjalanan tahun akhir di kampus. Adik yang ana sayang ini mahukan pesanan yang banyak-banyak dan panjang-panjang. Buat ana tersenyum ketika membaca hasratnya. (^_^) Siapalah ana untuk meninggalkan pesanan yang boleh dibuat ingatan. Tak layak rasanya kerana ana tahu kadang-kadang ana juga merasa sakit dan perlukan kata-kata untuk disapu pada tempat yang sakit itu. Allahu Rabbi. Oleh kerana ana telah berjanji untuk memberikan kata-kata pesanan padanya, ana perlu tunaikan. Namun, ana tujukan pesanan ini buat semua adik-adik ana yag mengenali ana. Ini sahaja yang ana termampu. Nak bagi duit belanja setiap orang ana tak mampu. Patah-patah perkataan ini akan ana cantumkan untuk jadi bait-bait indah yang akan disulam dalam ingatan. Mudah-mudahan Allah perkenankan. LAntaran itu, ana nak tukar panggilan pada 'Kak Ina' sebab yang pesanan ini untuk adik-adik ana. Biar rasa macam ana sedang bercakap dengan adik-adik yang membaca.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم

Adik-adik yang kak ina sayang, ini merupakan pesanan yang tak akan kak ina lupakan sampai bila-bila selagi nikmat ingatan masih diberikan oleh Allah s.w.t. Pesanan daripada arwah mak kak ina sendiri. Hari ini kak ina titipkan pesanan itu buat adik-adik juga. Sehari sebelum arwah mak kak ina meninggal (26 Februari 2007, Khamis) lebih kurang jam 5 petang kak ina terima panggilan daripada arwah mak. Walaupun, arahan daripada doktor tidak membenarkan arwah mak kak ina atau mana-mana pelawat menggunakan telefon bimbit di sekitarnya. Adik kak ina kata mak berkeras juga suruh telefon untuk bercakap dengan kak ina. Arwah mak kak ina kata last call sebelum dia balik rumah esok sebab dah sihat. Doktor bagi balik dah. Kak ina berbual dan berkongsi cerita di kampus seperti biasa. Menyakat. Mengadu. Ketawa. Rasa gembira sangat. Namun seperti biasa, sebelum menamatkan panggilan arwah menitipkan pesanan terakhir yang biasa akan dipesan sekiranya kak ina nak balik asrama atau pulang kampus. Sama. Tak berubah sikit pun dari tahun 2001 hingga hari terakhir 26 Februari 2007.

- Solat kena awal waktu.
- Baca al-quran selalu.
- Jaga diri baik-baik kat tempat orang.
- Makan jangan lupa.
- Kalau tak sihat bagitahu.
- Belajar rajin-rajin.
- Bangun buat solat malam.

Tapi kali ini ada tambahan pula pesanannya.

- Jaga ayah.
- Sayang adik-adik.
- Pilih kawan yang baik.
- Hormat cikgu dan orang tua.
- Jangan susahkan orang lain.
- Belajar untuk usaha sendiri.
- Ingat, Allah sentiasa ada untuk kita.

Kak ina tak berasa apa-apa waktu itu sebab dah biasa dengan sikap arwah mak yang sangat prihatin pada anak-anaknya. Alhamdulillah, itu sahaja kekuatan yang sempat dititipkan oleh arwah mak kak ina sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 4 petang hari Jumaat pada 27 Februari 2007. Pada hari Jumaat itu juga bila kak ina sampai rumah jam 7 petang tiada lagi pesanan daripada arwah Mak. Tiada dik. Tak keluar sepatah pun perkataan dari mulutnya lagi. Kak ina titipkan pesanan yang cukup bernilai dan bermakna bagi diri kak ina ini buat adik-adik juga. Moga dapat dimanfaatkan.


Buat adik-adik yang kak ina sayangi,
Mengenali kalian, satu ibadah buat kak ina. Menyayangi kalian, satu anugerah buat kak ina. Ketawa kalian, beri kak ina kekuatan. Tangisan kalian, mematangkan diri kak ina.
Moga ukhuwwah yang dibina ini diberkati. Terima kasih ya Allah, atas pertemuan istimewa ini. Didoakan kalian sentiasa dalam rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t selalu. Perpisahan ini bukan untuk ditangisi tapi satu permulaan untuk bertemu di syurga firdausi. Ukhuwwah fillah abadan abada.

iman's note: Pesanan yang lain sudah tercatat dalam Kitab Allah. Jangan pernah tinggalkan bacaan al-quran kerana kita akan rugi. Adik-adik tak ada pesanan untuk kak ina ke? (^_^) Jika tidak keberatan hadiahkan al-fatihah buat arwah mak kak ina yea.

**imannurbalqis**

Read more

...Aku bukan dia, Dia bukan aku...

Assalamualaikum w.b.t buat semua sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Segala puji dan puja kita tujukan hanya untuk Allah s.w.t, Rabb dan Ilah yang berhak dan wajib disembah. Di dalam kekuasaanNya terletak segala daya dan upaya. Tidak ada kekuatan selain dari kekuatanNya. Hanya kepadaNya kita memohon dan bergantung harap. Hanya dengan keizinan dan perkenanNya jua kita masih dipertemukan. ana doakan antum semua sihat walafiat. syukur ana panjatkan pada ALLAH s.w.t dengan nikmat yang diberikan, ana dapat merasai nilai sebenar nikmat anugerah dari ALLAH.

Alhamdulillah, petang Rabu yang cukup damai. Sewaktu mengemaskini mesej-mesej lama dalam inbox hp untuk memudahkan mesej lain dapat masuk membuatkan ana mengalirkan air mata. Pabila membaca mesej yang pernah mengusik hati ini sewaktu ketika dahulu. Rasa sayang untuk dipadam kerana itulah antara mesej yang ana dapat setelah mengadu pada Yang Maha Esa. Di saat jatuh dan merasai betapa peritnya bergelar pemimpin. Allahu Rabbi. Hanya Allah s.w.t yang tahu. Namun, ana belum selayaknya untuk setanding pemimpin yang perlu dicontohi dengan hanya berbekalkan ujian yang begitu kecil. Masih banyak yang perlu dilalui. Dalam pada itu juga, ana ada terbaca entry dalam laman sesawang ini www.youmusthink.blogspot.com yang bertajuk "Elakkan Pengurusan Reaksi". Kelangsungan dari itu terus ana catatkan dalam laman sesawang ini yang mana perlu ana muhasabah kembali apa yang telah berlaku untuk kelangsungan akan datang yang lebih baik lagi. InsyaAllah.


Situasi yang dicatatkan oleh penulis laman sesawang ini hampir sama tetapi ayat yang dilafazkan oleh rakan-rakan berbeza dengan ana. Namun, biarlah ana telan dan merasainya sahaja kerana itu kata-kata 'ubat' buat diri yang serba 'sakit' ini. Pemimpin dan kepimpinannya seperti irama dan lagu, sudu dan garfu, kaki dan tangan, kanan dan kiri, gula dan garam. Gandingannya akan memberi impak yang besar pada golongan yang dipimpinnya. Ini merupakan catatan yang ana salin dari laman sesawang yang pernah bergelar pemimpin kampus.

-----------------------------------

Pada tahun 2004, saya merupakan mahasiswa pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam. Pada suatu hari, ketika sibuk dengan gerak kerja organisasi kampus, seorang sahabat menegur saya.
“Kamu seorang yang terlalu tegas dan sentiasa serius. Kamu kena berubah sikap jika mahukan orang lain menyenangi kamu.”

Pada hari yang lain pula, seorang sahabat yang lain menegur saya.
“Kenapa kamu nampak main-main, kurang serius, apa yang dah jadi dengan kamu?, Serius sikit boleh tak?”

Pada tahun 2007, saya menjadi pimpinan salah sebuah organisasi Islam di kampus yang sama. Ketika itu, saya sudah menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Seorang sahabat menyapa saya.
“Kamu kelihatan tegas dan serius, kadang-kadang kelakar juga, saya ingin menjadi pemimpin seperti kamu.”

Dalam tahun yang sama saya pernah mengendalikan slot pengisian program kepimpinan. Pada hari pertama program tersebut, beberapa AJK yang lain menegur saya, “Program ini sangat tegas, kami berasa seperti berada dalam suasana tarbiyyah ala ketenteraan”.

Pada hari ketiga, beberapa AJK yang lain pula memberitahu saya, “Program ini sangat longgar. Kita mesti mengubahnya agar peserta dapat dilatih dengan suasana tarbiyyah ala ketenteraan.”

.:jazakallah khairan khathira buat junior a.k.a my neighbour compartment Dang Anum a.k.a mantan pengerusi Biro Penerangan & Penerbitan, Cik Aminatul Rasyidah bt Ghazali atas kesudian menghulurkan telinga untuk mendengar, tangan untuk suapkan makanan, lidah untuk nasihat dan hati untuk bertenang:.

Hal ini sangat berbahaya jika kita bertindak mengikut pandangan orang lain dengan serta merta dan mengubah perencanaan kita untuk mengambil hati mereka. Manusia mempunyai latar belakang dan pandangan yang berbeza.

Oleh itu, kita perlu menganalisa, menyelidik, memastikan dan berbincang segala pandangan sebelum menukar perencanaan kita. Pengurusan secara reaksi akan membawa kita keluar dari jalan yang sepatutnya kita lalui.

Kita mesti mendengar pandangan setiap orang, tetapi bertindak mengikut perancangan yang difikirkan secara terperinci. Walaupun kita mewakili ahli-ahli kita, kita juga mempunyai tanggungjawab terhadap Allah S.W.T. untuk memimpin dengan bijaksana. Pergerakan hendaklah meletakkan gerakannya untuk memimpin orang ramai dan TIDAK dipimpin oleh mereka.

-----------------------------------

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada gaya kepimpinan yang ada dalam kalangan pemimpin dalam organisasi tersebut. Ini kerana kesediaan dan komitmen orang yang dipimpin dalam organisasi amat bergantung kepada kemampuan pemimpin itu mempengaruhi dan meyakinkan mereka dalam membuat sesuatu tindakan. Selain itu, kepimpinan yang berkesan memberikan kepuasan kepada pengikut dan ini secara tidak langsung akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang.

Buat yang sedang membaca entry ini, ketahuilah anda adalah seorang pemimpin. Kalau bukan untuk negara, untuk masyarakat. Kalau bukan untuk masyarakat, untuk organisasi. Kalau bukan untuk organisasi, untuk keluarga. Kalau bukan untuk keluarga, untuk diri sendiri. Kalau bukan untuk diri sendiri, untuk Islam. Binalah kepimpinan yang dalam diri. Masing-masing punya gaya kepimpinan tersendiri. Gaya kepimpinan Rasullah s.a.w tidak sama dengan gaya kepimpinan Abu Bakar. Gaya kepimpinan Abu Bakar tidak semirip gaya kepimpinan Umar. Gaya kepimpinan Umar tidak seperti gaya kepimpinan Uthman. Gaya kepimpinan Uthman tidak semacam gaya kepimpinan Ali. Masing-masing punyai kekuatan tersendiri. Namun, janganlah kita terlalu angkuh untuk tidak menerima pandangan orang lain. Bijaklah dalam mengendalikannya agar tidak jadi seperti lalang yang ditiup angin.

.:Jazakallah khairan khatira buat Cik Hanim Norlaila bt Mamat atas kesudian untuk menghantar mesej tersebut. Ukhuwah Fillah Abadan Abada:.

iman's note: ana salin semula mesej yang dihantar oleh seorang junior ana sewaktu kepimpinan ana di kampus dahulu.(Tidak di'edit' sedikit pun dan bukan untuk tujuan apa-apa. Hanya mahu ayat ini terus bersemadi di sini.)
24-Oct-2010 23:53:35
Salam.. Bila dpt tazkirah pasal pmimpin dgn pngikut hari tu.nim rasa cm..nim xjalankan tjwb nim sbg pngikut sbaiknya lg..Hm.. Bla tgk akak bg pnerangan kt bisa td.. Sayu rasa hati..Xtau la. nk kta muka akak penat ke, xsihat ke. atau cmne. yg pasti.akak menyentuh hati sy dgn kekuatn dan kesabaran akak tu. Sbg pengikut, nim cme nk cakap.. Nim bsyukur ada pmimpin mcm akak,nim doakan. Moga akak terus kuat dan sgla pngorbanan akak mdapat pnilaian tbaik dari Allah..Jaga kesihatan ye kak. Kalau pemimpin dia xsihat,pasti pengikutny juga xdpt hdup tenang.. Skadar ctatan seorang pngikut kpd pmimpin yg dsyangi. Insyaallah.. Assalamualaikum =)

# Astagfirullah al'azhim, astagfitullah al'azhim, astagfirullah al'azhim. Ketahuilah insan yang serba kekurangan ini tidak punya apa-apa sewaktu memimpin kalian melainkan Allah s.w.t. Segalanya datang daripada Dia Yang Maha Kuasa. Kepada Dia segala penghargaan ditujukan.

**imannurbalqis**

Read more

...nota si penulis AR : AKHIR...

Salam alaik buat sahabat-sahabat yang sentiasa berpegang teguh dengan kalimah “TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH DAN NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH". Didoakan sahabat-sahabat dan pembaca blog ini sentiasa dalam rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t selalu. Alhamdulillah, hari ini tamatlah sudah Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) setelah tiga hari mengikutinya. KISSM kali ini juga merupakan kursus yang terakhir dijalankan untuk bakal-bakal penjawat awam kerana tahun hadapan akan diganti dengan kursus yang lain seumpama dengannya. Moga dipermudahkan pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan ana semasa menandanya dan seterusnya ana lulus dalam kursus ini. Allahumma Ameen.






Alhamdulillah, hari ini juga ana dapat menyelesaikan segala urusan penghantaran laporan kajian tindakan unit kepada unit penilaian, pusat sumber dan jabatan Sains. Bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dapat menyelesaikannya dengan baik setelah hampir setahun proses kajian tindakan. Bermula dari mencari rujukan, mereka perancangan dalam menyelesaikan masalah, menjalankan perancangannya ke atas murid-murid, mengumpul data dan menganalisisnya, menyediakan laporan, membentangkan laporan dalam seminar dan akhirnya membukukan laporan yang telah dibuat. Semua ini perlu dijalankan sebagai salah satu syarat untuk melayakkan mendapat Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Sains Pendidikan Rendah). Ana juga bersyukur kerana diberi penyelia pembimbing yang cukup berdedikasi, memahami dan memotivasikan diri ini. Thank you, Mr Ong.

Ana tahu sahabat-sahabat yang pernah mempunyai pengalaman menjalankan kajian tindakan memperolehi pelbagai manfaat sebagai pengkaji kajian tindakan. Tidak ketinggalan juga dengan ana. Ini merupakan pengalaman yang cukup berharga dan satu titik tolak untuk ana memperkembangkan lagi potensi diri ini. InsyaAllah. Salah satu tujuan kajian tindakan dijalankan ialah untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubah amalan-amalan tersebut. Dalam erti kata mudahnya memperbaiki amalan diri guru itu sendiri. Ana begitu tertarik dengan dengan tujuan ini. Hal ini kerana, perubahan yang diletakkan pada diri guru itu sendiri.

Kenapa ana tertarik? Mesti ada sebabnya. Jika magnet akan tertarik dengan kutub yang berbeza, apa tidak ana yang suka memandang dari sudut yang berbeza. Huraiannya mudah, kadang-kala insan yang bergelar guru ini sudah merasakan dirinya sudah lengkap sempurna dan meletakkan segala kelemahan dan kekurangan murid-murid atas dasar kecetekkan ilmu mereka sahaja. Bukan salah guru tapi salah murid yang belajar. Sepanjang ana menyelesaikan kajian tindakan ini, ana rasa tertampar dengan kata-kata seorang pensyarah ana. Beliau menyatakan, "Banyak senarai masalah murid-murid kamu. Diri kamu tak ada masalah ke? Dah bagus ke cara kamu mengajar sebelum ini? Ingat, murid-murid dihantar belajar kerana mereka tidak tahu dan guru di sekolah perlu memberitahu. Selidik dahalu penerimaan diri kita pada mereka." Di waktu itu, ana benar-benar mencari di mana yang dikatakan kualiti amalan guru. Membaiki laporan sehingga empat kali. Selepas seminar, dikehendaki menukar tajuk kajian. Seterusnya, dikehendaki menghantar laporan penuh sebelum dijilidkan untuk dilihat semula. Sememangnya saat yang cukup pahit waktu itu tapi manis dikenang kini. Alhamdulillah.



Seharusnya sebagai seorang bakal guru, ana mesti mempertingkatkan potensi dan kualiti diri dari semasa ke semasa untuk membantu kualiti pengajaran dan pembelajaran ana nanti. Perkara yang paling utama untuk seorang bakal guru ialah menuntut ilmu. Dalam menuntut ilmu seharusnya dipastikan niat untuk menuntut ilmu. Imam Ghazali dalam tulisannya "Pedoman Orang Taqwa" ada menyatakan bahawa orang yang menuntut ilmu itu terbahagi kepada 3 golongan iaitu :

1. Orang yang mencari ilmu kerana hendak buat bekal pulang ke akhirat. Niatnya hanya untuk mencapai keredhaan Allah dan kepuasan hari akhirat semata-mata. Mereka ini adalah golongan yang akan terselamat dan berjaya.

2. Orang yang mencari ilmu untuk persiapan menghadapi kehidupannya dalam dunia yang fana ini, di samping niat hendak mencapai kekuasaan, kemuliaan, pengaruh, kemegahan dan harta benda. Sedang ia mengetahui niat yang demikian itu adalah salah dan ia sedar betapa hasratnya itu sama sekali tidak bernilai dan tidak dihargai.

Mereka ini amat berbahaya dan membimbangkan, kerana jika sewaktu-waktu ajalnya sampai, pada hal ia belum sempat bertaubat, maka sangat dikhuatiri ia mati dalam keadaan "Su-ul-khatimah" - kesudahan hidupnya yang buruk. Terserahlah kepada Allah tentang nasibnya kelak. Namun, jika ia sempat bertaubat sebelum tiba ajalnya, kemudian ia cepat-cepat menyesuaikan ilmunya dengan amal, serta memperbaiki segala kerusakan yang pernah dilakukannya di masa-masa lalu, maka ia akan kembali termasuk ke dalam golongan orang-orang yang terselamat dan berjaya di sisi Allah. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw: "Orang yang bertaubat daripada dosanya adalah seperti orang yang tidak pernah berbuat dosa."

3. Orang yang mencari ilmu kerana dipengaruhi oleh syaitan, ia mempergunakan ilmunya sebagai alat untuk tujuan menambah kekayaannya, meluaskan pengaruhnya, membanggakan kemegahannya dan menyombongkan diri bahawa dialah yang ramai pengikutnya.

Ia menyangka bahawa ia telah mempunyai kedudukan yang tinggi pada sisi Allah, kerana pada zahirnya, ia telah menyerupai para ulama' dalam berpakaian dan ucapannya. Akan tetapi zahir dan batinnya sangat mencintai dan tamakkan dunia. Ia tidak dapat digolongkan ke dalam golongan orang yang berilmu, kerana ia telah digelapkan oleh tipu daya syaitan. Orang yang seperti ini akan rosak binasa di dalam kebodohannya dan mudah diperdayakan.



Moga kita sentiasa berada dalam golongan pertama dalam menuntut ilmu dan ilmu yang diperolehi dapat kita manfaatkan ke arah kebaikan. Akhir kalam, untuk entry terakhir NOTA SI PENULIS AR iaitu yang ke 20 ini ana ucapkan jazakallah khairan khathira buat insan-insan yang menyokong ana dan memberi tunjuk ajar dalam menyiapkan laporan kajian tindakan ini dengan jayanya. Moga setiap pertolongan, sokongan dan motivasi yang diberikan dikira sebagai ibadah oleh Allah s.w.t dalam mendalami ilmu-Nya ini. Ali bin Abu Talib pernah berkata: "Ikatlah ilmu dengan menulisnya". Moga laporan kajian tindakan ini memberi manfaat kepada pembacanya.

iman's note: Moga-moga penyelia untuk Sarjana nanti sama seperti Mr Ong Chwee Kong. Betul-betul rasa terubat di saat genting ketika beliau melafazkan kata-kata ini, "sabar, jangan risau, just do what u can and i am sure u can do it.". Thank you, sir.

**imannurbalqis**

Read more

...wordless wednesday # 2...


iman's note : sesi 2 - 1. Ya ALLAH ya tuhan kami, dengan rasa rendah hati kami bermohon agar dipermudahkan urusan, dilapangkan hati, dijernihkan fikiran, difasihkan bicara dan diberikan ketenangan dalam menjawab segala persoalan semasa pembentangan kajian tindakan berlangsung. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Ameen.

**imannurbalqis**

Read more

...nota si penulis AR : 1.0...

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Didoakan agar sahabat-sahabat berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dalam rahmat dan maghfirah ALLAH s.w.t. Selawat dan salam tidak lupa juga diucapkan buat Baginda Nabi Muhammad SAW yang berjuang bersama para sahabat menaikkan syiar Islam dan meyebarkan risalah membawa kita dari alam kegelapan (Jahiliyyah) hinggalah ke alam yang kita rasakan sekarang. Syukur dipanjatkan kepadaNYA kerana masih lagi ada hati-hati yang mencintai jalan ISLAM yang suci lagi benar. Semoga tidak leka dengan hidangan dan kesibukkan dunia yang boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan. Gunakan segala wadah yang ada untuk menyampaikan walaupun 1 ayat. Alhamdulillah kerana ana masih lagi diberi ruang untuk bersama-sama sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Ana mohon maaf kerana tidak berkesempatan untuk meng"update" blog ini setiap hari. Atas kekangan yang ada, ana perlu mengutamakan apa yang perlu diutamakan. Walau bagaimanapun, insyaALLAH tidak akan ana abaikan laman sesawang ini sesenangnya.




Alhamdulillah entry pertama bulan Syaaban dan Julai ini dapat juga dikongsikan bersama. Tajuk entry kali ini adalah kelangsungan daripada ana dapat menyelesaikan satu bab laporan kajian tindakan yang perlu dihantar pagi ini pada pensyarah penyelia. Kiranya nekad ana mencoretkan entry di laman sesawang ini adalah sebagai ganjaran pada diri setelah menyelesaikan laporan bab tersebut. Ini sahaja cara untuk ana rasa bersemangat untuk terus menulis. Nak main bowling, perlukan duit. Nak pergi window shopping pun perlukan duit tapi cara ini tak perlukan duit. Malahan, membantu ana untuk lebih matang dalam bidang penulisan. InsyaALLAH. Walaupun elaun sudah masuk tapi perlu digunakan dengan sebaik mungkin kerana ini merupakan elaun terakhir yang ana dapat setelah 5tahun setengah berada di IPG.(^_^)b

Apabila bergelar pelatih guru tahun akhir, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Tambahan pula, semester akhir menuntut ana untuk lebih fokus pada unit ana. Banyak aktiviti jabatan Sains yang dirancang dan perlu diselesaikan kerana meliputi sukatan pelajaran pada semester ini. Baru-baru ini, Jabatan Sains baru selesai Festival dan Pameran Pendidikan Sains 2011. Festival ini merupakan aktiviti dwitahunan dan ini merupakan kali keempat dijalankan. Ekoran daripada semester lepas, unit ana keluar praktikum selama tiga bulan jadi banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam masa yang singkat. Di samping itu juga, subjek Sains dan Teknologi yang menuntut unit ana untuk mengadakan lawatan hampir ke sepuluh tempat untuk melihat dengan lebih jelas aplikasi Sains dan Teknologi. Malahan, penulisan laporan kajian tindakan perlu diselesaikan sebelum internship bermula. Belum lagi dikira dengan kertas kerja internship yang akan dijalankan di sekolah pada bulan puasa. Selepas tiga minggu internship, seminar untuk pembentangan kajian tindakan akan dijalankan. Tidak ketinggalan juga, fail-fail MQA yang perlu disediakan sebagai persediaan. Tak lupa juga, pengelolaan jamuan makan malam untuk batch ambilan Jan 2008 dengan pihak pentadbir dan pensyarah. Tak masuk lagi persediaan untuk peperiksaan akhir semester. Itu belum lagi di tambah, tolak, darab dan bahagi peranan sebagai seorang hamba ALLAH, ketua, anak, kakak atau sebagainya.

Rasanya tak tersenarai tugasan-tugasan duniawi ini. Bukan yang ditulis ini adalah untuk merungut atau mengeluh tapi senarai kasar yang perlu diberi perhatian setelah dipertanggungjawabkan pada diri ini. Itulah kehidupan, tugasnya silih berganti dan bertukar. Sekarang apabila peranan sebagai seorang pelajar perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin terasa kesukaran dan kesulitannya dalam menghadapinya. Ana tak nafikan ramai sahabat-sahabat yang berasa agak tertekan ataupun sememangnya buat-buat tertekan walaupun keadaannya masih boleh diuruskan dengan baik. Masih lagi pesimis dalam menjalankan tugas-tugas yang diberikan. Malahan, ada yang merasakan makin sempit masa 24 jam yang diberikan. Seharusnya kita jelas dengan peranan kita yang sebenar. ALLAH s.w.t telah berfirman dalam surah Adz-Dzariyat, ayat 56, mafhumnya :

Tidak dijadikan jin dan manusia itu selain untuk mengabdikan (beribadah) kepada ALLAH s.w.t.

Jadi, segala yang sedang dihadapi sekarang ini adalah ibadah kita untuk mencapai keredhaan ALLAH s.w.t semata-mata. Ketahuilah sahabat, kesusahan dan kesulitan laksana musim dingin yang basah, lembap serta tidak disukai insan. Namun, sesudah musim sejuk itulah tubuhnya bunga-bunga yang harum dan buah-buahan yang subur. Rasullah s.a.w pernah berpesan menurut Aban bin Shalih daripada Umar daripada Anas bin Malik RA :

Tiada yang ditelan manusia yang lebih disukai oleh ALLAH selain dua perkara, iaitu menelan (menahan) marah dengan kesabaran dan menelan musibah dengan kesabaran juga. Dan tidak ada titisan yang lebih disukai oleh ALLAH daripada dua titisan, iaitu titisan darah dalam memperjuangkan agama ALLAH dan titisan air mata pada malam yang gelap sambil sujud serta tidak ada yang mengetahui kecuali ALLAH. Dan tidak ada langkah yang disukai ALLAH daripada dua langkah, iaitu langkah menuju sembahyang fardhu dan langkah untuk menyambung silaturrahim.


Menilai diri sendiri adalah lebih susah
daripada menilai seribu orang lain.
Sedangkan manusia yang paling bijaksana itu
ialah mereka yang menghakimi
dan menilai diri mereka sendiri.

Fahamannya mudah. Apabila kita rasa susah, rasa sempit dengan segala derita, bandingkanlah kesusahan itu dengan kesusahan yang bakal kita hadapi di akhirat kelak. Kesusahan dan derita di dunia ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengana akhirat. Sesungguhnya kesusuhan di dunia ini kecil sahaja. Analaoginya mudah, selepas hujan, cerah kembali. Selepas mendung, mentari muncul lagi. Semuanya akan hilang dan tidak kekal. Sama juga dengan kelelahan dan keletihan yang kita rasai sekarang. Semuanya sementara. Yang kekal abadinya di akhirat sana. Ketahuilah, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jangan rasa susah apabila disuruh untuk mengikuti program keagamaan atau solat berjemaah di surau. Ketahuilah itulah amalan yang akan membantu timbangan mizan kita esok. Sahabat-sahabat sekalian, jika kita gunakan sebetulnya masa dua jam untuk mendengar bicara agama dan diambil manfaat seterusnya dijadikan panduan dalam kehidupan. InsyaALLAH, kemenangan itu milik kita.

Sesungguhnya kemenangan itu disertai dengan kesabaran. Kita tidak boleh mengeluh dengan ujian ALLAH kerana hal itu umpama kita tidak redha dengan kesusahan yang ALLAH berikan. Jika kita mengaku beriman kepada ALLAH, kita mengaku kita cinta kepada ALLAH, ana buktinya? Ibaratnya, jika tiba-tiba kita ditampar oleh seseorang dalam keadaan yang gelap-gelita. Ketika itu kita terasa sakit dan marah sekali, rasa ahu sahaja ditampar kembali orang itu. Kemudian, apabila lampu dibuka, rupa-rupanya yang tampar kita itu adalah orang yang kita sayangi dan cintai. Adakah kita akan marah? Pastinya tidak, bukan? Begitulah ibaratnya cinta kita kepada ALLAH. Jika kita benar kasihkan Dia, cintakan Dia, kenapa harus marah apabila Dia beri kita ujian? Kenapa harus bersedih apabila Dia datangkan musibah yang membuatkan hati kita terasa sakit? Bukanlah kita perlu bersyukur? Itu tandanya ALLAH masih sayangkan kita. Dia beri kita ujian kerana Dia mahu kita lebih dekat dengannya. Dia mahu mendidik nafsu kita. Kerana lumrah manusia ini hanya mencari ALLAH apabila susah tetapi apabila senang terus melupakan hakNya.

Moga dalam hati kita akan selalu ada perasaan sabar dan optimis dalam setiap perkara yang berlaku. Gunakanlah hati untuk berbicara dengan ALLAH. Berzikir dan ingatlah selalu padaNya. Jika kita berfikir secara positif, insyaALLAH positiflah impaknya. Moga kita sentiasa dalam keredhaanNya.


Dani Ikhwan permata ayah (abang angah) dan mama (Kak Aini).
Moga menjadi anak yang soleh, berjaya di dunia dan akhirat.

iman's note : ada banyak lagi bab AR yang belum siap.

**imannurbalqis**

Read more

...NOTA semester 2/2011...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera buat semua pembaca laman ini. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas kurniaan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Selamat kembali ke kampus kepada semua pelatih guru IPG Kampus Perempuan Melayu khususnya dan IPGM umumnya. Selamat datang juga ana ucapkan buat bakal pelatih-pelatih guru yang akan mendaftar di kampus-kampus Institut Pendidikan Guru di seluruh Malaysia.

bergelar pelatih guru semester akhir

Sedar atau tidak kita sudah tamat cuti semester 1/2011 bagi pengajian tahun ini. Alhamdulillah, kita juga masih diberikan kesempatan untuk meneruskan pengajian sebagai pelatih guru dalam merealisasikan cita-cita sebagai seorang pendidik. Rasa terlalu singkat tempoh yang ana lalui sebagai seorang pelatih guru sepanjang 5 tahun setengah (11 semester) di Kampus Perempuan Melayu. Syukur kepada ALLAH s.w.t kerana akhirnya ana berjaya memegang gelaran pelatih guru semester akhir. Di kesempatan yang ada ini, ana ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian sama-sama bermuhasabah diri kembali adakah kita benar-benar telah menggunakan masa yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sebaik mungkin dan sejauh mana kita telah mengoptimumkan masa yang ada dalam menimba ilmu pengetahuan dalam erti kata proses menuntut ilmu Allah yang Maha luas ini.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran” (Surah Al-Asr:1-3)

Pembaca-pembaca yang dirahmati Allah sekalian, sama-sama kita perbetulkan kembali niat dalam menuntut ilmu. Perjalanan kehidupan kita dalam pencarian ilmu bukan sekadar bermatlamatkan untuk memperoleh segulung ijazah, memegang gelaran penjawat awam dan mengejar pangkat yang tinggi. Malah ada sesetengah yang berpendapat bahawa proses pembelajaran tamat setelah berjaya menggenggam segulung ijazah. Hakikatnya, niat menuntut ilmu tidak lain tidak bukan adalah untuk mencari redha dan rahmat ALLAH s.w.t.

Berbekalkan kekuatan dan keazaman kejayaan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam seluruh pelusuk dunia, perlunya kita meletakkan bahawa usaha untuk berjaya dalam pengajian ini yang juga merupakan jalan dakwah kita. Ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan lebih-lebih lagi kita selaku pelatih guru Islam. Jelasnya dalam pandangan Islam sendiri, sangat mengangkat darjat orang yang berilmu dan sentiasa berusaha menuntut ilmu Allah yang sangat luas. Berusahalah bersungguh-sungguh dalam mencapai kecemerlangan dalam pengajian agar kita tidak menjadikan pengajian di kampus sebagai fitnah dalam perjuangan Islam.

ilmu manusia diibaratkan setitis air di lautan berbanding ilmu ALLAH s.w.t

Lantaran itu, di kesempatan yang masih ada ini, ana ingin mengucapkan selamat meneruskan pengajian kepada seluruh warga IPG KPM dan kampus-kampus yang lain. Tidak dilupakan juga pada sahabat-sahabat pelatih guru tahun akhir, gunakanlah masa yang ada dengan sebaiknya dalam pembinaan jati diri sebenar seorang pendidik. Tingkatkan momentum usaha kita di samping pergantungan kepada ALLAH s.w.t dalam menamatkan perjalanan sebagai pelatih guru tahun akhir di IPGM. Panjatkanlah doa kepada ALLAH s.w.t agar dipermudahkan segala urusan semasa dan selepas pengajian agar segala perkara yang dilakukan mendapat berkat dari ALLAH s.w.t. Ketahuilah, sesungguhnya perjalanan kita bukan hanya terhenti setakat ini dan sia-sia semata. Malahan, segalanya akan dijadikan bahan bukti untuk timbangan mizan di akhirat kelak.

“Barangsiapa yang inginkan dunia maka dia perlu berilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat maka dia perlu berilmu dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya maka hendaklah dia perlu berilmu.”

Akhir kalam, ketahuilah bahawasanya ilmu itu pembimbing dalam kita mengharungi kehidupan seharian. Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada ALLAH s.w.t dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedakah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat.

iman's note : Esok, mula berkhidmat sebagai ketua unit PISMP Sains Januari 2008, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka.

**imannurbalqis**

Read more

...Edisi Khas : NISA' KPM...

Tajuk : Pendidik – Penting dan Beruntung.
Penulis : Norzarina bt Kamarudin (PISMP Sains Jan 2008)
[Didedikasikan kepada insan-insan yang pernah mendidik saya sehingga ke hari ini, semua warga pendidik IPG KPM dan tidak dilupakan bakal pendidik keluaran IPG KPM]

jadi cikgu seni

Saban tahun kita menyambut Hari Guru iaitu pada 16 Mei. Tidak kiralah di peringkat sekolah, institusi mahupun kementerian, warga pendidik diraikan. Wajaran warga pendidik diingati dan dihargai adalah kerana sumbangannya pada pendidikan negara. Lantaran itu, “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” merupakan tema yang dipilih bagi sambutan Hari Guru kali ini. Satu tema yang memberi gambaran bahawa guru berperanan penting dalam menjana perubahan pendidikan di Malaysia khususnya. Tema ini turut memberi satu kepercayaan bahawa pelopor-pelopor profesion pendidikan merupakan pemain utama dalam menjana modal insan yang gemilang. Hal ini kerana profesion ini merupakan satu-satunya profesion yang terasnya merupakan pembentukkan manusia. Malahan, bidang pendidikan berperanan penting dalam menyediakan negara dengan modal insan berkualiti iaitu memiliki sahsiah terpuji, berkemahiran tinggi, serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis khususnya untuk mengisi arus pemodenan menuju Wawasan 2020. Harta paling berharga bagi sebuah negara adalah memiliki warga berkualiti yang disifatkan sebagai modal insan bagi memacu kegemilangan negara pada masa akan datang. Cabaran pembinaan modal insan juga terletak sebahagian besarnya di bahu pendidik yang terbabit dengan dunia pendidikan dan latihan dalam mengembangkan potensi, bakat dan kualiti generasi muda.

khusyuknya murid-murid 1 Berlian

Lantaran itu, kita sebagai bakal pendidik turut merasai betapa besarnya peranan seorang pendidik dalam pembentukkan generasi peneraju negara masa hadapan. Ini dapat dikesan menerusi matlamat, visi dan misi Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam menetapkan kayu ukur produk guru yang akan dihasilkan. Dalam mendepani cabaran pendidikan masa hadapan, bakal-bakal pendidik seharusnya mengambil inisiatif dalam memperkembangkan potensi diri ke arah yang lebih baik dan positif. Seharusnya, seorang pendidik perlu berfikiran glokal dengan mengadunkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai karenah yang harus dibendung secara lebih bijak dan berhati-hati. Bakal pendidik masa kini harus melihat kurikulum pendidikan secara dinamik. Selain itu, kita seharusnya bijak mentafsir kurikulum yang menjadi wahana penyampaian ilmu. Bagi masyarakat, kurikulum di sekolah yang menjadi intipati utama dalam pembentukkan generasi negara masa hadapan. Ini bertepatan denga Falsafah Pendidikan Negara iaitu "Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. ".

wah, ada nota tambahan pada tugasan yang diberikan (2 Delima)

Dunia hari ini membayangkan bahawa kerjaya guru semakin tidak digemari dan diletakkan sebagai pilihan yang terakhir apabila tiada peluang lain. Di sebalik persepsi itu, bakal-bakal pendidik harus sedar bahawa warga pendidik merupakan harapan utama bagi memastikan pembentukan jati diri anak didik yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat. Pelajar-pelajar yang dididik akan menjadi warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengetepikan nilai-nilai agama dan identiti diri yang sebenar justeru mampu bersaing dengan kepesatan dan 'kesesakan' dunia luar. Ini disokong berdasarkan apa yang dinyatakan dalam kitab karangan Imam Al-Ghazali yang begitu hebat pengaruhnya iaitu Ihya Ulum Al-Din dan Mizanul Amal iaitu “Wajib membetulkan niat murid-murid, maka wajib juga membetulkan niat guru, bahkan itu adalah lebih penting kerana ibadat mengajar lebih mulia daripada ibadat belajar.” lnsan yang berkemahiran dan berakhlak mulia adalah insan yang diharapkan mampu memanfaatkan ciptaan Allah untuk kepentingan manusia sejagat. Pada hakikatnya kecemerlangan sahsiah manusia adalah berasaskan kepada kesepaduan ilmu, amal dan iman. Tuntasnya, warga pendidik memainkan peranan yang utama lagi mulia dalam memindahkan dan mentransformasikan ilmu yang baik, meninggikan adab serta sikap murni yang diredhai Allah, memberi petunjuk ke arah jalan yang benar dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran kepada anak didiknya.

sewaktu sesi pengajaran berpasangan (5 Delima)

Justeru itu, bakal-bakal pendidik perlu sedar bahawa profesion yang dipilih ini mempunyai kepentingan yang tiada tolok bandingnya. Diriwayatkan dari Abu Darda’, Rasullah SAW bersabda yang bermaksud : “Manusia itu terbahagi kepada dua golongan. Pertama yang mengajar. Kedua, orang yang belajar, kemudian tiada yang lebih baik setelah itu (daripada keduanya).” [Riwayat Imam Darumi] Jika masih ada antara kita yang ragu dalam meneruskan profesion ini, maka kita termasuk dalam kalangan orang yang amat rugi. Hal ini kerana, kerjaya guru merupakan kerjaya yang paling beruntung kerana memperoleh dua keberuntungan dalam satu matlamat. Pertama, semasa di dunia kita dibayar gaji, dinaikkan pangkat, menerima anugerah dan dihormati oleh anak didik kita. Kedua, apabila kita bertemu ALLAH nanti kerana diberi ganjaran yang tiada tolok bandingnya, insyaALLAH dengan syarat kita sentiasa mengikhlaskan hati di dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik kita semata-mata kerana ALLAH. Oleh itu, yakin dan percayalah bahawa profesion perguruan ini adalah profesion menguntungkan, biarpun kita tidak sekaya mana semasa di dunia ini. Namun, kita adalah insan-insan yang beruntung.

baiknya anak murid teacher

Rasullah SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.” [Riwayat Imam Bukhari]. Perkataan ilmu yang bermanfaat itu termasuklah ilmu yang dicurahkan kepada anak didiknya. Betapa untungnya, sekiranya guru-guru yang telah mengajar lebih 20 tahun, jumlah pelajarnya telah mencecah ribuan malahan lebih daripada itu. Sudah tentu besar ganjaran yang bakal diterima kelak. Seperti yang digambarkan dalam sajak “Guru O Guru” hasil karya Usaman Awang dalam rangkap :

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

bersantai di lantai

Imam Ghazali pernah menyebut : “Sesiapa yang memperoleh ilmu kemudian memanfaatkan dan diajarnya kepada orang lain, diumpamakan seperti matahari yang bersinar dan menyinari orang lain. Ia juga laksana kasturi yang mengharumkan dan ia sendiri harum.” Ketahuilah bakal-bakal pendidik sekalian, selagi masih ada bakal-bakal pendidik atau warga pendidik yang masih merungut, mengeluh, berkira dan mempertikaikan setiap apa yang dilakukan tanpa ada rasionalnya, adakah tema “Guru Penjana Transformasi Negara” bertepatan? Jika kita bakal-bakal guru masih lagi sterotaip menyatakan kerja guru hanyalah sehingga 1.30 petang, adakah tema “Guru Penjana Transformasi Negara” itu mapan? Selagi masih ada dalam kalangan kita mempertikaikan hasil usaha dengan ganjaran yang diterima, apakah kita akan terus mengecapi nikmat dalam mendepani arus pendidikan masa kini? Ingatlah, selagi mana kita sebagai bakal-bakal guru tidak melakukan anjakan paradigma dalam pembentukkan sahsiah diri, pemikiran dan tindakan ke arah yang lebih positif, maka tempanglah transformasi negara yang ingin dikecapi. Sama-samalah kita koreksi diri dan lakukan perubahan dalam mengecapi erti kata sebenar “Guru Penjana Trasformasi Negara.”

nota terakhir buat 4 Berlian

iman's note : artikel yang dikeluarkan dalam keluaran buletin Nisa' Khas pada Sambutan Hari Guru peringkat Kampus Perempuan Melayu yang lalu. Teringin juga nak tulis artikel untuk keluaran majalah-majalah di pasaran.

**imannurbalqis**

Read more

...semester break : 1/2011...

"Being happy doesn't mean that everything is perfect. It means that you've decide to look beyond the imperfections."


Happy holiday to all IPGM's trainee teachers.

iman's note : Memorable Day. Tahun terakhir menyambut Hari Guru di kampus. Hari terakhir lagu IPPM berkumandang di Dewan Srikandi. Hari terakhir logo IPPM diguna. Selepas ini, lagu IPGM dan logo IPGM berkuatkuasa secara rasmi dalm semua urusan di kampus.

**imannurbalqis**

Read more

...misi cuti 1 : reading BOOKS...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua pembaca entry ana. Segala puji hanya bagi Allah S.W.T., Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan Maha luas ilmu pengetahuannya, yang dengan nikmatnyalah sempurna segala kebaikan dan keberkatan. Selawat dan Salam semoga dilimpahkan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan pertolongan Allah yeng telah memberi taufik dan hidayat serta dengan keizinannya, dapat juga ana mengisi laman sesawang ini dengan entry yang bermanfaat. InsyaALLAH.

hak milik kerajaan : rak buku
hak milik persendirian : buku-buku

Walaupun dah menjengah ke waktu pagi namun sepasang mata ini masih tidak mahu ditutup selepas siap mengemas bilik untuk ditinggal selama tiga minggu. Bilik perlu dikosongkan untuk dijadikan bilik penginapan bagi peserta-peserta Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) kali ke-IV. Jadi, kena la akur dengan arahan yang telah diberikan walaupun barang sangat banyak. Cukuplah dikosongkan kawasan meja belajar, kawasan cermin dan tempat menyimpan makanan untuk kegunaan mereka. Iyealah, status pelatih guru tahun akhir di kampus. Kumpul barang dari foundation sampai tahun yang kelima. Tak tau la macamana gayanya.(^_^) Dalam pada masa mengemas barang-barang berharga yang perlu disimpan, kemas sekali barang-barang yang nak dibawa balik ke rumah. Memang jenis ana bawa barang penting. Ada la dalam 3 beg. Opps, jangan salah sangka. 3 beg itu adalah beg galas, beg pakaian dan hand beg. Sampai ada yang kata, bawa balik nie jea ke? Sikitnya. Aish, takkan nak bawa barang balik banyak-banyak. Dah la, Dato' K tak mai datang ambil. Naik bus loncat-loncat. Pening la kepala bawa barang banyak-banyak. Lagipun kat rumah dah ada semua kelengkapan. Kita mesti sistematik bab-bab nie. Betul tak?

Ok, terus pada isi yang ana nak ceritakan. Dalam tengah kemas-kemas barang nak dibawa balik. Ana terpandang tempat yang mesti ana pastikan sentiasa kemas. Rak Buku. Hati kalau lara pun, bila pandang rak buku ini mesti rasa senang hati. Salah satu mission cuti ini ialah nak habiskan bahan bacaan yang dibeli dan tak dikhatamkan bacaannya lagi. Jadi, antara buku yang terpilih untuk diamati setiap aksara dan isi bukunya ialah :
1)
oleh John C. Maxwell

Harga: RM RM14.00 / RM RM16.00
ISBN-13: 978-967-369-092-3
Tarikh Terbit: 6 Apr 2011
Jumlah Muka Surat : 120
Kategori: Bantu Diri
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Sebab pemilihan : Short and precise. Buku ini memberi pandangan tentang cara untuk menjadi pemikir yang kreatif dari sudut dunia masa kini. Buku ini juga membongkarkan cara menggunakan potensi pemikiran kreatif, membangunkan idea dan belajar daripada pengalaman. Semua ini bagi memahami masa depan dengan lebih baik dan seterusnya menjadi insan yang berjaya. Ada 11 rahsia pemikiran semuanya, ana baru selesaikan dua rahsia "Berfikir Secara Big Capture" dan "Berfikir Dengan Fokus".

2)
oleh Shayuthy Abdul Manas

Harga: RM 16.00 / RM 19.00
ISBN-13: 978-9677-5137-13-6
Tarikh Terbit: 4 Aug 2008
Jumlah Muka Surat : 128
Kategori: Islam, Gaya Hidup, Politik & Sejarah
Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd

Sebab pemilihan : Suitable for me. Nak terlibat dalam politik ke?(^_^) Kalau diberi peluang, insyaALLAH. Namun sebab utama, buku ini dipilih adalah kerana suasana kepimpinan di kampus ana sekarang. Iyelah, di kampus semua warga pelatih gurunya perempuan. Walaupun sudah tiada taklifan di kampus namun ingin mereflek semula tanggapan masyarakat berkenaan kepimpinan wanita dalam Islam.

3)
oleh Andrea Hirata

Harga: RM 20.00 / RM 23.00
ISBN-13: 978-967-5783-57-9
Tarikh Terbit: 6 Apr 2011
Jumlah Muka Surat : 521
Kategori: Novel Dewasa Umum
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd

Sebab pemilihan : Profitable. Dua novel dalam satu harga. Jimat.(^_^)b Kalau orang yang kenal ana, memang ana suka baca novel. Ana banyak belajar bina pandangan dari bacaan novel. Lepas baca, ana buat kritikan atau ulasan tak bertauliah. Tak semua novel ana ambil, yang kena dengan jiwa jea. Lagipun, novel ini penulisnya adalah penulis novel Lasykar Pelangi. Ana bagi sedikit sinopsis novel ini :

Novel Padang Bulan bermula daripada kisah seorang gadis kecil berusia 14 tahun, Enong namanya, yang sangat gemar pada pelajaran bahasa Inggeris, namun secara mendadak terpaksa berhenti sekolah dan mengambil alih seluruh tanggungjawab keluarga.

Cinta di Dalan Gelas berkisah tentang perjalanan nasib Enong, melalui gaya khasnya - mentertawakan kepedihan, memparodikan tragedi, mengkritik tanpa perlu menjadi sarkastik. Kisah Enong menjadi seperti panggung dalam lembaran-lembaran kertas. Enong jatuh, bangun, jatuh lagi dan bangun lagi. Kisah Enong bukan sekadar kisah sebuah keluarga yang sederhana, namun kisah impian seorang anak kecil, kisah keberaniannya menjalani hidup dan kisah seorang lelaki yang menjadi berantakan kerana tragedi cinta pertama.

4)
Oleh Suhaimi Mamat (Pakcik Sains)

Kod Katalog : TBBK 1104
Kod ISBN : 978-967-5102-47-9
Jumlah Muka Surat : 176
Harga : RM23.00 / RM25.00
Penerbit : Telaga Biru

Sebab pemilihan : Becoming Science Teacher.(^_^)v Buku ini ana beli tahun lepas lagi sewaktu debaran menantikan peperiksaan akhir semester 5 tapi baru habiskan baca 30 eksperimen. Ada lagi 50 eksperimen yang tak dijengah lagi. Alhamdulillah, ada juga yang ana praktis waktu praktikum hari itu. Sangat best sebab praktikal. Sesuai untuk kanak-kanak dan juga cikgu sekolah.

5) Proposal Kajian Tindakan :
MENINGKATKAN TAHAP PENGUASAAN KPS MURID-MURID TAHUN 4 DENGAN KAEDAH AMALI DALAM TAJUK KEPERLUAN ASAS TUMBUHAN.
Oleh Norzarina Kamarudin

Jumlah Muka Surat : 22
Diluluskan setelah empat kali diperbaiki.

Sebab pemilihan : My responsibility. Memang kena jadi rujukan untuk buat instrumen bagi kajian tindakan yang akan dilaksana pada semester depan. Moga dapat diselesaikan dengan jayanya kajian tindakan ini dan dapat dibentangkan dapatannya dalam seminar dengan baik.

Itulah antara bahan bacaan yang akan dihabiskan waktu cuti tiga minggu ini. Mampu atau tak, jawapannya ada pada si pembaca.(^_^)Sebagai seorang bakal guru, seharusnya membaca itu menjadi satu kewajipan harian kita. Pilihlah bacaan yang sesuai dan memberi faedah pada kita kerana membaca juga perlukan masa. Jangan dibazirkan masa dengan membaca perkara yang tidak bermanfaat. Di sini ana ingin berkongsi fakta dengan kalian tentang tahap budaya membaca ummah Islam khususnya di negara-negera Arab berbanding negara Jepun dan Eropah. Statistik ini ana petik daripada Majalah Solusi keluaran Isu 18. Kajian ini telah dibuat oleh Dr. Raghib al-Sirjani. Hasil kajian beliau seperti berikut:

Jepun : 40 buah buku setahun
Eropah : 10 buah buku setahun
Arab : 20 HELAIAN BUKU SETAHUN!

Bagaimana pula di negara kita, Malaysia sebuah negara Islam di rantau Asia Tenggara. Kajian yang telah dibuat pada tahun 2005 menunjukkan budaya membaca dalam masyarakat kita ialah 2 BUAH BUKU SETAHUN! Jenis-jenis bacaannya pula seperti berikut:

Surat Khabar : 77.4 %
Majalah : 3 %
Buku : 3 %
Komik : 1.6 %

Nah, apa yang dapat anda simpulkan tentang perkara ini? Sepatutnya, dalam kalangan umat Islam budaya membaca ini adalah perkara yang paling tinggi dan perlu dititikberatkan. Ini kerana wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ialah berkaitan dengan perintah MEMBACA.

Firman Allah (maksud):
"Bacalah dengan nama Rabbmu yang telah menciptakan" (al-'Alaq:1)

Namun, yang paling penting sekali, tadabbur Al-Quran wajib untuk dilakukan setiap hari. Sekiranya, waktu belajar tak sempat habis satu juzu', takkan cuti tiga minggu tak boleh habiskan. Kalau tak mampu, bacalah kalimah-kalimah suci dari ALLAH itu. Moga kita dapat membina hubungan dengan ALLAH. InsyaALLAH, kita cuba semampu mungkin untuk mengisi hari-hari cuti dengan perkara yang berfaedah.

ruang sebelah kanan

ruang sebelah kiri

iman's note : Kepada peserta SIPMA yang mendiami bilik CS-G-10 di blok kediaman Cempaka Sari, anda dibenarkan untuk membaca buku-buku yang ada di rak saya. Namun, sila jaga dengan baik keadaan bukunya dan letak semula ditempatnya. Tidak dibenarkan untuk membawa pulang. Saya sayang buku-buku saya.

**imannurbalqis**

Read more

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails