.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

...tudung saji Ramadhan : 1...

Assalamualaikum w.b.t buat semua sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Segala puji dan puja kita tujukan hanya untuk Allah s.w.t, Rabb dan Ilah yang berhak dan wajib disembah. Di dalam kekuasaanNya terletak segala daya dan upaya. Tidak ada kekuatan selain dari kekuatanNya. Hanya kepadaNya kita memohon dan bergantung harap. Hanya dengan keizinan dan perkenanNya jua kita masih dipertemukan. Ana doakan antum semua sihat walafiat. syukur ana panjatkan pada ALLAH s.w.t dengan nikmat yang diberikan kerana ana dapat merasai nilai sebenar nikmat anugerah dari ALLAH.


Alhamdulillah, dengan kekuasaan Maha Pencipta juga kita dapat berada dalam bulan yang sangat dirindui dan diberkati ini. Ramadhan. Satu bulan yang serinya penuh pahala dan ganjaran kebaikan sehingga tidak boleh dibandingkan kelebihannya dan keistimewaannya. Dalam sedar atau tidak, kita sudah masuk hari kedua berpuasa. Tinggal lagi 28 hari untuk menyempurnakan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Ana bersyukur kerana bulan Ramadhan tahun ini Allah s.w.t berikan kelainan untuk ana menyempurnakannya. Sekiranya hati berasa hiba sudah masuk tahun keenam ana tidak lagi dapat menikmati bukan Ramadhan dengan insan yang bergelar ibu, kini Allah s.w.t anugerahkan ana untuk berpuasa bersama dengan insan yang sentiasa ada di hati iaitu zauji yang dicintai. Alhamdulillah, begitu banyak kelainan dan bezanya. InsyaAllah abang, ina akan terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Sehari sebelum Ramadhan zauji ada hantar mesej menyatakan betapa rindunya dia pada Ramadhan. Hal ini buat ana terdetik di hati. Allahu Rabbi, betapa istimewanya nilai Ramadhan bagi zauji sehingga menyatakan hasrat Ramadhannya pada ana. InsyaAllah, selagi ada daya ana sentiasa doakan agar zauji diberikan kekuatan untuk menyempurnakan hasratnya. Banyak juga perkongsian yang dikongsikan tentang Ramadhan. Sehinggakan pesanan Tuan Guru nya juga disampaikan pada ana. Katanya, Ustaz Mutalib pesan dalam setahun sekurang-kurangynya 2 kali kita khatam Al-quran. Sekali dalam tempoh Syawal sehingga Syaaban dan sekali lagi dalam sebulan Ramadhan. Ramadhan bulan Al-Quran. Alu-alukan kehadirannya dengan membaca Al-Quran. Paling suka dengar bacaan Al-Quran zauji. Ada tenang di situ.

Bercerita tentang Ramadhan, ramai ada pandangan dan cara tersendiri untuk memeriahkannya. Ada yang mengambil peluang untuk bersahur dan berbuka bersama keluarga, ada yang menghabiskan sehari satu juzuk Al-Quran, ada yang cuba untuk berterawih dengan 20 rakaat di 30 tempat yang berbeza, ada juga yang menjalankan tahajud dan qiamulail saban hari dan ada juga yang menyempurnakan segala ibadah sunat setelah istiqomah dalam ibadah fardhu. Namun, masih ada juga menjadikan Ramadhan sebagai bulan 'side-income', ada juga yang menjadikan alasan penat untuk tidak berpuasa, ada juga yang gantung periuk dan kuali kerana mengimarahkan bazaar Ramadhan. Masing-masing punya cara untuk menghadapi Ramadhan. Ramadhan masih sama. Bulan yang 'wajib' untuk ditempuhi walau suka atau tidak. Antara pemikiran yang ditanam sehingga menjadi pegangan generasi. Allahu Rabbi.


Kualitinya Ramadhan ada pada diri kita sendiri. Ketahuilah, setiap apa yang dilakukan pasti akan dinilai pada pandangan mata Allah s.w.t. Analogi mudah, jika kita beli barangan tak kira mahal atau murah pasti kualitinya yang kita akan perhatikan sebelum dibayar di kaunter. Begitunya dengan puasa. Allah s.w.t akan menilai kualiti puasa kita sebelum diberikan cop sirim yang menyatakan puasa kita berkualiti bukan hanya berkuantiti. Orang miskin atau kaya yang berpuasa penilaiannya bukan pada mahal atau banyaknya makanan berbuka tapi sejauh mana 'puasa'nya dijalankan. Puasa nafsunya, puasa sifat-sifat mazmumahnya, puasa pandangannya, puasa pendengarannya, puasa penglihatannya. Bukan sekadar puasa lapar dan dahaga yang dituntut dari segi istilah semata-mata. Kadang-kadang dengan megah kita mengaku kita berpuasa. Namun, masih lagi mengumpat, melihat perkara-perkara yang tidak bermanfaat, melangkah ke tempat maksiat atau melakukan perkara lagha seperti hari-hari biasa. Tiada istimewa baginya Ramadhan ini.

Ibrah Ramadhan yang jarang disedari oleh kita. Allah s.w.t ajarkan kita untuk berpuasa selama sebulan adalah untuk mengajar mereka yang mengerjakannya mengenal erti kesusahan dan keperitan manusia lain yang tidak makan dan tidak minum saban hari. Jika sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran kita akan penderitaan mereka, jadi melalui puasa kita akan muhasabah diri kita untuk banyak bersabar di samping mendekatkan diri kepada Maha Pencipta bagi memanjatkan kesyukuran. Manusia sentiasa alpa tentang orang di sekeliling mereka. Kebanyakkan daripada kita suka membandingkan diri dengan orang yang mendapat lebih nikmat dari memandang orang yang lebih susah daripada kita. Hal yang ingin dididik dalam diri kita ialah erti SYUKUR. Banyak dari kita yang tersungkur dari bersyukur. Mula untuk menyalahkan rezeki atau nasib bila ditimpa musibah. Sedangkan ada orang yang lebih susah daripada kita.

Islam tidak mensyariatkan sesuatu selain pasti mengandungi hikmah. Dalam ibadah puasa terdapat sejumlah hikmah yang perlu dicari dan difahami. Ketahuilah, berpuasa menjadi tazkiyatun nafs (pembersih jiwa) apabila kita mematuhi perintah Allah s.w.t., menjauhi segala laranganNya dan melatih diri untuk menyempurnakan ibadah kepada Allah s.w.t semata. Di samping, menyihatkan badan berpuasa dapat mengangkat aspek kejiwaan dalam diri kita. Puasa merupakan pembinaan atau tarbiyah bagi kehendak nafsu, jihad bagi jiwa dan pembentukkan bagi kesabaran. Lebih besar lagi, hikmah berpuasa dapat mengangkat darjat taqwa seseorang. Firman Allah s.w.t dalam sebuah hadith Qudsi, " Sekiranya hamba-Ku mengetahui apa yang tersembunyi dalam bulan Ramadhan, pastilah mereka mengharapkan setahun penuh itu adalah bulan Ramadhan."


Masih ada lagi masa untuk mengubah suasana Ramadhan kita ke arah yang lebih baik dari tahun-tahun dulu. Jangan biarkan Ramadhan kita berlalu tanpa makna kerana adakah Ramadhan tahun akan datang masih untuk kita? Rebutlah peluang yang ada di hadapan mata. Di saat kita mensia-siakan nikmat yang diberi percuma pasti kita akan menyesal di saat kita kehilangannya sekelip mata. Sambutlah pemberian Allah s.w.t ini untuk mendapatkan keredhaan dariNya. Muhasabahlah, Allah s.w.t menjanjikan keampunan kepada hamba-Nya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh.

"Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani. Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di taman Ramadhan-Mu. Agar dapat kami jadikan jambangan untuk bekalan kami menuju ke Syurga-Mu kelak. Ameen Ya Rabbal A'lamin."

iman's note: Kalau dulu di kampus pasti merancang hari ini nak beli menu apa. Bila dah berkeluarga, menu apa pula nak masakkan untuk zauji. Ada kenikmatan bila melihat orang yang tersayang makan makanan yang dimasak dengan berseleranya. (^_^)

**imannurbalqis**

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails