Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi dan langit. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul. Bersyukur juga ke hadrat ILLAHI kerana diberi ruang dan kekuatan untuk mencoret sesuatu di laman ini sebgaai permulaan untuk bulan September ini. Moga ada perkara yang boleh dikongsi bersama dan ini akan menjadi antara sumber untuk menambah timbangan pahala di akhirat kelak. InsyaALLAH. Alhamdulillah hari ini sudah 11 Syawal. Tahniah kepada sahabat-sahabat yang sudah menghabiskan puasa 6 yang disunatkan selepas Aidilfitri dan yang baharu untuk memulakan ibadah sunat ini didoakan kalian diberi kekuatan untuk meneruskannya.
Namun begitu, ana masih lagi tidak dapat menjalankan misi Syawal yang memang ingin ditunaikan ini. Setelah pulang ke kampus, terus diberikan nikmat sakit sehingga hari ini. Minggu ini merupakan minggu kuiz untuk subjek EDU 3108 & EDU 3109. Di samping itu, tugasan kerja kursus pendek yang perlu diselesaikan dengan kadar yang segera membuatkan sistem biologi ana makin tidak teratur. Mana tidaknya sudah 5 hari demam + selsema + batuk + sakit tekak. Bermula dengan sakit-sakit badan dan demam sehingga tidak dapat tidur malam akibat panas dan kepala yang berdenyut-denyut, hari ketiga diuji dengan sakit tekak dan suara yang menyebabkan tidak selera untuk makan. Rasanya waktu itu mahu dikeluarkan anak tekak dan dibasuh dengan dettol, biar cepat sembuh. Hari keempat pula disusuli dengan batuk yang tidak henti-henti sehingga menyebabkan terasa sakit seluruh badan ketika batuk. Waktu itu, cara menyelesaikannya hanyalah minum ubat batuk dan tidur. Itu sahaja yang termampu. Ubat pula hanya akan dimakan selepas waktu kuliah kerana takut menganggu sesi P&P dan kuiz yang dijalankan. Siangnya hanya rehat dan malam pula mula menyelesaikan tugasan dan membuat ulangkaji hingga ke pagi bertemankan sweater, air panas dan sekotak tisu. Pergi ke klinik untuk rawatan, dapatkan ubat lain di farmasi (first time makan ubat batuk perisa chocolate vanilla), mencuba petua ayah (makan buah laici untuk hilangkan sakit tekak & elokkan suara), sebelum tidur makan madu asli yang diberi oleh ustazah dan kuarantin ais + makanan berminyak semuanya telah dilakukan demi dapatkan nikmat sihat.
5 hari yang cukup menguji kesabaran, kekuatan fizikal dan mental malah banyak memberi sentuhan pada hati untuk terus koreksi kelemahan diri ini sehingga menahan sakit dengan air mata. Walau bagaimanapun, tidak ALLAH jadikan sesuatu itu sia-sia. Rasulullah pun melarang untuk mencela penyakit. Ketika Ummu Saib sakit demam dan mencela penyakit yang menimpanya, Nabi bersabda. “Janganlah kamu mencela demam. Kerana sesungguhnya demam itu mengikis kesalahan anak cucu Adam sebagaimana bara api mengikis karatnya besi.” (HR. Muslim). Macam-macam perkara yang ana nilai dan cuba untuk mencari sesuatu yang dapat dipelajari dari nikmat sakit ini. Mana tidaknya waktu ini merupakan waktu genting tatkala kerja kian bertambah, deadline kian hampir, semuanya minta dihadap dan dipenuhi. Benarlah apa yang dikata oleh sahabat ana yang datang melawat ana di bilik, bila ALLAH menduga kita itu tandanya ALLAH sayang dan ingat pada kita. Alhamdulillah, terima kasih atas nikmat ini ya ALLAH kerana banyak ibrah yang didapati secara percuma.
Rasulullah pernah bersabda, “Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menjalankannya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula.” (HR Muslim)
Dalam hadith ini Rasulullah menjelaskan dua keadaan yang ada dalam diri manusia iaitu kesenangan dan kesedihan. Dua keadaan itu dapat membezakan mana yang termasuk orang mukmin dan orang yang tidak beriman . Mukmin selalu bersyukur ketika mendapatkan kesenangan dan selalu bersabar ketika mendapatkan musibah.
Dalam masa ana sakit dan dihimpit dengan kesibukkan yang bertimpa-timpa, banyak hikmah yang ana pelajari. Sakit yang dianugerahkan ini dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.
“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”
(HR. Bukhari-Muslim)
Sangat indah pengajaran yang ALLAH bagi, subhanallah. Dalam sebuah buku yang berjudul Yasalunaka fi al-Dinwa al-Hayat dan dikutip dalam Tabloid Syiar, Dr. Ahmad al-Syurbasi, beliau menulis lima hikmah sakit yang dialami manusia.
Pertama, sakit adalah ruang untuk manusia berehat. Ketika sakit, memang kita tidak dapat berbuat apa-apa. Terlantar sahaja. Namun hikmahnya, organ-organ yang membantu kita berkerja selama ini cuba untuk mendapatkan rehat yang cukup. Umpama enjin yang terlalu lama hidup akan jadi panas. Ia perlu diberhentikan sekejap untuk sejuk dan kemudian dihidupkan kembali. Biarkan badan dan emosi kita haknya, iaitu rehat yang cukup.
Kedua, sakit merupakan pendidikan. Ketika seseorang mengalami sakit parah, dia akan menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan. Biar apapun, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia bisa kembali pulih seperti biasa, menjalani kehidupan normalnya.
Ketiga, sakit merupakan teguran dari Allah s.w.t. Barangkali kita alpa dengan sesuatu dan asyik dengan sesuatu sehinggakan terabai dalam menjaga hubungan kita dengan Dia. Ketika sihat, seolah-olah tidak beringat dengan kesakitan. Ketika kaya, seolah-olah lupa pada yang kurang upaya. Ketika terlalu seronok, tidak endah pada kesengsaraan orang lain. Ketika berkuasa, seolah-olah dialah yang paling gagah perkasa. Manusia mudah lupa! Saat ini kita merasai apa yang mereka rasa. Ingatlah lima perkara sebelum lima perkara. Kita diuji dengan apa yang kita cakapkan dan kita diuji dengan apa yang kita lakukan.
Keempat, sakit memberikan kesempatan untuk bertaubat dan menghapus dosa. Ruang ini selalu menjadikan manusia berfikir kembali dan bermuhasabah dengan tindak-tanduknya sendiri. Jarang sekali kita dapat bermuhasabah tatkala hati dilonjak gembira. Jadi, inilah masa yang ideal agar dapat kita toleh kembali kesilapan dan seterusnya bertaubatlah pada yang Khaliq. Mohonlah sesungguhnya agar segala dosa kita diampun Tuhan. Dan merayulah pada-Nya agar kita dimudahkan segala urusan yang membelitkan, diberi kesenangan dan kesihatan tubuh badan. Dalam hadis ada diterangkan,
“Tidaklah seorang muslim tertimpa keletihan, sakit, kebingungan, kesedihan dan kekusutan hidup, atau bahkan tertusuk duri, kecuali Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Muttafaq Alaih).
Kelima, sakit juga memberikan kesempatan untuk memperbaiki hubungan keluarga dan sosial. Ketika seseorang itu sakit, maka akan ada kerabat dekat akan semakin dekat, kerabat jauh akan menjadi dekat dan yang kenal akan semakin akrab. Ketika si anak kurang sihat, ibu dan ayahnya yang menjaga dan memelihara kesihatan anaknya. Pun begitu, sekiranya ayah atau ibu kurang sihat, si anak akan kembali kepada orang tuanya dan memberikan keprihatinan yang optimum untuk membalas kembali jasa mereka. Di samping itu, ana belajar erti kasih-sayang kerana ana cukup terjaga di waktu ini. Thanks to my dear Dad yang akan call ikut waktu makan ubat untuk pastikan ana makan ubat, my siblings (usop, acik & ikah) yang hari-hari call tanya perkembangan, my roommate (hanis) yang selalu ingatkan makan ubat, bacakan ayat suci al-quran, temankan pergi farmasi, my neighbbours (aminatul&ima) yang hari-hari datang urutkan kepala dan bagi ubat, my friends yang datang melawat dan bagi sokongan, my juniors yang send message ingatkan jaga kesihatan, ustazah yang berkongsi amalan makan madu. I love you all! Thanks for other’s support! (^_^)
Alangkah Besarnya dan Mulianya ALLAH S.W.T yang menjadikan begitu banyak hikmah sakit daripada hanya satu sakit. Akan tetapi jarang sekali kita fikir-fikir dan renungkan. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kita tidak tahu. Ketahuilah, ujian ALLAH datang dalam pelbagai bentuk. Sakit, kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang dan kegagalan dalam peperiksaan. Dahulu ana melihat orang lain sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Sebenarnya, itu tanda ALLAH sayang pada kita. ALLAH mahu menguji hambaNya supaya kita bersabar dan bertawakkal kepada Nya. Namun, kebanyakkan dari kita tidak mengenal ALLAH dan memahami hikmah di sebaliknya, meskipun demikian ALLAH tetap menyayangi kita tanpa mengurangkan hatta seinci pun nikmat harian yang biasa kita kecapi dalam kehidupan seharian kita. Allahuakbar. Malunya rasa. Moga ibrahnya kita ambil bersama.
iman's note : Takziah buat sahabat yang dikuarantinkan kerana demam denggi dan junior yang terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari program PDK. Moga kalian cepat sembuh.
**imannurbalqis**