Puteriku,
Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang isteri dan seterusnya bergelar seorang ibu. Usahlah engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu adalah untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau mengidamkan bakal suamimu sehebat Sayidina Ali r.a., jadilah dirimu semulia Fatimah al-Zahra'. Aku nukilkan kata-kata Asma' binti Kharizah r.ha. diriyawatkan bahawa dia telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya:
"Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suamimu. Jadilah engkau tanah bagi suamimu (dengan mentaati perintahnya)dan ia akan menjadi langit bagimu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebaninya dengan pelbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan dia meninggalkanmu. Kalau dia mendekatimu, dekatilah dia dan jika dia menjauhimu maka mauhilah dia dengan baik. Peliharalah bebar-benar suamimu itu akan hidungnya, telinganya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula dia mendengar melainkan yang enak dan janganlah dia melihat melainkan yang indah sahaja daripada dirimu."
Kehidupan berumah tangga adalah amanah sebenarnya. Bukan sekadar perkongsian kebahagian semata-mata, malah berkongsi segala-galanya sehinggalah manusia menyedari tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri. Taatilah suamimu dalam takwamu terhadap Allah. Janganlah sesekali engkau menderhakai suamimu.
Ingatlah wahai puteriku,
Sesungguhnya Baginda Rasullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita."
Rasullah s.a.w ditanya, "Mengapa demikian wahai Rasullah?" Jawab Baginda s.a.w, "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."
Usahlah engkau berasa pilu dengan pengkhabaran-pengkhabaran tadi. Persiapkanlah dirimu kerana walaupun kebanyakan penghuni neraka adalah dalam kalangan wanita lantaran mereka daripada golongan wanita-wanita yang jahat. Namun masih ada ruang untuk wanita mendapat syurga. Jadilah wanita yang baik. Jadilah wanita yang mentaati perintah Allah dan suaminya. Jadilah wanita yang menjadi ibu yang baik.
(petikan cerpen Warkah Buat Puteriku, penulis: Ustaz Ahmad Tarmizi Ismail. Sumber: Majalah Fardhu Ain, Edisi 9)
iman's note: Dengan izin-Mu, Ya Allah, bimbinglah daku menuju ke syurga-Mu. 8 sudah~
**imannurbalqis**