.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

...kehadiran MU di nanti...

In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

Ana berdoa kepada ALLAH, agar kita sama-sama sihat dalam nikmat IMAN dan ISLAM yang dihadiahkan oleh ALLAH SWT kepada kita. Alhamdulillah, pagi 1 Ramadhan yang cukup menyegarkan dan nyaman. Apa khabar iman dan hati kita? Apa khabar puasa pertama kita hari ini? Semoga segala urusan kita dipermudahkan oleh ALLAH s.w.t. Ana dahulukan coretan 1 Ramadhan ini dengan azam untuk mempertingkatkan amal ibadah kepada ALLAH dan terus istiqomah pada masa akan datang dengan niat hanya kerana ALLAH s.w.t. Sememangnya kehadiran Mu di nanti ya Ramadhan seumpama si ibu atau si ayah menanti kehadiran anaknya.


Madrasah Ramadhan merupakan musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW biasa berdoa bermaksud, ‘Ya Allah berkati kami dalam Rejab dan Sya’aban dan sampaikan kami Ramadhan.’ (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad). Apabila sampai Ramadhan para sahabat saling mengucapkan Ahlan wa sahlan ya Ramadhan’ bererti selamat datang Ramadhan!

Berpuasa Ramadhan bertujuan menambahkan Taqwa. Taqwa ialah kekuatan dalaman anugerah Allah untuk manusia berhadapan dengan fitnah hidup ini dengan selamat hingga ke akhirat. Kesannya mendalam hingga ke Ramadhan akan datang. Rasulullah telah menjanjikan kita dengan sabdanya, “Solat yang lima. Jumaat hingga Jumaat, dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim),

Hati dibersihkan dari dosa dan nafsu dapat dijinakkan. Asalnya nafsu berguna untuk mengurus diri dan alam keliling. Dengan nafsu manusia sukakan kebersihan, keindahan, makan minum, dan berkeluarga hingga berkembang biak memenuhi bumi. Namun, nafsu mudah menjadi liar hingga membahayakan diri dan alam. Betapa kecantikan terjebak kepada kelucahan. Urusan makan minum menjadi perebutan harta dan takhta. Kesihatan, kekuatan dan kemudaan sering disalahgunakan hingga tergadai usia muda kerana lupa kepada Allah. Di saat syaitan dan iblis dirantai, ketika itu nafsu cuba menyelubungi. Lantaran itu, setiap dari kita perlu ada senjata dan perancangan untuk mengelolakannya.

Berlapar penting untuk menjinakkan nafsu. Itu adalah peraturan Allah yang Maha Mengetahui. Apabila berpuasa mengikut sunnah Rasul SAW, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim lebih teliti dalam tindak tanduknya. Selain berlapar, berpuasa ialah menahan diri daripada perkara yang berdosa, tidak bermoral dan sia-sia. Berpuasa pada perut ialah tidak makan, berpuasa pada Iidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat. Berpuasa telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbuatan lucah. Berpuasa mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat, atau memandang seseorang dengan marah.

Nabi bersabda, “Bukanlah puasa itu semata-mata meninggalkan makan dan minum tetapi puasa ialah meninggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong. Jika sesiapa dimaki atau diperbodoh oleh seseorang katakanlah;’Saya berpuasa, saya berpuasa”(Riwayat lbnu Khuzaimah dan lbnu Hibban).

Menurut hadith ini, orang yang berpuasa perlu kuat bersabar apabila dalam situasi genting atau bertelingkah. Disebutnya, ‘Saya berpuasa’ beberapa kali untuk mengingatkan diri agar tidak merosakkan pahala puasa. Puasa begitu penting dijadikan latihan mengubah sikap hingga Rasulullah mengingatkan kita, “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dan amalan sia-sia maka Allah tidak memerlukannya meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari).

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Puasa Ramadhan menjanjikan perubahan bagi mereka yang mengisi masa dengan kebaikan dan ibadah. Kesemua amalan dibuat dengan penuh ilmu dan faham. Membaca al-Qur’an ialah membaca perintah dan hukum Allah. Tarawih ialah merehatkan hati dengan mendengar bacaan qari mengimami solat tarawih itu. Bertaubat ialah menyesali dosa dan ingin berubah menjadi taat. Beribadah pada Lailatul Qadar membawa keampunan dan kebajikan yang kekal seumpama seribu bulan. Beriktikaf ialah mengasingkan diri di dalam masjid dengan mengimbau kesalahan Iampau untuk membaiki diri dan umat. Zakat fitrah ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang melimpah, hingga ingin dikongsi kepada orang yang memerlukan. Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata: “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya: “Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata: ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke Syurga dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang jika disebut namamu namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’.” (Riwayat Imam Al-Bukhari).


Pada akhir Ramadhan, orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi orang baru kerana berjaya membuang segala kelemahan diri. Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah. Alangkah gembiranya jika Ramadhan itu sepanjang tahun. Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari r.a, katanya,’Rasulullah SAW bersabda;’Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan, nescaya umatku berangan agar setahun itu kesemuanya Ramadhan.’ (Riwayat Ibnu Khuzaimah).

" ya RAMADHAN sememangnya KEHADIRAN MU ku nanti"

**imannurbalqis**

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails