Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua pembaca blog ana. Selamat pagi Jumaat yang indah dan ceria. Nikmati hari-hari cuti yang tinggal berbaki beberapa hari lagi dengan sebaiknya sebelum kita melangkah ke kampus untuk meneruskan kuliah dengan sikap optimis dan rasional. Alhamdulillah, ruang masa yang ada ini ana ambil kesempatan untuk mencoretkan sedikit perkongsian melalui pengalaman bersama adik-adik ana di rumah.
didikan dari kecil
Alhamdulillah, harapan ana untuk buka pustaka sendiri di rumah telah terlaksana apabila ayah ana mengizinkan untuk menggunakan bilik adik lelaki ana sebagai tempat simpan buku. Memang ana jenis seorang yang sayangkan buku sehingga buku ana yang ana dapat sewaktu tadika di Kelantan pun masih tersimpan dengan baik sehinggakan adik-adik ana marah kerana terlampau banyak buku yang tidak boleh digunakan lagi masih tersimpan. Tidak kiralah buku apa sekali pun, tetap ana simpan. Lebih-lebih lagi buku yang ana gunakan untuk ana belajar. Sampaikan waktu melakukan proses pembersihan dan kemaskini pustaka, ana tidak dapat menahan perasaan sedih apabila buku-buku itu terpaksa dilupuskan. Sedih sangat.
Adik ana kata ana ini memang dah kena suap dari kecil dari buku. Kawan-kawan ana kat kampus memang tahu kalau ana keluar kedai buku mesti ada saja buku yang akan jadi hak milik ana. Ayah ana siap buat pesan lagi suruh buat perancangan kewangan untuk pembelian buku sahaja. Bila ana habis belajar tingkatan 5 baru ana disiplinkan diri, 1 buku 1 bulan. Tapi bila elaun keluar, tak tahan juga nak beli cukupkan bilangan sebelah tangan. Alasannya adalah stok untuk bulan-bulan akan datang. Alhamdulillah, ana berminat untuk baca semua jenis bacaan yang ada. Pernah juga ana cuba untuk download bacaan-bacaan maya tapi ana ini mungkin jenis klasik. Tak boleh nak fokus dengan bacaan yang interaktif ini perlu juga dicetak dan menjadi koleksi. Sampai pembungkus nasi lemakpun boleh ana jadikan bacaan sambil-sambil makan. Belian 2 in 1. Makanan dan bacaan. Kalau tak mampu nak beli sendiri pun ana akan pinjam di perpustakaan atau milik persendirian orang lain.
Satu perkara yang ana nak kongsi di sini, kalau rajin beli tapi tak rajin baca tak guna juga. Ana ingat lagi bila arwah mak ana takut-takutkan, kalau nasi makan tak habis nanti kat akhirat akan datang tuntut sebab nasi kan rezeki. Sama juga dengan buku, kalau baca tak habis nanti kat akhirat akan datang tuntut sebab dalam buku ada ilmu. Memang menjadi betul hasil takutkan arwah mak ana. Alhamdulillah, buku yang dibeli pasti dihabiskan bacaannya sebelum beli yang baharu. Ana juga bukan jenis yang baca buku sekali banyak. Ana akan habiskan satu persatu. Yang paling ana suka, bila perangai ana ini jadi ikutan adik-adik ana. Ana akan agih-agihkan buku apa yang mereka perlu beli. Boleh kongsi dan baca sama-sama. Ayah kata ana bijak gunakan peluang dan ruang sebab sekarang ini waktu elaun tak masuk. Jadi, kena harapkan orang lain.
Selain ada pustaka baharu ini, satu hobi baharu yang ana dah tambah dalam list ialah sejam sebelum tidur kena baca. Tak kiralah satu bab atau satu halaman atau satu ayat. Pembaca sekalian, ingin ana mengajak kalian bersama ana dalam mengenang kembali bagaimana Insan Agung , junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang menerima perintah pertama dari tuhanNYA.
sebaik-baik bacaan adalah AL-QURAN
‘’IQRA’!’’ perintah Jibril kepada Nabi.. Ana ummi..’’ jawab Rasulullah ketakutan .. Lalu malaikat Jibril menarik dan mendakap nabi S.A.W sehingga nabi kepayahan untuk bernafas.
’IQRA’!’’.. perintah Jibril sekali lagi membuatkan Rasulullah menggigil penuh ketakutan.. Dengan penuh gementar nabi menjawab ‘’aku tidak tahu membaca!’’
’IQRA’!’’ seruan ketiga Jibril kuat membuatkan nabi hampir pengsan di dalam Gua Hira’.
Aku tidak tahu membaca’’!jawab Rasulullah penuh gementar dan penuh keringat nabi menghadapi perintah itu. Lalu malaikat Jibril menarik dan mendakap nabi S.A.W sehingga nabi kepayahan untuk bernafas. Bayangkan, bagaimana keadaan Rasulullah yang mulia dan ummi ketika itu. Rasulullah menggigil tidak keruan, baju baginda dibasahi peluh. Peristiwa yang menakjubkan dalam hidup baginda dan pastinya terselit seribu makna dan hikmah besar buat kita ummat nabi S.A.W.
Ana ingin mengajak sahabat semua berfikir mengapa perintah membaca itu disampaikan kepada nabi S.A.W yang ummi, tidak tahu membaca, tidak mengenal huruf sekali pun. adakah Allah itu tidak mengetahui bahawa Muhammad itu tidak tahu membaca? Sesungguhnya Allah itu maha Mengetahui. Sudah tentu Allah lebih mengetahui tapi mengapa disuruh juga membaca kepada baginda yang Ummi. Perintah itu dilakukan banyak 3 kali dan buat yang ketiga kalinya Jibril menarik dan mendakap nabi S.A.W sehingga nabi merasa kepayahan untuk bernafas lalu dilepaskan nabi dan Jibril berkata:’ Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah,dan Tuhanmulah yang paling pemurah,yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak ia ketahui. Sedarlah dan fahamlah bahawa Allah menyeru kita membaca dengan namaNya tuhan yang menciptakan, Allah memerintahkan kita membaca dengan mata hati, bukan sekadar dengan mata kepala. Lihatlah. Bacalah dengan mata hati bahawa Dialah Allah yang menciptakan dirimu.. Lihatlah apa yang berada disekelilingmu, bacalah apa yang ada di sebalik cahaya mentari itu,siapa yang Maha Bercahaya, Dialah Allah. Siapa yang maha Lembut di sebalik cahaya bulan yang lembut itu. Dialah Allah. Tapi selama ini. mata hati kita buta, kita tidak dapat melihat Dia di sebalik penciptaanNya yang amat sempurna. Kita tidak membaca dengan namaNya. Hanya membaca ketika keperluan dan keterpaksaan bukan untuk diamalkan dan dijadikan panduan.
Mata hati kita buta dari melihat Dia Allah yang maha Sempurna. Lalu jauh dari perintahnya yakni baca dengan namaNya dan sujud patuh beribadah kepadaNya. Lalu lihatlah, berapa ramai yang baca dan terus membaca hari ini tetapi menyimpang jauh daripada Allah. Apa yang dibaca sehinggakan tidak boleh mengenal tuhanNya. Disebalik IQRA’. Berapa ramai pada hari ini buta dan terus kekal buta mata hatinya kerana tidak tahu erti sebenar di sebalik perintah IQRA’ itu. Teringatkan tentang satu kisah Salman Al-Farisi r.a., di dalam satu musafir bersama beberapa org sahabatnya. Ketika berhenti di sebuah tasik, beliau menghampiri salah seorang drpd sahabatnya yg baru selesai meneguk air drpd tasik itu dengan bertanya, “Adakah air yg kamu minum mengurangkan air di dalam tasik ini?”
“Sudah tentu tidak, apakah yg mampu dilakukan seorang lelaki seperti aku ini utk mengurangkan jumlah air di dlm tasik ini hanya dgn meneguknya sedikit?” balas sahabat itu tadi. Salaman r.a. berkata, “Begitu jualah halnya dgn ilmu. Ambillah daripadanya setakat mana yg kamu perlukan, dan tinggalkanlah yg selebihnya.”
sedang mencari buku ini
Kita harus ingat, dan perhatikanlah kalimah ini ‘’bacalah dengan nama tuhanmu yang menjadikan. Setiap yang dibaca perlu dilihat sebagai ilmu untuk mengenal Dia.
setiap yang dilihat perlu difikirkan dan dikaitkan dengan kejadianNya yang maha sempurna. Bukan sekadar membaca dan hanya membaca tanpa merasa bertuhan dan tiada rasa kehambaan dan akhirnya jauh dari Dia yang menciptakan diriku jua dirimu.
Subhanallah. Tidak kira bacaan apa sekalipun ianya info kesihatan kerana ilmu manusia hanya bagaikan setitis air dilautan.
Perintah pertama buat nabi S.A.W adalah didikan dari Allah untuk kita ummat akhir zaman agar kita mengenal Dia dan kembali tahu dari mana asalnya kita agar kita jadikan Dia sebagai panduan untuk kita membaca tentang kehidupan ini. SubhanAllah.
Sambutlah seruan agung ini. Bacalah .bacalah. bacalah dengan nama tuhanmu. Bacalah dengan mata hati agar Dia kembali merajai dan menaungi hati kita. Bacalah kerana membaca itu anak kunci kepada ilmu. Ilmu itu pula imam kepada segala amalan. Dan amalan itu akan membawa kepada taqwa. Allah s.w.t telah memilih kalimah iqra' untuk mentarbiah umat. Ilmu dan amal ibarat dua permata yang berharga. Tanpa ilmu pincanglah amal dan tanpa amal sia-sia lah ilmu.
iman's note : Sedang menghabiskan buku 'Detik-detik Kewafatan Rasullah S.A.W'.
**imannurbalqis**