Dia menarik dan mendakapku hingga aku berasa kepayahan untuk bernafas. Lalu dia melepaskanku dan berkata, “Bacalah...!”
“Aku tidak dapat membaca...!”
Dia menarik dan mendakapku lagi sehingga aku berasa sukar untuk
bernafas. Kemudian dia melepaskan sambil berkata, “Bacalah...!
Aku menjawab, “Aku tidak dapat membaca...!”
Untuk yang ketiga kalinya, dia menarik dan mendakapku sehingga aku merasa kepayahan untuk bernafas, lalu ia melepaskanku dan berkata, “ Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah...! Dan Tuhanmulah yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui.” (Surah Al-‘Alaq 96: 1-5)
Begitulah gambaran yang diceritakan oleh RasululLah S.A.W kepada Khadijah isteri tercinta, ketika datang Jibrail A.S. Tentu ada sesuatu yang tersirat dan besar di sebalik peristiwa Iqra’ yang terkenal ini. Mengapa disuruh baca sedangkan apakah yang hendak dibaca?
Pertamanya, Allah telah memberi isyarat yang jelas kepada kita tentang kepentingan ilmu dengan kalimah “Bacalah...!” bukan “Ingatlah...!” atau “Sujudlah...!” atau sebagainya. Betapa pentingnya lagi, kalimah iqra’ telah diulangi sebanyak dua kali sebagai bukti perhatian Allah S.W.T. Menurut Al-Imam Ghazali, kewajiban membaca bergabung dalam dua keperluan iaitu maqru’ah (Al-Quran) dan manzurah (alam dan segala ciptaan Allah) yang membentuk ilmu naqli (Al-Quran dan Hadis) dan aqli (Sains, Matematik, Ekonomi dll). Gabungan dua ilmu ini sebenarnya perlu dipunyai oleh khalifah yang diamanahkan Allah kepada manusia bagi mentadbir dunia ini.
Sebarang pemisahan dan pengasingan kedua bentuk ilmu ini, akan membuka ruang dan memberi masalah besar kepada moral masyarakat Islam kita hari ini. Kemungkaran berleluasa, kerosakan akhlak, kebebasan tanpa had, kepunahan sistem hidup telah dikatakan hebat dan moden...! Sebaliknya, percubaan mengamal cara hidup Islam yang syumul, dikatakan kolot, jumud dan ketinggalan. Inilah akibat daripada pengambilan hanya ilmu aqli tanpa mengakui keperluan ilmu naqli. Kesempurnaan ilmu naqli dan aqli merupakan jaminan ke arah kesejahteraan hidup manusia di dunia yang tersimpan dalam pengertian kalimah iqra’ itu sendiri. Iqra’ yang bererti “menghimpunkan” terkandung istilah menyampaikan, menelaah, membaca, meneliti dan mengetahui ciri-ciri sesuatu yang mencakupi persoalan alam, diri masyarakat dan lain-lain.
“Bacalah..., dengan menyebut nama Tuhanmu yang Menciptakan...!”, memberi erti kesempurnaan membaca ialah dengan menyertakan nama-Nya, dorongan membaca dimulai dan digarapi dengan penghayatan ketauhidan terhadap Allah S.W.T. Jelaslah, kesempurnaan ilmu itu berlaku apabila perjalanan pengetahuan diserapi bersama pengakuan terhadap keEsaan dan Kebesaran Pencipta kita.
Ilmu ialah penggerak kepada setiap amalan. Ilmu ialah makanan roh dan aqal yang bergantung dengan punca bacaan kita. Jika punca bacaan kita baik, maka akan meningkat dan sihatlah pemikiran kita. Apabila bahan bacaan yang kotor dan lucah, maka fikiran kita pun turut kotor dan diracuni. Dan yang paling parah ialah hati jadi rosak dan menanah...! Ubat bagi hati yang rosak dan menanah ini ialah dengan, "Bacalah..., Dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan...!"
Kata Imam As-Syafie, “Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan jika kamu inginkan kedua-duanya juga dengan ilmu...!”
Ruginya kita, jika kita hanya hendak dunia atau akhirat sahaja, sedangkan kita akan dapat dunia dan akhirat apabila kita hendakkan ilmu tetapi sebelum itu kita perlulah faham konsep ilmu seperti yang dihuraikan seperti di atas. Menurut Al-Imam Ghazali R.H.M dalam kitabnya Minhaj Al-Abidin, tahap pertama dalam perjalanannya menuju Allah ialah tahap ilmu, kemudian baru menyusul tahap taubat, awaiq (penghalang), awariq (godaan), pendorong, celaan dan akhirnya syukur. Bahkan Al-Imam Ghazali mengingatkan bahawa, "Ilmu itu imam, amal itu makmumnya...!"
Ilmu ialah warisan 'anbia
Ilmu melindungi pemiliknya
Ilmu bertambah apabila digunakan
Ilmu dimiliki oleh orang yang beriman
Ilmu petunjuk ke jalan yang lurus dan benar
Ilmu akan menemani kita hingga ke liang lahad
...secebis kertas mampu menawan dunia...
Konklusinya... "Bacalah...," tuntutlah ilmu setiap detik dan ketika tapi semestinya... "Dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan...!"
iman's note : teruja dengan lagu Rabbani - Apa Yang Kau Tahu. Sewaktu mengajar Plants Respond to Touch, banyak persoalan yang ditimbulkan oleh murid-murid. Teacher, kenapa nama pokok tu periuk kera, kenapa yang itu perangkap lalat? Macamana pokok-pokok tersebut berfungsi? Itu periuk kera buat makan ke? Pokok itu hanya makan lalat jea ke teacher? Kenapa ALLAH ciptakan tumbuhan fungsi lain-lain? Teacher, manusia pun respond to touch juga ke? Nampaknya teacher, perlu banyak membaca dan belajar melalui alam ciptaan ALLAH yang penuh dengan ilmu percuma. Belajar dari alam buat diri lebih muhasabah~
**imannurbalqis**
Sekarang ni ada pen elektronik yang boleh bantu kita belajar iqra..
Kanak2 dan dewasa pun sesuai...
http://www.muslimchoices.com/?p=pen_pintar_my_iman