Ketahuilah, kita membantu urusan ummah bukan hanya saat adanya jawatan. Sahabat, semalam bukanlah penamat tetapi satu permulaan. Di mana bermulanya perjalanan seorang daie ummah. Jika dulu amanahnya atas nama jawatan, namun kini amanahnya kian jelas iaitu atas nama kita dijadikan. Khalifah Allah (iqamatuddin wa siyasatud dunya bih). Penutupnya seakan-akan ditutup tanpa pintu, berakhirnya seakan-akan tiada bernoktah. Indah sungguh perjalanan yang telah dicaturkan. Dalam rencanaNya, kita belajar dan mengerti bahawa setiap jiwa yang berada dalam perjuangan tidak mengenal istilah tekanan, tidak mengenal istilah ugutan, tidak mengenal istilah kesakitan. Jiwa itu terus berada dalam penuh kesyukuran dan keredhaan. Jiwa itu terus terubat dengan janji-janji Allah. Menjanjikan hambaNya yang utuh berjuang dengan balasan syurga. Hal ini nyata kerana inilah janjiNya yang benar. Banyak perkara yang dipelajari dan cuba diperbaiki. Maaf sekiranya ada khilaf sepanjang menentu rentak arah layar kapal berlabuh di pelabuhan.
Wahai diri, belum sampai masanya untuk kau bersenang-senang selagi nyawa masih dikandung badan. Perjalanan kita masih jauh. Jalan perjuangan yang kita akan telusuri itu banyak benar denai duri yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh. Sahabat, dalam kita menyusuri jalan perjuangan, jangan lupa memandang ke belakang. Sejarah yang sering mengingatkan kita jerih perit para pejuang terdahulu kita jadikan pedoman dan pengajaran bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah. Jalan menuju syurga itu penuh kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk melaluinya.
Setelah niat diikhlaskan, setelah tekad dibulatkan. Langkah ini akan diteruskan. Yakinlah, Allah akan menghantar pertolonganNya dalam menegakkan Ad-din yang Maha Suci. Akan datang murobbi membimbing, datang juga daie mendampingi, datang juga sahabat menemani, datang juga orang-orang soleh bersama-sama mengiringi. Yakinlah! Selagi kita istiqomah atas jalan dakwah, selagi kita konsisten dengan manhaj tarbiyah, selagi kita thabat di dalam kafilah dakwah ini, selagi itulah Allah tetap bersama kita dan tidak meninggalkan kita. Selagi itulah kita akan dikurniakan kejayaan, kemenangan dan pertolongan Allah. Bersyukurlah kita kerana dicampakkan dalam golongan yang memperjuangkan agama Allah ini. Moga segala yang telah kita lalui selama ini bukan retorik kampus semata-mata. Minta dijauhkan kalimah 'futur' dalam gerak langkah ini. Doakan diri yang penuh kekurangan dan faqir ini untuk terus seiring dan sejalan dengan kalian.
iman's note: Perjuangan ini ada hujungnya, akhirilah sepertimana pejuang-pejuang agama Allah di saat penghujung nyawanya. لا إله إلا الله محمد رسول الله. (Amanah: ikatannya simpul mati)
**imannurbalqis**