Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi dan langit. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul. Bersyukur juga ke hadrat ILLAHI kerana diberi ruang dan kekuatan untuk mencoret sesuatu di laman ini sebagai perkongsian bersama. Moga ada perkara yang boleh dikongsi bersama dan ini akan menjadi antara sumber untuk menambah timbangan pahala di akhirat kelak. InsyaALLAH. Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Buat pengetahuan pembaca semua, ana dah jadi cikgu. Tahniah buat rakan-rakan PISMP dan KPLI 2010 yang mendaftar di sekolah hari ini.
Alhamdulillah,pagi tadi telah diadakan sesi penyerahan surat penempatan sekolah di SK Puteri, Seremban oleh JPN Negeri Sembilan. Seramai 215 orang guru baharu telah mendaftar yang merupakan lepasan PISMP, KPLI dan Universiti. 215 orang guru baharu ini juga akan dihantar berkhidmat ke sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah pendidikan khas. Berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan IPGM. Tak sangka juga bila ditegur oleh kakak-kakak KPLI IPG ana yang turut ditempatkan di Negeri Sembilan. Maafkan diri ini kerana tidak dapat mengingati nama kalian. InsyaAllah, kita akan bertemu lagi. Dari kampus ana 4 orang batch ana, 5 orang KPLI dan seorang TESL IPPM-UIA yang akan menabur bakti di tanah beradat ini.
Ana orang ke-100 yang naik ke pentas untuk mengambil surat penempatan dari tangan Timbalan Pengarah JPNS. Sementara menunggu giliran untuk dipanggil, pelbagai perkara bermain difikirkan ana. Di mana sekolahnya, bagaimana persekitaran kerjanya, bakal-bakal muridku, tugas-tugas yang bakal digalas dan pelbagai lagi. Namun, bak kata ayah ana sewaktu dalam perjalanan ke Seremban pagi tadi. Walau macamana susah sekali pun keadaan kita, fikir positif. Jangan pandang sisi negatif kerana itu lebih memerangkap kita. Alhamdulillah, langkah hari ini telah dimulakan dengan niat yang satu. Hidup ini hanya untuk Allah. InsyaAllah, bermula kehidupan ana sebagai seorang guru, pendidik, cikgu, laousher, teacher untuk anak murid ana dan juga diri ana sendiri.
Dalam ucapan Timbalan Pengarah JPNS, ada menyebut tentang peranan sebenar seorang guru dan situasi yang akan dihadapi di sekolah. Dalam keghairahan untuk menabur bakti kita terlupa masih ada warga sekolah yang berada di sekeliling kita. Oleh kerana bergelar guru, sehingga lupa pada tukang sapu yang menyapu meja kita tiap hari. Disebabkan gelaran cikgu, kita lupa pada jaga yang bukakan pintu pada kita tiap pagi. Lantaran kerana kita teacher, kita lupa pada staf sokongan yang membantu urusan pejabat untuk kita. Di mana pun kita diletakkan jangan pernah ada rasa sombong. Bina budaya kerja yang positif agar cas-cas positif akan membantu momentum yang cemerlang dalam diri. InsyaAllah.
Teringat pula, seorang muslimah dan mujahidah yang dicintai oleh Rasullah s.a.w Saidatina Aisyah r.a. yang pernah diceritakan bukan sahaja memiliki ketinggian ilmu pengetahuan, bahkan turut memainkan peranan penting dalam proses pendidikan dan pembentukan masyarakat ketika itu. Sebagai seorang guru, beliau memiliki lisan yang jelas dan menarik hati serta kelancaran bertutur kata beliau digambarkan dengan begitu tinggi oleh al-Ahnaf: ‘Aku pernah mendengar ucapan dari Abu Bakar dan Umar, dari Uthman dan Ali serta para khulafa’ hingga ke hari ini, tetapi belum pernah aku mendengar ucapan yang lebih indah dan lebih menarik hati dari mulut seorang pun melainkan Aisyah r.a.’ Mudah-mudahan ana dapat mencontohi kekasih Rasullah s.a.w ini.
Dapat surat penempatan, ana terus menuju ke arah ayah. Bagi ayah yang buka surat penempatan tu. Ayah kata "Kak, SK Senaling. Alhamdulillah." Kalau ayah suka, ana pun suka. Kalau ayah gembira, ana pun gembira. Ana nak ayah ana rasa apa yang ana rasa. Biarpun, ayah tak dapat belajar tinggi-tinggi macam anak-anaknya kerana kesempitan hidup sewaktu itu. Ana tahu jauh di sudut hati ayah ingin merasainya dahulu. Alhamdulillah, ini tempat terbaik yang Allah bagi untuk ana berkhidmat. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Dalam perjalanan ke sekolah untuk melapor diri, ayah ana pesan lagi. "Ini dah dapat sekolah dekat dengan rumah. Tak payah nak fikir-fikir sewa rumah lagi. Pergi sekolah pun tak susah. Sekolah tepi jalan. Keluarga pun dekat. Tak payah dah nak telefon-telefon suruh melawat. Tengok kawan-kawan yang lain, dapat Sabah, Sarawak. Jadi kena banyak-banyak bersyukur. Tapi kena ingat tak semua yang kita minta kita dapat. Suasana sekolah kita tak tahu lagi macamana. Yang penting niat di hati. Jangan nak sombong-sombong. Anggap jea kita ini nak belajar. Ringan-ringan sikit mulut itu nak bertanya dan senyum. Bagi salam bila berselisih dengan pekerja sekolah ke cikgu ke anak murid ke. Sabar kena ada. Ingat, sekarang ini bukan budak-budak dah."
Manjakah ana?(^_^) Langsung tak. Namun, ayah mana tak risaukan anak-anaknya. Ayah ana memang orang yang paling risau. Kata jea ana dah besar tapi di mata ayah, ana tetap seorang budak-budak. Akak tetap anak ayah. He3 Sabar. Itu yang paling penting. Pertemuan singkat dengan GPK1 dan orang pejabat di sekolah yang sangat mengalu-alukan kehadiran ana memberi sedikit gambaran positif yang baik. Gambaran awal yang menampakkan ana tidak akan mengajar opsyen ana apabila dinyatakan guru Sains dan English sudah banyak. Ditawarkan pula mengajar untuk subjek Bahasa Melayu dan Muzik. Berselisih pula dengan senior keluaran PISMP IPG KTI membuatkan ana sedikit lega dengan teguran salam darinya. "Tahniah, sekolah ini BEST." Walau apa pun keadaannya, ana mesti buka fikiran, bersedia mental dan fizikal. Ingat. Baru sahaja bergelar guru permulaan. Baru sehari. Ada lagi 36 tahun. Katanya pencen umur 60.
iman's note: Timbalan pengarah JPNS juga pesan. Gelaran guru baru hanya untuk 2 minggu. Lepas 2 minggu dah jadi guru lama. Kejapnya~
**imannurbalqis**
Tahniah...selamat menabur bakti selaku pendidik!
-Sumaiyyah TESL IPPM
to kak sumaiyyah: tahniah jg untuk akak~ selamat berkhidmat di Serambi Mekah~