Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Alhamdulillah syukur dan sujud kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat lagi kita bernafas di muka bumiNya. Selawat dan salam diutuskan buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukurlah kita kerana dapat merasai nikmat Iman dan Islam dalam diri di saat ini.
Alhamdulillah, semalam sudah bermula sesi persekolahan bagi tahun 2012. Tahun ini, tinggal seorang lagi adik ana yang bersekolah. Muhamad Sharul Nizam sudah naik tingkatan 1. Yang lain sudah menamatkan zaman persekolahan ini. Menunggu untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti pula. Mudah-mudahan urusan adik-adik yang ana sayang ini dipermudahkan. Tidak dilupakan juga sesi kulian semester 1 / 2012 bagi pelatih-pelatih guru di IPGM. Tahun 2012, gelaran pelatih guru sudah tiada, menunggu gelaran guru pula. InsyaAllah. Ana masih lagi memegang gelaran penganggur sepenuh masa. Hanya berada di rumah sahaja buat masa ini. Yang pasti, jadi penganggur pun tidak sempat untuk goyang kaki. Hampir dua bulan sudah meninggalkan bumi IPG KPM. Banyak kenangan yang tidak sempat dicatatkan di laman ini. Terlalu banyak. Ana bersyukur kerana ana diberi peluang untuk berada di satu-satunya institusi latihan perguruan yang hanya dihuni oleh perempuan melayu Islam. Bersyukur kepada Allah kerana ana dipertemukan dengan kakak, sahabat, rakan, kawan, teman, dan adik-adik yang baik-baik belaka di sini.
Malam semalam ana ada terima mesej daripada salah seorang adik junior. Beliau mohon untuk ana menitipkan pesanan kepadanya untuk meneruskan lagi perjalanan tahun akhir di kampus. Adik yang ana sayang ini mahukan pesanan yang banyak-banyak dan panjang-panjang. Buat ana tersenyum ketika membaca hasratnya. (^_^) Siapalah ana untuk meninggalkan pesanan yang boleh dibuat ingatan. Tak layak rasanya kerana ana tahu kadang-kadang ana juga merasa sakit dan perlukan kata-kata untuk disapu pada tempat yang sakit itu. Allahu Rabbi. Oleh kerana ana telah berjanji untuk memberikan kata-kata pesanan padanya, ana perlu tunaikan. Namun, ana tujukan pesanan ini buat semua adik-adik ana yag mengenali ana. Ini sahaja yang ana termampu. Nak bagi duit belanja setiap orang ana tak mampu. Patah-patah perkataan ini akan ana cantumkan untuk jadi bait-bait indah yang akan disulam dalam ingatan. Mudah-mudahan Allah perkenankan. LAntaran itu, ana nak tukar panggilan pada 'Kak Ina' sebab yang pesanan ini untuk adik-adik ana. Biar rasa macam ana sedang bercakap dengan adik-adik yang membaca.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم
Adik-adik yang kak ina sayang, ini merupakan pesanan yang tak akan kak ina lupakan sampai bila-bila selagi nikmat ingatan masih diberikan oleh Allah s.w.t. Pesanan daripada arwah mak kak ina sendiri. Hari ini kak ina titipkan pesanan itu buat adik-adik juga. Sehari sebelum arwah mak kak ina meninggal (26 Februari 2007, Khamis) lebih kurang jam 5 petang kak ina terima panggilan daripada arwah mak. Walaupun, arahan daripada doktor tidak membenarkan arwah mak kak ina atau mana-mana pelawat menggunakan telefon bimbit di sekitarnya. Adik kak ina kata mak berkeras juga suruh telefon untuk bercakap dengan kak ina. Arwah mak kak ina kata last call sebelum dia balik rumah esok sebab dah sihat. Doktor bagi balik dah. Kak ina berbual dan berkongsi cerita di kampus seperti biasa. Menyakat. Mengadu. Ketawa. Rasa gembira sangat. Namun seperti biasa, sebelum menamatkan panggilan arwah menitipkan pesanan terakhir yang biasa akan dipesan sekiranya kak ina nak balik asrama atau pulang kampus. Sama. Tak berubah sikit pun dari tahun 2001 hingga hari terakhir 26 Februari 2007.
- Solat kena awal waktu.
- Baca al-quran selalu.
- Jaga diri baik-baik kat tempat orang.
- Makan jangan lupa.
- Kalau tak sihat bagitahu.
- Belajar rajin-rajin.
- Bangun buat solat malam.
Tapi kali ini ada tambahan pula pesanannya.
- Jaga ayah.
- Sayang adik-adik.
- Pilih kawan yang baik.
- Hormat cikgu dan orang tua.
- Jangan susahkan orang lain.
- Belajar untuk usaha sendiri.
- Ingat, Allah sentiasa ada untuk kita.
Kak ina tak berasa apa-apa waktu itu sebab dah biasa dengan sikap arwah mak yang sangat prihatin pada anak-anaknya. Alhamdulillah, itu sahaja kekuatan yang sempat dititipkan oleh arwah mak kak ina sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 4 petang hari Jumaat pada 27 Februari 2007. Pada hari Jumaat itu juga bila kak ina sampai rumah jam 7 petang tiada lagi pesanan daripada arwah Mak. Tiada dik. Tak keluar sepatah pun perkataan dari mulutnya lagi. Kak ina titipkan pesanan yang cukup bernilai dan bermakna bagi diri kak ina ini buat adik-adik juga. Moga dapat dimanfaatkan.
Buat adik-adik yang kak ina sayangi,
Mengenali kalian, satu ibadah buat kak ina. Menyayangi kalian, satu anugerah buat kak ina. Ketawa kalian, beri kak ina kekuatan. Tangisan kalian, mematangkan diri kak ina.
Moga ukhuwwah yang dibina ini diberkati. Terima kasih ya Allah, atas pertemuan istimewa ini. Didoakan kalian sentiasa dalam rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t selalu. Perpisahan ini bukan untuk ditangisi tapi satu permulaan untuk bertemu di syurga firdausi. Ukhuwwah fillah abadan abada.
iman's note: Pesanan yang lain sudah tercatat dalam Kitab Allah. Jangan pernah tinggalkan bacaan al-quran kerana kita akan rugi. Adik-adik tak ada pesanan untuk kak ina ke? (^_^) Jika tidak keberatan hadiahkan al-fatihah buat arwah mak kak ina yea.
**imannurbalqis**
salam k.ina....terima kasih sudi menjadi kakak sepanjang k.ina berada di kampus ini...terima kasih atas nasihat yang diberikan....^__^
semoga hari yang mendatang membawa 1001 kebaikan dan kerahmatan buat diri k.ina dan sahabat seperjuangan..
to Aku seorang hambaNya: syukran atas kesudian membaca entri yang tidak seberapa ini, dik. syukran juga atas doa yang dititipkan. Mudah-mudahan kita sama-sama berada di bawah lembayung keredhaan Allah dalam setiap perbuatan kita. (^_^)