Tajuk : Pendidik – Penting dan Beruntung.
Penulis : Norzarina bt Kamarudin (PISMP Sains Jan 2008)
[Didedikasikan kepada insan-insan yang pernah mendidik saya sehingga ke hari ini, semua warga pendidik IPG KPM dan tidak dilupakan bakal pendidik keluaran IPG KPM]
jadi cikgu seni
Saban tahun kita menyambut Hari Guru iaitu pada 16 Mei. Tidak kiralah di peringkat sekolah, institusi mahupun kementerian, warga pendidik diraikan. Wajaran warga pendidik diingati dan dihargai adalah kerana sumbangannya pada pendidikan negara. Lantaran itu, “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” merupakan tema yang dipilih bagi sambutan Hari Guru kali ini. Satu tema yang memberi gambaran bahawa guru berperanan penting dalam menjana perubahan pendidikan di Malaysia khususnya. Tema ini turut memberi satu kepercayaan bahawa pelopor-pelopor profesion pendidikan merupakan pemain utama dalam menjana modal insan yang gemilang. Hal ini kerana profesion ini merupakan satu-satunya profesion yang terasnya merupakan pembentukkan manusia. Malahan, bidang pendidikan berperanan penting dalam menyediakan negara dengan modal insan berkualiti iaitu memiliki sahsiah terpuji, berkemahiran tinggi, serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis khususnya untuk mengisi arus pemodenan menuju Wawasan 2020. Harta paling berharga bagi sebuah negara adalah memiliki warga berkualiti yang disifatkan sebagai modal insan bagi memacu kegemilangan negara pada masa akan datang. Cabaran pembinaan modal insan juga terletak sebahagian besarnya di bahu pendidik yang terbabit dengan dunia pendidikan dan latihan dalam mengembangkan potensi, bakat dan kualiti generasi muda.
khusyuknya murid-murid 1 Berlian
Lantaran itu, kita sebagai bakal pendidik turut merasai betapa besarnya peranan seorang pendidik dalam pembentukkan generasi peneraju negara masa hadapan. Ini dapat dikesan menerusi matlamat, visi dan misi Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam menetapkan kayu ukur produk guru yang akan dihasilkan. Dalam mendepani cabaran pendidikan masa hadapan, bakal-bakal pendidik seharusnya mengambil inisiatif dalam memperkembangkan potensi diri ke arah yang lebih baik dan positif. Seharusnya, seorang pendidik perlu berfikiran glokal dengan mengadunkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai karenah yang harus dibendung secara lebih bijak dan berhati-hati. Bakal pendidik masa kini harus melihat kurikulum pendidikan secara dinamik. Selain itu, kita seharusnya bijak mentafsir kurikulum yang menjadi wahana penyampaian ilmu. Bagi masyarakat, kurikulum di sekolah yang menjadi intipati utama dalam pembentukkan generasi negara masa hadapan. Ini bertepatan denga Falsafah Pendidikan Negara iaitu "Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. ".
Dunia hari ini membayangkan bahawa kerjaya guru semakin tidak digemari dan diletakkan sebagai pilihan yang terakhir apabila tiada peluang lain. Di sebalik persepsi itu, bakal-bakal pendidik harus sedar bahawa warga pendidik merupakan harapan utama bagi memastikan pembentukan jati diri anak didik yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat. Pelajar-pelajar yang dididik akan menjadi warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengetepikan nilai-nilai agama dan identiti diri yang sebenar justeru mampu bersaing dengan kepesatan dan 'kesesakan' dunia luar. Ini disokong berdasarkan apa yang dinyatakan dalam kitab karangan Imam Al-Ghazali yang begitu hebat pengaruhnya iaitu Ihya Ulum Al-Din dan Mizanul Amal iaitu “Wajib membetulkan niat murid-murid, maka wajib juga membetulkan niat guru, bahkan itu adalah lebih penting kerana ibadat mengajar lebih mulia daripada ibadat belajar.” lnsan yang berkemahiran dan berakhlak mulia adalah insan yang diharapkan mampu memanfaatkan ciptaan Allah untuk kepentingan manusia sejagat. Pada hakikatnya kecemerlangan sahsiah manusia adalah berasaskan kepada kesepaduan ilmu, amal dan iman. Tuntasnya, warga pendidik memainkan peranan yang utama lagi mulia dalam memindahkan dan mentransformasikan ilmu yang baik, meninggikan adab serta sikap murni yang diredhai Allah, memberi petunjuk ke arah jalan yang benar dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran kepada anak didiknya.
sewaktu sesi pengajaran berpasangan (5 Delima)
Justeru itu, bakal-bakal pendidik perlu sedar bahawa profesion yang dipilih ini mempunyai kepentingan yang tiada tolok bandingnya. Diriwayatkan dari Abu Darda’, Rasullah SAW bersabda yang bermaksud : “Manusia itu terbahagi kepada dua golongan. Pertama yang mengajar. Kedua, orang yang belajar, kemudian tiada yang lebih baik setelah itu (daripada keduanya).” [Riwayat Imam Darumi] Jika masih ada antara kita yang ragu dalam meneruskan profesion ini, maka kita termasuk dalam kalangan orang yang amat rugi. Hal ini kerana, kerjaya guru merupakan kerjaya yang paling beruntung kerana memperoleh dua keberuntungan dalam satu matlamat. Pertama, semasa di dunia kita dibayar gaji, dinaikkan pangkat, menerima anugerah dan dihormati oleh anak didik kita. Kedua, apabila kita bertemu ALLAH nanti kerana diberi ganjaran yang tiada tolok bandingnya, insyaALLAH dengan syarat kita sentiasa mengikhlaskan hati di dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik kita semata-mata kerana ALLAH. Oleh itu, yakin dan percayalah bahawa profesion perguruan ini adalah profesion menguntungkan, biarpun kita tidak sekaya mana semasa di dunia ini. Namun, kita adalah insan-insan yang beruntung.
baiknya anak murid teacher
Rasullah SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.” [Riwayat Imam Bukhari]. Perkataan ilmu yang bermanfaat itu termasuklah ilmu yang dicurahkan kepada anak didiknya. Betapa untungnya, sekiranya guru-guru yang telah mengajar lebih 20 tahun, jumlah pelajarnya telah mencecah ribuan malahan lebih daripada itu. Sudah tentu besar ganjaran yang bakal diterima kelak. Seperti yang digambarkan dalam sajak “Guru O Guru” hasil karya Usaman Awang dalam rangkap :
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
bersantai di lantai
Imam Ghazali pernah menyebut : “Sesiapa yang memperoleh ilmu kemudian memanfaatkan dan diajarnya kepada orang lain, diumpamakan seperti matahari yang bersinar dan menyinari orang lain. Ia juga laksana kasturi yang mengharumkan dan ia sendiri harum.” Ketahuilah bakal-bakal pendidik sekalian, selagi masih ada bakal-bakal pendidik atau warga pendidik yang masih merungut, mengeluh, berkira dan mempertikaikan setiap apa yang dilakukan tanpa ada rasionalnya, adakah tema “Guru Penjana Transformasi Negara” bertepatan? Jika kita bakal-bakal guru masih lagi sterotaip menyatakan kerja guru hanyalah sehingga 1.30 petang, adakah tema “Guru Penjana Transformasi Negara” itu mapan? Selagi masih ada dalam kalangan kita mempertikaikan hasil usaha dengan ganjaran yang diterima, apakah kita akan terus mengecapi nikmat dalam mendepani arus pendidikan masa kini? Ingatlah, selagi mana kita sebagai bakal-bakal guru tidak melakukan anjakan paradigma dalam pembentukkan sahsiah diri, pemikiran dan tindakan ke arah yang lebih positif, maka tempanglah transformasi negara yang ingin dikecapi. Sama-samalah kita koreksi diri dan lakukan perubahan dalam mengecapi erti kata sebenar “Guru Penjana Trasformasi Negara.”
nota terakhir buat 4 Berlian
iman's note : artikel yang dikeluarkan dalam keluaran buletin Nisa' Khas pada Sambutan Hari Guru peringkat Kampus Perempuan Melayu yang lalu. Teringin juga nak tulis artikel untuk keluaran majalah-majalah di pasaran.
**imannurbalqis**