Salam Aidiladha 1431H buat semua pembaca blog ana dan sahabat-sahabat yang dikasihi ALLAH sekalian. Alhamdulillah, dapat juga kita merayakan aidiladha pada kali ini. Bila disebut Hari Raya Aidiladha a.k.a Hari Raya Korban mesti teringat lembu, kerbau, unta yang tertambat kat masjid sedang tunggu giliran nak kena sembelih. Tahun ini macam-macam cerita keluar kat televisyen@surat khabar@internet tentang binatang ternakan yang nak dikorbankan. Ana bukan nak cerita berkenaan binatang yang nak dikorban@disembelih untuk entry kali ini tapi hadiah aidiladha yang paling berharga ana dapat kali ini. Kalau aidilfitri, mesti duk mengira duit siapa paling banyak tapi tak sangka pula aidiladha tahun ini adalah hari raya yang bermakna walaupun tidaklah semeriah Aidilfitri persediaannya.
Hari Isnin petang ayah ambil juga ana kat kampus walaupun ana habis exam pukul 5.00pm. Catat sejarah bila ana keluar dewan awal setengah jam sebelum habis exam. Ana gagahkan juga untuk keluar sebab tak kemas lagi barang-barang yang nak dibawa balik walaupun tidak 'confident' dengan apa yang dijawab. Tawakkal dengan apa yang telah diusahakan. Ayah kata hari Selasa baru semua adik-adik ana balik rumah. Nanti tak ada orang nak tunggu kat rumah. Ana masuk jea dalam kereta, adik ana yang last tanya raya nanti nak masak lauk apa. Ana kata masak lauk makan tenghari jea. Sampai rumah dah malam.
Hari Selasa bermulalah episod ana di rumah. Adik-adik ana yang form 5 dan tahun 5 dah pergi sekolah. Ana terus mengemas rumah, mop lantai, lap tingkap, basuh pinggan mangkuk, basuh kain dan sidai di ampaian. Dalam masa menyelesaikan semua perkara tiba-tiba teringat. Bilalah adik-adik nak balik nie? Rasa rindu plk. Dah lama tak jumpa sejak dari cuti Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Yang dari Seremban akan balik tumpang kawan, yang dari Penang akan balik naik motor. Dah bertolak ke belum agaknya? Dah siap kemas barang ke belum? Harap-harap tak ada apa yang berlaku dipertengahan jalan. Macam-macam dalam fikiran. Pukul berapa agaknya semua sampai. Nak masak lauk apa hari ini. Harap-harap semua selamat sampai. Risau sangat sampai buat semua perkara serba tak kena. Berkali-kali duk call dan message tapi tak berjawab. Dah pukul 6pm adik ana yang dari Penang tak sampai rumah lagi. Kata bertolak pukul 6am. Dekat pukul 7pm baru sampai, rupa-rupanya hujan lebat kat KL. Jadi, terpaksa berhenti tunggu hujan reda.
Bila fikir semula apa yang berlaku, ana dapat rasa perasaan seorang ibu atau ayah yang menunggu-nunggu atau tertunggu-tunggu kepulangan anaknya. Walaupun ana belum berstatus ibu, mak, ummi, mama @ mother sebab belum berkahwin pun tapi perasaan yang menghantui ana tue buat ana rasa bersyukur. Ana masih lagi diberi peluang untuk rasa perasaan risau, gelisah, gembira dan bahagia bila semua adik-adik ana berkumpul bersama. Kepulangan arwah mak ke rahmatullah menyebabkan ana lebih sedar dan terbuka atas setiap apa yang berlaku. Ana percaya ini adalah hikmahnya. Kadang-kadang ana rasa sedih bila melihat orang tua yang menunggu kepulangan anaknya yang tidak dijanjikan. Ada pula yang dah berjanji untuk pulang tetapi tidak kunjungan tiba. Memang ana faham masing-masing ada kerja atau kekangan yang tidak membenarkan untuk pulang ke kampung. Takkan nak pulang ke kampung hanya tunggu waktu raya sahaja??? Jika ada kelapangan, pulanglah ke kampung. Kerana mereka sangat merindui kalian. Di sebalik bening wajah ibu dan ayah, ada satu perasaan rindu yang disimpan buat anak-anaknya.
Dalam Islam, tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita salam ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.
Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uh” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:
Maksudnya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Bila Aidiladha menjelma, satu perkara yang akan ana ingat sampai bila-bila ialah janji ana untuk kembali ke Baitullah bersama-sama arwah mak ana. Ana berjanji untuk mengerjakan haji bersama arwah mak bila tamat pengajian di kampus selepas selesai menyelesaikan tawaf wida' di hadapan Baitullah sewaktu mengerjakan umrah empat tahun yang lalu. Tapi satu jawapan yang jelas ana dengar dan ingat dari mulut arwah mak ana. InsyaALLAH, jika diizinkan ALLAH kita sampai lagi tapi jika tidak jangan pula akak tak pergi walaupun bukan dengan mak. Iya, ana tidak berpeluang untuk berkongsi cerita atau kisah suka duka sepanjang pengajian dan berbakti setelah menamatkan pengajian dengan arwah mak ana tetapi jika diberi peluang ana mahu berbakti pada seorang ibu yang mahu mengganggap ana seperti anaknya sendiri. Ana kepingin untuk merasai peluk cium seorang ibu. Itulah pengubat lara penawar duka sementara masih ada umur di dunia. Buat kalian yang masih ada ibu dan ayah, teruskan berbakti kepada mereka. Jangan tiba satu saat yang mana kita perlu pulangkan pinjaman kita kepada yang lebih berhak, ada kekesalan yang bertandang di hati.
Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu.”
Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.
Justeru itu, bagi menghargai segala jasa ibu, maka berbagai cara perlu kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka. Diantaranya kita memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu, bercuti bersama-sama ibu, membawa ibu bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaannya, sentiasa mendoakan mereka, dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka, sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu.
Persoalannya?? adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu dan ayah kita? adakah hanya sekadar bila tibanya hari raya sahaja barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan ibu dan ayah? Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu dan ayah hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ini, ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka, agar Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka. Berkorbanlah kita selagi ada daya. Jangan nanti disoal dengan apa yang telah kita korbankan selama ada di dunia ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 24 :
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Alhamdulillah, inilah hadiah yang paling bermakna buat diri ana menjelang aidiladha pada tahun ini. Peringatan yang cukup bermakna. Alhamdulillah, ada juga hadiah yang lain sedang menanti. Terima kasih Ya ALLAH, hamba Mu ini meletakkan segala pergantungan hanya kepada Mu. Berikan yang terbaik untuk diri hamba Mu yang serba kekurangan dan lemah ini. Moga dipermudahkan segala urusan. Ameen.
**imannurbalqis**