.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

...jiran OH jiran...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat malam. Segala puji dan puja hanya bagi Allah SWT yang memberikan kita pelbagai nikmat dan anugerah kurniaan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, Junjungan Mulia yang telah menggerakkan suatu perubahan yang besar dalam sejarah peradaban manusia dengan risalah agung daripada Ilahi. Bersyukur kepada Allah swt kerana masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan lagi langkah sebagai seorang hamba di muka bumi bertuah ini.

Alhamdulillah petang tadi berpeluang untuk memegang cangkul dengan pencakar a.k.a penyapu sampah setelah sekian lama berada di rumah. Pemalas betul rupanya ana ini. Kalau dulu hanya pernah bergotong-royong di kampus. Itu pun buat pembahagian kerja. Tadi betul-betul mencabar kewanitaan dengan mencangkul rumput-rumput yang semakin mekar menjalar di laman rumah yang cuma sekangkang kera ini. Geram betul tengok dari sehari ke sehari. Makin lama, makin panjang. Iyelah, bila nak keluar mengemas kat luar ada sahaja halangannya. Pagi hujan kalau tak pun petang hujan kalau tak pun dari pagi hingga malam hujan. Namun, jangan jadikan itu alasan semata-mata. Nak seribu daya, tak nak seribu alasan. Betulkan? Mana tak hujannya, bulan disemberkan sudah digelar bulan tengkujuh. Alhamdulillah, tak banjir jea kat rumah. Harapnya tidaklah sampai bila-bila. Tapi kerja-kerja mengemas diluar rumah tidak menghampakan ana. Kenapa ana kata gitu? teruskan baca ke perenggan seterusnya. (^_^)

Tengah-tengah khusyuk mencangkul rumput, terdengar suara yang memanggil di tepi pagar rumah. "Eh, Ina. Ko ado kek rumah yo. Wan ingatkan tak do sesapo kek rumah. Senyap yo. Ko pun tak berjalan-jalan." Panjang betul jiran ana punya mukaddimah. Ana senyum dan terus bergerak ke arahnya. "Assalamualaikum wan. (sambil hulur tangan, bersalaman) Dah lamo dah balik. Hari tu kan saya ado kek rumah kenduri Mak Tam. Kan kito makan sebelah menyobolah. Wan ado togur saya. Tak ingat ko?" he3 "La, wan ingatkan ko balik semulo maktab. Dah habih terus la nie yo?" "Alhamdulillah wan, dah habis dah. Tunggu nak mengajar yo laie nie." "Eloklah tu, kojap yo dah limo tahun setongah yo. Ko minta mengajar kek mano?" "Tu lah wan. Minta nogori semilan tapi tak tahulah dio nak hantar kek mano. Sayo ikut yo kek mano-mano pun wan. Asalkan dapek posting." "Eloklah tu minta dokek-dokek. Wan bukan apo, kesian kek adik-adik kau yo. Tontu-tontu eh yang ayoi tu. Kadang-kadang duk rumah sorang-sorang yo. Dah makan ko bolum, kot sakit ko, sapo yang nak tengok eh. Kesian wan mandang eh. Setakat pandang-pandang an, bolehlah wan tolong." Ana tersenyum pada wan dan dalam hati cuma mampu kata, 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.'

Jiran. Memang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Ana ini tinggal di kampung. Suasana kejiranan masih lagi dirasai dan saling memerlukan antara satu sama lain. Sehinggakan diberi kepercayaan untuk menjaga kunci rumah jiran tatkala jiran ana meninggalkan rumahnya untuk beberapa hari atas beberapa urusan. Sememangnya malam ini buat ana berfikir tentang kehidupan berjiran ini. Alhamdulillah, selama duduk berjiran dengan orang kampung ana ini dah macam sedara rasanya. Pernah sekali tu, ana balik rumah untuk cuti hujung minggu. Hari tu memang terasa sangat nak makan laksa. Dah lah tak reti nak masak, nak pergi beli tak tahu kat mana, nak suruh orang masak ana mana ada orang gaji. Macam dah tahap mengidam dah waktu itu. Tiba-tiba ada orang ketuk pintu rumah ana. Bila ana buka anak jiran ana bagi makanan. Berbekas-bekas. Bila ana buka kat dapur, tahu tak jiran ana bagi laksa pada ana. Allahu rabbi. Rasa nak menangis. Kuat sungguh rabitah hati. Terima kasih ya Allah.

Seperti yang kita sedia maklum Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah satu daripada cara hidup yang dituntut Allah kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat ke bersamaan, persefahaman dan keharmonian. Kemakmuran sesebuah negara juga bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Malah, ciri masyarakat berkualiti dan masyarakat contoh juga tergambar melalui persefahaman dan hubungan yang erat. Justeru, Islam menekankan umatnya menjaga hubungan dalam kehidupan bermasyarakat dan ia tidak terbatas kepada sesama masyarakat Islam, malah melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa pertuturan. Dalam hubungan kejiranan, umat Islam wajib mengekalkan hubungan baik dan menyemai kemesraan kerana sifat sebegitu akan membentuk kehidupan aman dan harmoni, malah jika berdepan masalah, ia diselesaikan dengan baik. “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (an-Nisaa’: 36)

Dalam adab berjiran, umat Islam dilarang membuka aib jiran seperti menceritakan rahsia mereka kepada orang lain, menceroboh kediaman mereka dan mengambil hak mereka. Dalam hubungan ini sesuai juga dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” Ibnu Qayyim (rahimahullah) menghuraikan hadis itu dengan menjelaskan, sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain Allah akan berbuat baik kepada dirinya dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya. Malah, sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, Allah akan menutup keaibannya dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Jadilah kita insan yang memberi manfaat kepada sesiapa pun tanpa mengira latar belakangnya. Dan ana tahu, dengan kebaikan jiran ana ini jugalah ana dapat menaip berpatah-patah perkataan di laman ini untuk dikongsi bersama. Kerana apa? Kerana jiran ana telah membenarkan kami adik-beradik menggunakan talian wirelessnya tanpa kata laluan diletakkan. Moga dengan kebenaran yang diberikan ini memberikan pahala untuk jiran ana sekeluarga. Didoakan kalian sekeluarga sentiasa dirahmati Allah s.wt.

Dalam buku "Bimbingan Mukminin" karangan Imam Al-Ghazali, ada menggariskan 30 adab berjiran yang mesti diamalkan, iaitu:

(1) Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat menghormati antara satu sama lain. Antara caranya dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim.Sentiasa bertoleransi samada yang melibatkan urusan keagamaan,adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.

(2) Tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.
Rasul SAW pernah bersabda;
“ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.
Sahabat bertanya:
“Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab :
” Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“ Tidak masuk syurga, barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman(selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)

(3) Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia.

(4) Sentiasa merendahkan diri dan berlemah-lembut dengan mereka dan mengelak diri dari bersikap takbur.

(5) Sentiasa bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan.

(6) Menyayangi mereka seperti mana kita menyayangi diri kita sendiri. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha menghindarkan perkara-perkara yang mereka tidak sukai.

(7) Sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang mereka hadapi sama ada yang berkaitan dengan masalah keagamaan, kekeluargaan atau rumah tangga, kejiwaan, kesihatan,pelajaran, , kewangan, makan-minum, dan sebagainya. Sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesama jiran sehingga akhirnya melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra dan lebih akrab.

(8) Tidak memandang rendah dan saling menghina sesama jiran, sebaliknya hendaklah sentiasa hormat menghormati dan harga-menghargai,termasuklah menghargai dan berterima kasih terhadap apa jua pemberian,khidmat dan pertolongan yang diberikan.

(9) Mengutamakan jiran yang terdekat rumahnya dengan rumah kita.Penetapan jiran terdekat ialah 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kita, sama ada di kiri, kanan, hadapan dan belakang. Terdapat tiga kategori jiran :
Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga dan seorang Muslim.
Jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak seorang Muslim.
Jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu hak jiran.

(10) Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.

(11) Sentiasa memelihara diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan dan kerosakan serta mencemar maruah dan diri jiran, termasuklah terhadap isterinya,anak-anaknya, harta bendanya dan lain-lain lagi.

(12) Elakkan sikap terlalu suka mengambil tahu hal ehwal peribadi dan keluarganya, kecuali setelah mereka sendiri mengadu untuk mendapatkan bantuan kita untuk menyelesaikannya.

(13) Bantulah mereka apabila mereka ditimpa kesusahan dan mala petaka,agar hati mereka menjadi tenang dan tenteram.

(14) Rasakan kesusahan jiran seperti kesusahan yang kita tanggung sendiri dan zahirkan kegembiraan ketika mereka bergembira, sama ada ketika mendapat rumah baru, perabut baru, kelahiran anak baru, mendapat menantu dan sebagainya.

(15) Elakkan dari memerhatikan barangan atau apa sahaja yang dibeli atau yang dibawa pulang ke rumahnya.

(16) Tidak cuai untuk menyeru mereka kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dengan cara yang paling berhikmah.

(17) Sentiasa bersabar di atas segala perlakuan buruk yang dilakukan oleh jiran, sebaik-baiknya kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memaafkan segala kesalahan dan kesilapan dan tidak membalas segala kejahatan tersebut, sebaliknya membalasnya dengan kebaikan.

(18) Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau umpatan orang lain terhadap diri mereka.

(19) Menziarahi mereka ketika mereka sedang sakit.

(20) Mengurus jenazah mereka setelah mereka meninggal dunia.

(21) Tidak menghebahkan segala kesalahan, keaiban dan kesilapan jiran.

(22) Memberikan segala bentuk bantuan yang mereka perlukan.

(23) Berlemah-lembut dengan anak-anaknya jiran.

(24) Menjaga keselamatan rumah atau anak-anak mereka, ketika mereka tiada di rumah.

(25) Mengucapkan tahniah ketika terjadi peristiwa tertentu, terutama ketika mereka memperolehi kebaikan dan kurniaan dari Allah.

(26) Mengucapkan takziah ketika mereka ditimpa malapetaka dan bencana.

(27) Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya, kecuali setelah mendapat restu dan izin darinya.Jangan menyusahkan mereka, seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka.

(28) Tidak menyakiti mereka melalui bauan enak dari masakan yang kita masak dari rumah kita. Digalakkan agar kita memberikan sedikit daripada masakan tersebut untuk mereka nikmati.

(29) Menghadiahkan mereka dengan buah tangan yang kita beli.

(30) Sentiasa mendoakan keselamatan dan kebahagian jiran

Hadis nabi mengenai tanda kecil kiamat ada dinyatakan: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan ber sikap yang buruk dengan jiran.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim) Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan penyumbang tanda-tanda kecil kiamat ini.

iman's note: asal orang bagi makanan jea, mesti dipulangkan dengan bekas kosong. Masih tak yakin nak bagi orang rasa masakan sendiri. Takkan nak tunggu jadi juara masterchef baru nak bagi. Perlu mencari penyelesaiannya ini. (^_^)

**imannurbalqis**

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails