Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua insan yang membaca entry ini. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan mulia Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassalam. Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah s.a.w kerana dengan izin dan limpah kurniaanNya masih lagi diberi nikmat yang terbesar sekali dalam hidup kita iaitu nikmat Islam dan Iman, insya'Allah. Semoga setiap hati orang-orang mukmin itu ditautkan dengan hikmah berlapang dada, insya'Allah.
Hari ini merupakan penghulu segala hari iaitu hari Jumaat yang mana hari Jumaat terakhir bagi tahun 2011. Alhamdulillah, diberi pengkhabaran yang baik berkenaan penempatan guru lepasan PISMP. Mudah-mudahan graduan keluaran IPGM bagi sesi Januari 2008 seramai 2400 orang mendapat tempat pada awal Januari ini. Semoga Allah mempermudahkan urusanku ini. Allahumma Ameen. Merasai pengalaman sebagai seorang penganggur di rumah benar-benar membuatkan diri ini merasai betapa peri pentingnya untuk memanfaatkan masa yang ada. Sekiranya dahulu sewaktu sibuk di kampus namun masih lagi berkesempatan untuk berada dalam bulatan gembira. Kini, masa yang terluang hanya dipenuhi dengan kehidupan seharian seorang insan biasa. InsyaAllah, akan cuba mencari pengisian yang boleh dimanfaatkan. Ketahuilah, diri ini cemburu dengan sahabat-sahabat yang bergerak kerja dan memanfaatkan kudrat yang ada untuk kesinambungan dakwah yang dibawa. Moga redha Allah menaungi kalian.
”Dalam kalangan manusia, banyak yang mengaku kami beriman dengan Allah, tetapi apabila diuji dalam perjuangannya kerana Allah, ia lantas menyamakan gangguan manusia sama dengan seksaan Allah. Kalau pula datang pertolongan Tuhanmu (wahai Muhammad) necaya mereka berkata ini adalah kerana kami menyertai (perjuangan) kamu. Bukankah Allah yang lebih tahu apa yang tersirat di dada alam semesta. Allah akan mengetahui jua sesiapa yang beriman dan siapa pula yang munafiq. ”
(Al-Ankabut : ayat 10-11)
Suka untuk ana berkongsi tentang peristiwa yang berlaku ketika Perang Tabuk. Kebetulan waktu Nabi Muhammad s.a.w menyeru kaum Muslimin untuk berjihad, pada ketika itu musim susah dan panas terik. Tempat yang akan dituju jaraknya amat jauh, sedang musuhnya juga menakutkan. Sebahagian kaum Muslimin ada yang enggan ikut serta, kerana berbagai-bagai alasan. Rasullah s.a.w dan para sahabatnya perdi diikuti oleh sebagaian orang yang mana setengahnya terpaksa kerana enggan. Dan bertambah jauh perjalanan mereka, bertambah juga kesukaran dan kesusahan yang diderita.
Bila ada orang yang tertinggal di belakang, mereka berkata: "Wahai Rasullah! Si fulan telah tertinggal." Maka Baginda bersabda: "Biarlah! Seandainya dia berguna, tentu akan disusulkan oleh Allah pada kamu. Dan seandainya tidak, maka Allah telah membebaskan kamu daripadanya!"
Pada suatu masa, mereka melihat sekeliling, tiada nampak oleh mereka Abu Zar. Maka kata mereka kepada Rasullah s.a.w: "Abu Zar telah tertinggal, keldainya menyebabkan dia terlambat." Rasullah mengulangi jawapannya tadi. Keldai Abu Zar memang telah amat letih disebabkan lapar dan haus kerana teriknya matahari, hingga menyebabkan langkahnya menjadi tidak teratur. Abu Zar mencuba pelbagai kaedah untuk meghalau keldainya agar berjalan cepat, tetapi keletihan bagaikan merantai kaki keldainya. Abu Zar merasa bahawa jika demikian dia akan ketinggalan jauh daripada kaum Muslimin sehingga tidak dapat mengikuti jejak mereka. Maka Abu Zar turun daripada belakang keldainya, diambilnya barang-barang dan dipikul di atas belakangnya, kemudian diteruskan perjalanan dengan berjalan kaki. Dia mempercepat langkahnya di tengah-tengah padang apasir yang panas membara itu, agar dapat menyusul Rasullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya.
"Wahai Rasulullah!" kata orang yang melihat itu. "Ada seorang lelaki berjalan seorang diri!" Sabda Rasullah s.a.w: "Mudah-mudahan orang itu Abu Zar!" Mereka meneruskan perbualan sambil menunggu orang yang berjalan itu menghampiri mereka untuk mengetahui siapakah dia. Musafir mulia itu mendekati mereka secara lambat, langkahnya bagaikan disentakkan dengan pasir lembut yang membara sementara beban di belakang bagaikan menggalas tubuhnya. Namun dia tetap gembira penuh harapan kerana berjaya menyusul kabilah yang dikelilingi berkat dan tidak ketinggalan daripada Rasullah s.a.w serta saudara-saudara seperjuangannya.
Sebaik dia sampai menghampiri rombongan, seorang berseru, "Wahai Rasulullah! Demi Allah dia Abu Zar." Sementara itu Abu Zar menghalakan langkahnya ke arah Rasullah s.a.w, ketika itu Rasullah s.a.w melihatnya, tersimpullah senyuman di kedua bibir Baginda. Sebuah senyuman yang penuh makna dan belas kasihan. Inilah yang dikatakan tapisan daripada Allah.
Sebaik menamatkan bacaan kisah Abu Zar al-Ghifari dalam buku "Singa Siang Hari" tulisan Harun Arrasyid Haji Tuskan, buat ana rasa kedudukan sekarang tidak akan membuktikan sejauh mana ana dalam perjalanan ini. Sedangkan orang yang sudah berada kukuh dalam perjuangan masih lagi ditapis oleh Allah untuk benar-benar berada dalam bahtera juangnya. Inikan pula ana yang hanya dapat memandang sahabat-sahabat yang bergerak kerja. Allahu Rabbi, jauh sungguh. Namun, ana mohon agar Allah menyusulkan ana dalam kelompok mereka. Tapisan Allah benar-benar teliti. Moga-moga Allah menguatkan kita di jalanNya sehingga akhir hayat kita.
”Apakah kamu mengira kamu akan dimasukkan ke dalam syurga sedangkan kamu belum mengalami apa yang telah dialami oleh manusia sebelum kamu. Mereka telah menderita kesusahan dan keperitan hingga bergegar (keimanan) mereka. Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersamanya tertanya-tanya : ‘Bilakah pertolongan Allah (akan datang)? (Insaflah) pertolongan Allah itu sangat hampir ”(Al-Baqarah : ayat 214)
~nak masak lomak cili api kono guno santan~
iman's note: Kelapa yang telah dikukur atau diparut atau dimesin akan diperah ke dalam tapis kelapa bagi mengasingkan santan dengan hampas kelapa. Santan yang diperolehi akan digunakan dalam masakan. Sementelahan pula, hampas akan dibuang ke tepian.
**imannurbalqis**