.::I'M ONLY SERVANT OF ALLAH::.

"Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan limpahan NIKMAT selama-lamanya atau menghadapi AZAB, juga selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara..."

...JALINAN UKHUWAH...

...MELAKAR PELANGI...

Daisypath Anniversary tickers

...KEEP IN MEMORY...

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Happy Birthday tickers

PERMATA HATI UMMI ABI

Lilypie Second Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

...Oley!! : Light up the dark...

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat dan pembaca blog ana. Didoakan agar sahabat-sahabat berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dalam rahmat dan maghfirah ALLAH s.w.t. Selawat dan salam tidak lupa juga diucapkan buat Baginda Nabi Muhammad SAW yang berjuang bersama para sahabat menaikkan syiar Islam dan meyebarkan risalah membawa kita dari alam kegelapan (Jahiliyyah) hinggalah ke alam yang kita rasakan sekarang. Syukur dipanjatkan kepadaNYA kerana masih lagi ada hati-hati yang mencintai jalan ISLAM yang suci lagi benar. Semoga tidak leka dengan hidangan dan kesibukkan dunia yang boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan. Bersyukur kita kerana masih lagi diberi ruang untuk merasai ketibaan Disember 2011. Gunakanlah kesempatan yang ada seketika ini untuk bekalan selamanya nanti.

Nampaknya sudah pertengahan bulan Disember baru laman sesawang ini dikemaskini. Sememangnya agak kurang aktif dalam mengeluarkan entri sejak akhir-akhir ini. Mengakui bahawa salah satu sebabnya ialah kurangnya pembacaan untuk dikongsikan bersama. InsyaAllah, akan cuba untuk terus memperbaiki kelemahan diri ini. Alhamdulillah, tindakan untuk mengemaskini semula kotak-kotak simpanan barang-barang lima tahun setengah di kampus yang dibawa pulang ke rumah tidak sia-sia. Ada perkara yang ingin dikongsikan bersama. InsyaAllah.



Nampaknya sejak akhir-akhir ini Malaysia terus dilanda oleh persoalan Hudud. Lebih menyedihkan lagi bila mana hukum Allah ini disalahtafsirkan dan dipermainkan. Kelangsungan dari itu, isu ini terus memberi impak pada sebilangan manusia yang tidak faham, cetek ilmu dan tidak mahu mengambil tahu dengan membuat pandangan dan kesimpulan tersendiri tersendiri. Penolakkan terus dibuat atas dasar kefahaman ngerinya apabila dipotong tangan dan dikenakan sebatan 100 kali. Tambahan pula, pak cik dan mak cik di kampung hanya menerima ilmu dan hujah dari ustaz kedai kopi manakala kakak dan abang di bandar hanya berpandukan saluran elektronik yang pilih bulu dan surat khabar mengampu. Sangat kasihan sehingga jadi haru-biru. Sangat berkeperluan untuk kita mendampingi mereka dan menyebarkan kefahaman yang sebenar.

Buku "Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan" buah tangan Prof Dr. Yusuf Al-Qardhawi ada menyatakan dalam ciri kelapan: Pensyariatan dan Perundangan iaitu MENGGUGURKAN HUKUMAN HUDUD APABILA WUJUDNYA KERAGUAN. Antara perkara yang boleh dianggap sebagai bukti keprihatinan Islam terhadap penutupan dan pengampunan di dalam isu hudud ialah kaedah: "menggugurkan hukuman hudud apabila adanya syubahat (isu-isu yang menimbulkan keraguan)". Perkara ini sudah dimaklumi di dalam fiqh Islam oleh pelbagai mazhab yang menjadi ikutan.

Riwayat sahih dari al-Faruq Umar Ibn al-Khattab r.a. iaiu sabda Rasullah s.a.w:
"Gugurkanlah hukuman hudud apabila ada syubhat (keraguan)".
Perbuatan Umar r.a. memberhentikan hukuman potong tangan pada "Tahun Kelaparan" disebabkan wujudnya keraguan keperluan serta kesepakatan pada sahabat terhadap perbuatan belaiau yang mana dalam kalangan mereka terdapat ahli fiqh, ahli ilmu dan ahli fatwa, adalah dianggap sebagai salah satu dari ijma'. Mereka semua tidak akan berdiam diri atas kebatilan dan mereka tidak akan bersepakat di dalam kesesatan. Ini bukanlah pembubaran hudud. Namun sebaliknya, hudud tidak wajib sama sekali dilaksanakan apabila tidak mencukupi syaratnya.

Contoh lain ialah periwayatan yang menyebutkan bahawa Umar tidak menjatuhkan hukuman hudud ke atas dua pembantu yang mencuri harta tuan mereka kerana Umar berpendapat mereka berdua tidak mencuri melainkan kerana kezaliman tuan mereka kepada mereka yang tidak memberikan keperluan asas mereka. Tidak hairanlah Umar bertolak ansur kepada mereka berdua kerana mengambil kira suasana mereka. Sebaliknya Umar telah memberi ingatan bahawa beliau akan memotong tangan tuan mereka jika mereka terdesak untuk mencuri lagi.

Islam bukanlah merupakan semata-mata pensyariatan dan perundangan. Sebaliknya Islam juga merupakan akidah yang mentafsirkan erti kehidupan, ibadah yang mendidik rohani, akhlak yang membersihkan jiwa, pemahaman-pemahaman yang memperbetulkan gambaran, nilai-nilai yang mengangkat martabat manusia dan adab kesopanan yang menghiasi kehidupan. Ayat-ayat suci al-Quran yang berkaitan secara langsung dengan hukum pensyariatan tidak sampai sepersepuluh dari keseluruhan ayat-ayat suci al-Quran. Kebanyakkan ayat-ayat suci al-Quran berkaitan dengan aqidah dan hati nurani. Kebanyakkan ayat-ayat hukum pensyariatan disertai juga dengan janji-janji baik dan ancaman buruk yang merupakan bimbingan al-Quran.

Surah Al-Maidah ayat 38-40, mafhumnya:
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, kerana Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani. Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum syariatNya). Dan (ingatlah) Allah Amat Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Di dalam ayat ini kita dapati juga pensyariatan yang menakutkan pelakunya, diiringi dengan dorongan dan ancaman, mengandungi berita yang menakutkan dan menggetarkan, bimbingan dan pendidikan, menganjurkan bertaubat serta memperbaiki diri dan diingati pula dengan Nama-Nama Allah Yang Maha Indah: al-'Aziz (Maha Berkuasa) apabila memerintahkan dan melarang. al-Hakim (Maha Bijaksana) dalam menentukan hukum. al-Ghafur al-Rahim (Maha Pengampun lagi Maha Penyayang) bagi orang yang bertaubat serta memperbaiki diri, Malik al-Kaun (Yang Memerintah Alam Semesta), Sahib al-Khalq wa al-Amr (Yang Maha Mencipta dan Maha Memerintah)dan Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Inilah bentuk pensyariatan di dalam al-Quran. Begitu juga di dalam al-Sunnah.

Masyarakat tidak dibina berdasarkan pensyariatan sahaja, sebaliknya ia memerluakan dua jalan yang lain iaitu dakwah dan pemahaman, kemudian pengajaran dan pendidikan di samping pensyariatan dan pengaktaan adalah jalan yang terkemudian. Oleh keran itu, Islam telah bermula dengan peringkat Makkah (peringkat dakwah dan didikan) sebelum peringkat Madinah iaitu peringkat pensyariatan juga bercampur dengan pendidikan.

Penggubalan perundangan semata-mata tidak boleh mengubah masyarakat. Mengubah apa yang terdapat di dalam jiwa manusia itulah yang paling utama. Perkara yang dapat membantu pengubahan seperti ini ialah keimanan yang mampu mengubah manusia menjadi manusia yang lain, berdasarkan kepada matlamat-matlamatnya, motivasinya dan pengikat serta hasil amalannya yang berupa balasan di dunia dan pahala di akhirat. Islam bukan hanya datang untuk mengubati mereka yang melakukan kesalahan, sebaliknya ia datang untuk membimbing mereka yang baik dan memelihara mereka dari turut melakukan kesalahan.

Hukuman bukanlah faktor terbesar dalam membendung perlakuan jenayah menurut pandangan Islam. Sebaliknya pencegahan darinya merupakan penghalang segala punca-puncanya merupakan faktor terbesar. Bukankah mencegah adalah lebih baik dari merawat. Ketahuilah, Allah s.w.t tahu yang kesalahan-kesalahan ini manusia tak boleh mengubati dengan kepala manusia sendiri. Jadi, Allah s.w.t tentukan penyelesaiannya. Itulah yang terbaik untuk kita. Moga sedikit pencerahan ini mampu untuk membuka hati-hati yang masih ragu dengan hukum Allah s.w.t. Kita hidup kerana Allah s.w.t, siapa kita untuk mempertikaikannya. Wallahualam.

iman's note: You tube menyenaraikan Filem Oley adalah antara filem yang banyak ditonton dalam tempoh sehari. Jangan lepaskan peluang. Jom tonton.

**imannurbalqis**

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails